Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Pertama LCS TLDM Disasar Siap Pada Tahun 2025

Kapal pertama Littoral Combat Ship (LCS) TLDM itu dijangka hanya akan siap pada tahun 2025, iaitu 12 tahun selepas projek itu bermula pada Oktober 2013 dan kerajaan telah membayar RM6 bilion kepada kontraktor utama projek itu.

0 7,266

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan mensasarkan pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) yang pertama untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hanya akan disiapkan sepenuhnya pada tahun 2025.

Perkara itu diumumkan oleh Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein di Parlimen hari ini.

“Sasarannya adalah Tentera Laut Diraja Malaysia akan memperolehi kapal LCS yang pertama tahun 2025,” kata beliau dan menambah, selepas kapal yang pertama siap pada tahun 2025, lima lagi buah kapal seterusnya dijangka siap setiap tahun selepas itu.

Bagaimanapun kesemua perancangan itu bergantung sama ada pelan pemulihan projek pemulihan pembinaan kapal LCS itu mendapat kelulusan daripada Kabinet apabila ia dibentangkan tidak lama lagi.

Pembinaan enam buah kapal LCS bernilai RM9 bilion yang direkabentuk mengikut kapal friget “Gowind” DCNS daripada Perancis itu bermula pada 3 Oktober 2013 dan sepatutnya tamat pada 2 Oktober 2023 dengan kesemua enam buah kapal itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Kapal LCS
Kapal LCS TLDM “Maharaja Lela”

 

Bagaimanapun, kita sudah mahu memasuki bulan Disember 2021 dan tiada sebuah kapal LCS pun telah berjaya disiapkan.

Sebanyak RM6 billion telah dibayar oleh kerajaan setakat ini untuk perolehan enam buah kapal LCS terbabit.

Menurut Menteri Pertahanan itu lagi, sehingga 31 Oktober tahun ini kemajuan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu hanya mencapai 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dicapai dalam jadual asal.

Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu katanya, telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan.

Mengenai pelan pemulihan pembinaan kapal LCS yang akan dibentangkan kepada kabinet tidak lama lagi,  beliau berkata, ia bersifat inklusif dengan melibatkan pelbagai pihak daripada LTAT/Boustead kepada syarikat-syarikat vendor yang terlibat.

Ia juga melibatkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Projek pembinaan kapal-kapal LCS itu tidak boleh gagal kerana TLDM amat memerlukan kapal-kapal itu,” katanya dan menambah, perbincangan mengenai pelan pemulihan itu melibatkan semua pihak berkepentingan di dalam projek itu.

kapal LCS
Lakaran grafik Kapal LCS TLDM apabila ia siap. (tak tahu bila)

Pelan pemulihan itu katanya, akan menumpukan kepada beberapa perkara terutamanya penstrukturan korporat dan fundraising (memperolehi dana).

Pihak pengurusan lama Boustead juga sudah diganti dan kini syarikat itu diuruskan oleh muka-muka baru.

Menteri Pertahanan tidak menyatakan berapa jumlah dana tambahan yang diperlukan di bawah pelan pemulihan itu untuk memastikan keenam-enam buah kapal LCS itu siap sepenuhnya dan diserahkan kepada TLDM.

Sudah pasti beberapa billion ringgit lagi diperlukan untuk melihat keenam-enam buah kapal LCS itu siap sepenuhnya.

Kapal LCS
Kapal LCS TLDM.

 

Pihak kerajaan juga akan perlu memikirkan keperluan untuk menaiktaraf kapal-kapal LCS itu kerana terdapat kemungkinan sistem-sistem sepatutnya dipasang di keenam-enam buah kapal itu sudah “outdated.”

Al-maklumlah sudah hampir 10 tahun sejak projek pembinaan kapal itu bermula.

Usaha menaiktaraf itu sudah semestinya akan menaikkan lagi kos pembinaan enam buah kapal LCS itu.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...