Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Turkiye Berkeras Mahu Amerika Pulangkan US$1.4 Bilion Dibayarnya Untuk Program F-35

Hampir empat tahun sudah berlalu selepas Ankara "ditendang keluar" daripada program F-35 itu, namun Amerika Syarikat masih belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia bersedia untuk membayar-balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang dituntut oleh Ankara.

0 6,032

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye mula menyertai program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima F-35 Lightning II seawal tahun 1999, dengan negara anggota NATO itu komited untuk membeli 100 buah varian F-35A pesawat keluaran syarikat Lockheed Martin itu.

Sebagai rakan pembangunan, Ankara telah membayar US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) sebagai kos pembangunan pesawat pejuang itu, manakala syarikat-syarikatnya pula bertanggungjawab menghasilkan kira-kira 900 alat ganti dalam program perkongsian industri. 

Pembabitan syarikat Turkiye dalam program pembangunan pesawat pejuang itu dilaporkan menyumbang kira-kira US$9 bilion (RM40.5 bilion) kepada ekonomi negara Mediterranean itu.

F-35
Pesawat F-35 milik Turkiye ketika didedahkan pada tahun 2018

 

Pesawat pertama F-35A milik Turkiye telah pun dilancarkan di Amerika Syarikat pada 2018 dalam majlis gilang-gemilang, disusuli oleh lima lagi buah pesawat pejuang yang sama, yang kini “disimpan” dalam gudang di negara itu.

Bagaimanapun pada 2019, Turkiye telah secara rasmi “ditendang” keluar daripada program pesawat pejuang F-35 oleh Washington kerana kedegilannya untuk meneruskan pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

Pegawai-pegawai kanan di Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dilaporkan berkata bahawa pesawat pejuang F-35 tidak boleh “hidup bersama” dengan sistem pertahanan udara, S-400 yang dikategorikan oleh Washington adalah  “platform pengumpulan perisikan” Russia.

Pegawai kanan Amerika Syarikat percaya Russia akan menggunakan sistem pertahanan udara S-400 untuk mempelajari kemampuan terkini pesawat pejuang F-35 itu.

“Kebanyakkan daripada kekuatan F-35 itu terletak kepada kemampuan halimunannya (stealth),  jadi kemampuan untuk mengesan aspek halimunan itu menjejaskan keselamatan jangka panjang program F-35 itu. Kami hanya mahu menjaga aspek keselamatan jangka panjang program pesawat pejuang itu, ” menurut seorang pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat. 

F-35

Bukan sahaja Ankara dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat F-35 itu, tetapi negara Mediterranean itu turut dikenakan sekatan ketenteraan di bawah CAATSA (Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA).

CAATSA adalah undang-undang persekutuan Amerika Syarikat yang mengenakan sekatan ketenteraan terhadap musuh-musuh negara itu seperti Iran,Korea Utara dan Russia.

Walaupun sudah lebih dua tahun ditendang keluar daripada program pembinaan pesawat F-35, namun usaha “bertubi-tubi” oleh Turkiye untuk mendapatkan kembali wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang telah dibayarnya ke Amerika Syarikat itu masih gagal.

Kepimpinan tertinggi Turki daripada Presiden Recep Tayyep Erdogan kepada menteri-menterinya sehinggalah kepada pegawai kanannya telah berulang-kali menyatakan bahawa mereka akan terus berusaha mendapatkan kembali wang (kos pembangunan pesawat F-35) telah dibayar kepada Amerika Syarikat itu.

 

Tahun lepas, bekas Menteri Luar Turkiye Mehmet Cavusoglo dalam sidang media bersama rakan sejawatannya daripada Amerika Syarikat, Anthony Blinken telah menyatakan sekali lagi bahawa negara Mediterranean itu mahu Washington memulangkan kembali wang miliknya itu.

S-400
Sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia

 

 

“Kami (Turki dan Amerika Syarikat) adalah rakan di dalam program F-35, bagaimanapun Turki telah dikecualikan (daripada program pesawat pejuang itu) berikutan sekatan daripada CAATSA. Ia adalah tindakan unilateral (oleh Washington).”

“Sejumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) telah dibayar oleh kami (terhadap pembabitan dalam program itu). Kami masih menunggu pembayaran balik wang itu (oleh Amerika Syarikat),” kata beliau.

Hampir empat tahun sudah berlalu selepas Ankara “ditendang keluar” daripada program F-35 itu, namun Amerika Syarikat masih belum menunjukkan sebarang tanda bahawa ia bersedia untuk membayar-balik wang berjumlah US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) yang dituntut oleh Ankara.

Keengganan Amerika Syarikat memulangkan wang yang dibayar oleh Turkiye bagi pembabitannya dalam program F-35 itu berkemungkinan kerana Washington berpendapat ia turut menanggung kerugian selepas Ankara dikeluarkan daripada program itu. 

Bukan sahaja Washington enggan memulangkan balik wang milik Turkiye itu, malah ia turut meminta supaya Ankara membayar kos penyewaan hangar untuk menempatkan enam buah pesawat F-35 milik negara Mediterranean itu yang telah siap dibina, tetapi enggan diserahkan oleh Amerika Syarikat akibat tindakan Turkiye membeli sistem pertahanan udara, S-400 Russia itu.

 Media-media negara Mediterranean menganggap tuntutan “bayaran sewa” oleh Amerika Syarikat kerana menyimpan pesawat F-35 milik Turki di dalam hangar di negara “Uncle Sam” itu sebagai sesuatu yang amat pelik dan “kelakar”.

F-35

Amerika bertindak secara unilateral mengeluarkan Turkiye daripada program F-35 dan kini enam buah pesawat itu tidak dapat diserahkan kepada pemiliknya iaitu Ankara selepas negara Mediterranean itu dikenakan sekatan  oleh Washington.

Namun kini,  ia mahukan Turki membayar kos penyimpanan enam buah pesawat F-35 milik Turki itu.

Apa yang lebih pelik bagi media dan rakyat Turki adalah, seterunya iaitu Greek juga memiliki sistem pertahanan udara buatan Russia iaitu S-300 tetapi pada masa yang sama telah ditawarkan supaya membeli pesawat F-35 oleh Amerika Syarikat.

India juga telah memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia itu, tetapi telah menerima perlepasan (waiver) daripada Amerika Syarikat untuk mengelaknya daripada dikenakan sebarang sekatan dibawah CAATSA.

 

Bukan sahaja Washington memberikan India perlepasan daripada dikenakan sebarang sekatan ketenteraan sebagaimana diperuntukan dibawah CAATSA, tetapi Amerika Syarikat kini sedang memperhebatkan usaha untuk menjual pelbagai jenis  peralatan tentera kepada New Delhi, termasuk F-35.

Sungguh ironi apa yang dialami oleh Turkiye. — DSA

Donlod

 

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...