HAL MoU Dengan Syarikat Tempatan, Jadikan Tawaran Pesawat “Tejas” Lebih Menarik
Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) sebelum ini mengatakan syarikat pembuat pesawat India itu bersedia mewujudkan kemudahan Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO) di Malaysia sekiranya ia berjaya memenangi tender 18 pesawat FLIT/LCA Tentera Udara Diraja Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat aeroangkasa India, Hindustan Aeroanautics Ltd (HAL) dilaporkan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat pertahanan Malaysia dalam usahanya untuk menjadikan tawaran penjualan pesawat FLIT/LCA “Tejas” kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) lebih menarik.
MoU dengan syarikat pertahanan Malaysia itu bertujuan memastikan HAL dapat mematuhi syarat 30 peratus komponen tempatan dalam pesawat FLIT/LCA sebagaimana yang ditetapkan oleh kerajaan.
Syarikat pertahanan tempatan yang dilaporkan menandatangani MoU dengan HAL sebagaimana dikatakan oleh sebuah laman web pertahanan antarabangsa merupakan “nama besar” dalam industri pertahanan dan keselamatan di Malaysia.
Bagaimanapun laporan MoU HAL dengan syarikat pertahanan tempatan itu adalah tidak pelik kerana laporan di dalam portal kewangan tempatan, The Edge Market beberapa bulan lepas juga menyebut bahawa HAL mahu mewujudkan kemudahan Maintenance, Refurbishment and Overhaul (MRO) di Malaysia sekiranya ia memenangi tender perolehan pesawat FLIT/LCA TUDM itu.
MoU dengan syarikat pertahanan tempatan itu adalah selari dengan perancangannya, di mana HAL sememangnya sedang meninjau peluang untuk meningkatkan pesawat-pesawat pejuang keluarannya itu dan localization komponen kepada syarikat-syarikat tempatan itu adalah salah satu caranya.
Antara negara-negara yang disasarkan oleh HAL selain Malaysia, termasuklah Vietnam, Indonesia dan Sri Lanka.
Jika Malaysia memilih Tejas sebagai pesawat FLIT/LCA pilihannya, ia akan menjadi pasaran eksport pertama bagi pesawat kebanggaan industri pertahanan India.
Sekiranya, MoU HAL dengan syarikat pertahanan Malaysia itu berjaya, maka syarikat aeroangkasa India itu akan menawarkan penyelenggaran tahap depot (Depot-Level) kepada pesawat-pesawat Tejas yang bakal dioperasikan oleh TUDM.
Penyelenggaraan tahap depot itu merangkumi aspek Reliability, Availability, Maintainability dan Supportability (RAMS).
Penyelenggaraan tahap depot oleh HAL itu dikatakan adalah sokongan tahap tertinggi yang ditunjukkan oleh syarikat pertahanan luar negara di Malaysia yang bakal menyaksikan pemindahan teknologi dan kepakaran kepada TUDM.
Ia juga akan mewujudkan ekosistem yang baik untuk pembekal dan kepakaran teknikal tempatan, selain mengurangkan lagi kos penyelenggaraan dan aircraft downtime bagi memastikan tahap kesiapsiagaan yang amat tinggi bagi pesawat TUDM untuk mempertahankan ruang udara negara.
Ia juga akan meningkatkan peranan yang dimainkan oleh syarikat tempatan itu dalam pembangunan industri pertahanan tempatan.
Syarikat Hindustan Aeronautics Limited (HAL) dilaporkan telah menawarkan varian pesawat “Tejas” Mk-IA kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang dianggarkan bernilai US$41.5 juta (RM166 juta) sebuah.
Varian Mk-1A adalah varian pesawat FLIT/LCA “Tejas” yang terkini dan dijangkakan hanya akan melakukan penerbangan sulungnya pada Mac tahun ini selepas memperolehi Final Operational Clearance (FOC).
Menurut media pertahanan India itu lagi, varian pesawat Tejas Mk-1A itu yang dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA).
Selain dilengkapi dengan radar AESA, varian pesawat Tejas Mk-1A itu akan memiliki “mission computer” dan “Electronic Warfare Suite” yang lebih berkuasa berbanding apa yang dimiliki oleh varian Tejas Mk-1.
Selain itu varian terkini pesawat Tejas itu direkabentuk untuk membawa peluru berpandu kruis Brahmos-NG (Next Generation), peluru berpandu udara-ke-udara termasuk yang berkemampuan Beyond Visual Range (BVR) serta Precision Guided Munitions (PGM).
Brahmos NG ini dikatakan mampu membedil sasaran pada jarak 290km pada kelajuan Mach 3.5.
Setiap pesawat Tejas Mk-1A itu berkemampuan membawa dua butir peluru berpandu Brahmos selain turut dilengkapi dengan kemampuan Air-to-Air Refuelling (AAR) bagi membolehkan ia membedil sasaran maritim dan darat pada jarak jauh.
Peluru berpandu Brahmos ini adalah hasil kerjasama di antara firma Russia, NPO Mashinostroyeniya dan agensi penyelidikan pertahanan India, Defence Research and Development Organisation (DRDO).
Ia adalah berdasarkan kepada peluru berpandu P-800 “Oniks”.
India telah menandatangani perjanjian dengan HAL untuk membeli 83 buah pesawat Tejas Mk-1A bernilai US$6.5 bilion (RM26 bilion). — DSA
Klik Untuk Download dan Install Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.defencesecurityasia.dsanews
Comments are closed.