Pesawat F-35A Milik Korea Selatan Hadapi “Masalah”
Pada 4 Oktober lepas, anggota parlimen negara itu mengatakan bahawa pesawat F-35A Korea Selatan dikategorikan sebagai "tidak bersedia" untuk beroperasi sebanyak 234 kali di dalam tempoh 18 bulan berakhir bulan Jun lepas.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat-pesawat F-35A Block 3 yang dimiliki oleh Tentera Udara Korea Selatan didakwa berhadapan dengan masalah penyelenggaran yang serius sehingga menyebabkan ia gagal beroperasi untuk suatu tempoh, sebagaimana didedahkan oleh anggota parlimen negara itu.
Pada 4 Oktober lepas, anggota parlimen negara itu mengatakan bahawa pesawat F-35A Korea Selatan dikategorikan sebagai “tidak bersedia” untuk beroperasi sebanyak 234 kali di dalam tempoh 18 bulan berakhir bulan Jun lepas.
Anggota parlimen itu Shin Won-Sik daripada parti pemerintah Korea Selatan telah membentangkan data-data daripada Tentera Udara negara itu yang menunjukkan isu-isu yang dihadapi dalam mengoperasikan pesawat pejuang itu.
Beliau mengatakan bahawa pesawat pejuang dibangunkan oleh Lockheed Martin mengalami kerosakan dan tidak boleh melakukan penerbangan sebanyak 172 kali dalam tempoh 18 bulan itu.
Terdapat 62 kes lagi di mana pesawat-pesawat canggih itu gagal menyelesaikan misi-misi spesifik yang diberikan kepadanya.
“Secara purata pesawat-pesawat pejuang generasi kelima buatan Amerika Syarikat itu hanya mampu melaksanakan misi-misinya sebanyak 12 hari pada tahun lepas dan hanya 11 hari dalam separuh tahun pada tahun ini, “ katanya ahli parlimen itu sambil menambah bahawa pesawat-pesawat Tentera Udara Korea Selatan yang lebih berusia seperti F-4 dan F-5E hanya “gagal beroperasi” sebanyak 24 dan 26 kali dalam tempoh 18 bulan itu.
Bagaimanapun, Tentera Udara Korea Selatan secara rasminya menyatakan bahawa pesawat F-35A milik mereka itu telah berjaya mencapai tahap beroperasi sebanyak 75 peratus, sekaligus menafikan bahawa pesawat pejuang buatan Amerika Syarikat sedang berhadapan masalah.
Pada 2014, Korea Selatan membelanjakan kira-kira US$64 bilion untuk mendapatkan 40 buah pesawat pejuang generasi kelima itu, dengan pesawat F-35A Block 3 yang pertama telah tiba di negara Asia Timur itu pada 2018.
Pada Januari 2022, Korea Selatan mengesahkan bahawa ia telah menerima kesemua pesawat itu dan pada Mac tahun ini mengatakan ia telah mengoperasikan kesemua 40 buah pesawat F-35A
Pada Julai lepas, pesawat-pesawat F-35 daripada Amerika Syarikat dan Korea Selatan telah melaksanakan latihan udara bersama selama 10 hari bertujuan untuk memberi “amaran” kepada Korea Utara.
Comments are closed.