Tentera Udara Filipina Mahu Tambah FA-50, Varian Lebih Kemampuan
Pada ketika ini, Tentera Udara Filipina memiliki 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50 itu yang diperolehinya pada 2015.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Filipina berhasrat menambah pegangan pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) terutamanya varian pesawat itu yang lebih berkemampuan.
Pada ketika ini, negara jiran Malaysia itu memiliki 12 buah pesawat pejuang ringan itu yang diperolehinya pada 2015.
“Ya,ia adalah opsyen (untuk menambah pesawat FA-50). Pesawat FA-50 adalah pesawat latihan lead-in yang baik malah ia diboleh dikatakan pesawat pejuang pelbagai guna (multi-role) kerana ia boleh melaksanakan operasi udara-ke-udara dan udara-ke-darat.”
“Pesawat menyediakan juruterbang dengan peluang latihan yang amat baik sebelum mereka beralih ke pesawat yang lebih canggih,” kata Panglima Tentera Udara Filipina Lt Jeneral Connor Anthony Canlas Sr sebagaimana dipetik oleh Philippine News Agency.
Kesemua 12 buah pesawat pejuang ringan FA-50PH itu kini berkhidmat di 5th Fighter Wing Tentera Udara Filipina.
Tentera Udara Filipina turut menggunakan beberapa pesawat FA-50 yang baru sahaja dimilikinya untuk mengebom kedudukan individu bersenjata ketika berlakunya konflik di Marawi di Selatan Filipina pada 2017.
Selain pesawat-pesawat FA-50 miliknya, Tentera Udara Filipina turut menggunakan pesawat OV-10 Bronco, SF-260 dan helikopter untuk menggugurkan bom-bom ke atas kedudukan kumpulan pengganas Daesh yang mengepung bandar Marawi itu.
Dengan kelajuan maksimum 1.5 Mach, pesawat pejuang ringan FA-50 yang merupakan varian pesawat latihan lanjutan TA-50 itu boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem persenjataan dan peluru berpandu.
Pesawat latihan lanjutan TA-50 itu dibangunkan oleh KAI dan syarikat pertahanan Amerika Syarikat,Lockheed Martin.
Syarikat KAI turut menawarkan varian FA-50 yang lebih berkemampuan dipanggil FA-50 Block 20, sebagaimana yang ditawarkan oleh syarikat itu kepada Malaysia.
Comments are closed.