Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Bimbang Ancaman Pyongyang, Korea Selatan Tambah 20 Buah Lagi F-35A

Penambahan 20 buah pesawat halimunan F-35A buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pesawat halimunan yang dimiliki oleh Tentera Udara Korea Selatan kepada 60 buah.

0 1,190

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Berhadapan dengan peningkatan ancaman peluru berpandu balistik nuklear dan provokasi berterusan daripada Pyongyang, kerajaan Korea Selatan mengambil keputusan untuk menambah 20 buah lagi pesawat pejuang generasi kelima, F-35A untuk tentera udaranya, ROKAF.

Penambahan 20 buah pesawat halimunan F-35A buatan syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat itu akan menjadikan jumlah keseluruhan pesawat halimunan yang dimiliki oleh Tentera Udara Korea Selatan kepada 60 buah.

Sehingga Disember tahun lepas, Seoul telah menerima kesemua 40 buah pesawat F-35A Block 3 yang dipesannya daripada Amerika Syarikat itu.

Hwasong-17
Peluru berpandu balistik “”Hwasong-17” Korea Utara

 

Korea Selatan menurut portal pertahanan antarabangsa, Defense News dijangka akan membelanjakan kira-kira US$3 bilion (RM12 biliion) untuk memperolehi 20 pesawat pejuang tambahan F-35A itu.

Tambahan 20 buah pesawat F-35A itu dijangka dalam varian Block 4 dengan kemampuan tambahan termasuk keupayaan untuk memusnahkan radar musuh, membawa lebih banyak senjata, tambahan peralatan elektronik dan elektro-optik,

Perolehan 20 buah pesawat tambahan F-35A itu merupakan sebahagian daripada “Projek F-X”, yang merupakan usaha kerajaan Korea Selatan dalam melakukan serangan awal (pre-emptive strike) untuk memusnahkan ancaman peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

Tentera Udara Korea Selatan menurut seorang wakil rakyat negara itu, perlu meningkatkan kemampuan deterennya dalam “Projek F-X” itu memandangkan ia dijangka akan berhadapan dengan “lompong kemampuan (capabilities gap) pada pertengahan 2020-an ini.

F-35A

Wakil rakyat negara itu, Daesik Kang sebagaimana dipetik oleh portal pertahanan antarabangsa itu berkata, perolehan pesawat-pesawat tambahan F-35A itu adalah sesuatu yang “perlu” berikutan kemajuan yang dicapai oleh Korea Utara di dalam teknologi peluru berpandu dan nuklear.

Menurut badan kajian Amerika Syarikat, Wilson Center, pihak tentera Korea Utara telah melancarkan 31 ujian peluru berpandu pada tahun ini sahaja dan dijangka akan melakukan ujian nuklear tidak lama lagi.

Pada tahun lepas, pihak Korea Utara hanya melakukan ujian pelancaran peluru berpandu balistik sebanyak lapan kali.

Walaupun pesawat pejuang buatan tempatan, KF-21 dijangka akan mula memasuki perkhidmatan Korea Selatan pada 2026, tetapi Korea Selatan tetap menjangkakan ia akan menghadapi masalah “lompong kemampuan” bermula daripada tahun 2025 sehingga 2031 melibatkan kira-kira 70 buah pesawat pejuang.

F-35A

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Pesawat KF-21 yang dibangunkan oleh syarikat Korea Aerospace Industries (KAI) dijangka akan melakukan penerbangan sulungnya pada bulan depan.

Selepas melakukan penerbangan sulungnya pada akhir bulan depan itu, pesawat KF-21 akan meneruskan ujian penerbangan sehingga tahun 2026.

KAI merancang untuk membekalkan 40 buah KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2028, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada tahun 2032 untuk menggantikan pesawat-pesawat F-5E/F dan F-16 Tentera Udara Korea Selatan. — DSA

Comments
Loading...