Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Gambar Terbaru Kapal Littoral Combat Ship 1 (LCS 1) “Maharaja Lela”

Dua keping gambar terbaru kapal Littoral Combat Ship (LCS) 1 "Maharaja Lela" Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu sekurang-kurangnya mengubat "kerinduan" rakyat Malaysia terhadap kapal "halimunan" (stealth) itu.

0 15,893

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam posting terbaru di akaun media sosial, Linkedin, syarikat Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd telah memaparkan beberapa gambar terbaru kapal Littoral Combat Ship 1 (LCS 1) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberikan nama “Maharaja Lela”.

Mengikut posting di dalam media sosial syarikat yang disiarkan semalam, gambar-gambar tersebut diambil ketika lawatan sambil belajar peserta-peserta National Defence Institute (NDI) terhadap Program LCS di limbungan kapal BNS di Lumut.

Lawatan sambil belajar itu dipercayai berlangsung dua hari lepas (16 November 2021).

Delegasi peserta-peserta NDI itu terdiri daripada pegawai-pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),  berpangkat Kolonel, Brigadier Jeneral dan Laksamana Pertama.

Peserta-peserta juga dibawa melawat kawasan limbungan kapal itu sebelum berakhir di lokasi pembinaan kapal LCS 1 iaitu “Maharaja Lela.”

Kapal LCS
Kredit BNS

 

Lawatan peserta-peserta NDI itu juga berlaku tidak lama selepas Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang melakukan lawatan kerja terhadap limbungan kapal BNS baru-baru ini untuk meninjau sendiri perkembangan pembinaan enam buah kapal LCS yang bermasalah.

Kehadiran beliau di limbungan kapal milik BNS itu telah diiringi oleh Timbalan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) , Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob.

“Dalam rangka lawatan sehari tersebut, beliau (PAT) telah melawat  kawasan pembinaan Kapal Tempur Pesisir Pantai atau Littoral Combat Ship (LCS) yang direka dan dibina sendiri oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd,” menurut kenyataan ringkas yang dikeluarkan oleh media sosial Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Akaun media sosial ATM itu turut menyertakan beberapa keping gambar menunjukkan PAT dan pegawai-pegawai kanan TLDM serta BNS melawat beberapa bahagian kapal perang TLDM tidak dikenalpasti yang sedang menjalani kerja-kerja di limbungan kapal milik BNS itu.

Bagaimanapun, tidak ada satu keping gambar kapal-kapal LCS kelas-Maharaja Lela yang sedang dibina disertakan dalam kenyataan ATM itu dalam media sosialnya itu.

kapal LCS
Kredit BNS

 

Pada Isnin lepas, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan kapal LCS yang pertama untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan disiapkan sepenuhnya pada tahun 2025.

“Sasarannya adalah Tentera Laut Diraja Malaysia akan memperolehi kapal LCS yang pertama tahun 2025,” kata beliau di Parlimen dan menambah, selepas kapal yang pertama siap pada tahun 2025, lima lagi buah kapal seterusnya dijangka siap setiap tahun selepas itu.

Bagaimanapun kesemua perancangan itu bergantung sama ada pelan pemulihan projek pemulihan pembinaan kapal LCS itu mendapat kelulusan daripada Kabinet apabila ia dibentangkan tidak lama lagi.

Kapal LCS
Kapal LCS TLDM

 

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kapal-kapal LCS itu hanya mencapai kemajuan  pembinaan sebanyak 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

Kapal LCS
Kapal Littoral Combat Ship (LCS) TLDM

 

 

 — DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...