Hamas, Pejuang Palestin Lancar Puluhan Roket Terhadap Bandar-Bandar Israel, Gaza Diserang
Serangan roket-roket pejuang Palestin itu berlaku tidak lama selepas tamatnya ultimatum yang dikeluarkan oleh Hamas supaya Israel mengundurkan pasukan polisnya daripada Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah tepat pada 18.00 (waktu tempatan).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pejuang-pejuang Palestin mula bertindak terhadap lebih daripada seminggu keganasan yang dilakukan oleh polis Israel terhadap ratusan penduduk Palestin di Baitul Maqdis, dengan melancarkan puluhan roket ke bandar-bandar utama Israel hari ini.
Serangan roket-roket pejuang Palestin itu berlaku tidak lama selepas tamatnya ultimatum yang dikeluarkan oleh Hamas supaya Israel mengundurkan pasukan polisnya daripada Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah tepat pada 18.00 (waktu tempatan).
Selain itu Hamas juga mahukan Israel supaya membebaskan semua warga Palestin yang ditahan mereka.
Tindakan pejuang-pejuang Palestin bakal mengundang tindak balas daripada tentera Israel, seterusnya menjerumuskan lagi roda keganasan yang sedang berlaku di Baitul Maqdis ke suatu “fasa yang baru.”
Selepas lebih 300 orang penduduk Palestin cedera termasuk kira-kira 10 yang berada di dalam keadaan serius akibat pertempuran di Baitul Maqdis hari ini, pejuang-pejuang Palestin kini mula bertindak balas.
Terdapat laporan-laporan yang mengatakan pejuang-pejuang Palestin telah melancarkan lebih 50 roket ke arah bandar-bandar utama Israel seperti Sderot, Ashkelon, Nachal Oz, Baitul Maqdis, Netiv Hassara dan beberapa bandar lain.
Ribuan penduduk Israel telah diarahkan supaya berlindung di dalam bomb shelter.
Sekurang-kurang empat bunyi letupan kuat dilaporkan kedengaran di Baitul Maqdis, dipercayai akibat roket yang dilancarkan oleh Hamas.
Sementara itu, pihak tentera Israel telah mengaktifkan sistem pertahanan udara “Iron Dome”yang dilaporkan oleh media-media negara sebagai berjaya melakukan pemintasan terhadap beberapa roket yang dilancarkan oleh pejuang Hamas.
Laporan mengatakan bahawa Hamas akan melancarkan lebih banyak roket kearah bandar-bandar Israel hari ini.
Comments are closed.