Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Lima Buah Kapal Pengangkut Pesawat Amerika Beroperasi di Indo-Pasifik Tahun Ini

Ia merupakan kali pertama di dalam sejarah, dimana Amerika Syarikat mengerahkan lima buah kapal pengangkut pesawat untuk beroperasi di satu-satu wilayah iaitu Indo-Pasifik bagi menangani peningkatan aktiviti ketenteraan China dan Korea Utara.

0 1,184

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat akan mengerahkan lima daripada 11 buah kapal pengangkut pesawatnya untuk beroperasi di perairan di Indo-Pasifik pada tahun ini, bagi menangani peningkatan aktiviti ketenteraan oleh China dan Korea Utara.

Pada ketika ini, tiga buah kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat telah pun berada di Indo-Pasifik manakala dua buah akan berlayar ke kawasan perairan itu tidak lama lagi.

“Ini merupakan kali pertama di dalam sejarah di mana lima buah kapal pengangkut pesawat akan beroperasi di satu-satu wilayah.”

Menurut Fleet and Marine Tracker US Naval Institute,  sehingga pada 5 Februari yang lalu kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln telah pun meninggalkan pangkalannya di San Diego, California menuju ke bahagian barat Lautan Pasifik.

Selain itu, sebuah lagi kapal pengangkut pesawat USS George Washington juga akan dikerahkan ke Indo-Pasifik bagi menggantikan kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan yang akan meninggalkan Yokosuka di Jepun.

Ronald Reagan
Kapal pengangkut pesawat USS Ronald Reagan (CVN-76).

 

USS Ronald Reagan akan belayar ke limbungan kapal di Puget Sound di Washington bagi rutin penyelenggaraan.

Kapal pengangkut pesawat USS George Washington adalah kapal pengangkut pesawat berkuasa nuklear yang pertama dikerahkan ke Jepun, di mana ia bertugas di negara Matahari Terbit itu daripada 2008 hingga 2015 sebelum digantikan oleh kapal pengangkut pesawat, USS Ronald Reagan.

Dua buah kapal pengangkut pesawat milik Amerika Syarikat yang lain, USS Carl Vinson dan USS Theodore Roosevelt berpangkalan di Guam dan Hawaii di mana mereka dijangka akan berada di Indo-Pasifik itu sehingga April dan Julai.

Bulan lepas, kapal-kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt dan USS Carl Vinson mengambil bahagian dalam latihan maritime di Laut Filipina meliputi operasi komunikasi maritim, operasi peperangan udara dan operasi cross flight-deck.

Menurut Armada ke-7 Tentera Laut Amerika Syarikat,latihan itu bertujuan “untuk memperkuatkan operasi bersepadu di lautan dan juga sebagai kesiapsiagaan.”

“Kami lebih berkemampuan jika bekerjasama dalam menangani cabaran-cabaran keselamatan maritim,” kata Komander kapal pengangkut pesawat USS Theodore Roosevelt Carrier Strike Group Nine Laksamana Christopher Alexander.

USS Makin
USS Theodore Roosevelt dan USS Makin Island di Laut China Selatan. (gambar kredit US Navy).
USS
Kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz kini berada di Laut China Selatan.

 

Pada Januari, kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson telah melaksanakan latihan maritim dengan kapal-kapal perang Korea Selatan dan Jepun di Laut China Timur, berikutan tindakan Korea Utara melancarkan peluru berpandu ballistik jarak sederhana.

“Kapal-kapal pengangkut pesawat adalah aset ketenteraan yang paling menonjol. Mengerahkan beberapa kapal pengangkut pesawat ke sesebuah wilayah memberikan petanda jelas kepada musuh-musuh,” menurut Brian Hart, felo dengan China Power Project di Centre for Strategic and International Studies.

“Berikutan peperangan di Ukraine, konflik di Timur Tengah dan serangan kumpulan bersenjata Houthi di Laut Merah, tentera Amerika Syarikat mahu memberikan signal bahawa ia boleh menangani segala cabaran dan tetap memberikan fokus terhadap keutamaannya di Indo-Pasifik.” — DSA

Notis

Comments
Loading...