Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Rakaman Cubaan Pemandu Israel Melanggar Penduduk Palestin Di Baitulmaqdis

Dalam pada itu, laporan juga mengatakan 12 anggota polis Israel dan 10 penduduk Yahudi juga cedera dalam beberapa insiden pertelingkahan dan membaling batu di Baitulmaqdis itu.

0 3,940

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Bulan Sabit Merah Palestin hari ini melaporkan bahawa 278 orang warga Palestin cedera dalam pertempuran dengan anggota polis Israel di beberapa bahagian BaitulMaqdis, dalam insiden terbaharu membabitkan kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, laporan juga mengatakan 12 anggota polis Israel dan 10 penduduk Yahudi juga cedera dalam beberapa insiden pertelingkahan dan membaling batu di Baitulmaqdis itu.

Sementara itu satu video mengenai insiden bagaimana seorang pemandu Israel cuba melanggar penduduk Palestin di Lion’s Gate berhampiran Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis hari ini telah tersebar di dalam media sosial di Palestin dan Israel.

Ia menunjukkan bagaimana pemandu Israel yang memandu sebuah kereta berwarna putih dibaling dengan batu oleh penduduk-penduduk Palestin ketika kenderaan itu menghampiri lampu trafik di Lion’s Gate di kota suci bagi umat Islam dan Yahudi.

 

Mungkin kerana terdesak atau mahu menyelamatkan diri, pemandu Israel membawa keretanya dengan laju dan telah cuba melanggar penduduk Palestin dengan kenderaannya tetapi gagal kerana mereka sempat mengelak.

Kenderaan pemandu Israel itu terhenti selepas melanggar tembok dan penduduk Palestin terus membaling batu terhadapnya.

Penduduk Palestin juga dilihat cuba menghampiri kenderaan itu dan berlaku pergelutan antara mereka dengan pemandu Israel itu.

Palestin

Nasib pemandu Israel itu amat baik kerana seorang polis negara itu berada di lokasi berhampiran dan telah bertindak menyelamatkannya dengan mengacukan pistol ke arah penduduk Palestin dan melepaskan beberapa das tembakan ke udara.

Insiden terbabit menunjukkan keadaan di Baitulmaqdis pada ketika ini adalah amat genting akibat pertempuran berterusan antara anggota polis Israel dengan penduduk-penduduk Palestin.

Ia semuanya bermula apabila polis Israel menceroboh Masjid Al-Aqsa ketika umat Islam sedang menunaikan solat Terawih baru-baru ini dan keadaan semakin merebak.

Palestin

— DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...