Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pembinaan Fizikal Kapal LCS Disambung Semula Dalam Waktu Terdekat

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal.

0 3,479

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pembinaan fizikal enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan disambung semula dalam waktu terdekat ini selaras dengan keputusan kerajaan meneruskan pembinaan kapal-kapal perang itu selepas ia tertangguh selama beberapa tahun.

Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein berkata, pada ketika ini projek itu sedang memasuki proses mobilisasi selama enam bulan sebagaimana disaran oleh Jemaah Menteri.

Menurutnya, rundingan dengan pihak OEM (Original Equipment Maker) dan vendor sedang giat dilaksanakan untuk memastikan projek pembinaan kapal-kapal LCS itu kembali ke landasannya.

LCS

 “Kabinet telah bersetuju agar projek perolehan LCS diteruskan. Sekarang ia telah memasuki proses mobilisasi selama enam bulan seperti disarankan oleh Kabinet. Rundingan dengan pihak OEM dan vendor sedang giat dilaksanakan untuk memastikan projek ini kembali ke landasannya.

“Sebaik sahaja proses mobilisasi selesai, pembinaan fizikal kapal LCS ini akan bersambung semula dalam masa terdekat,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.

Pada 31 Mei lepas, Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) dan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) telah memeterai kontrak tambahan kelima untuk menghidupkan semula projek pembinaan enam buah kapal LCS.

BNS adalah syarikat bersekutu Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC). 

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Sharifuddin Md Zaini Al-Manaf dalam satu kenyataan berkata projek pembinaan kapal LCS untuk TLDM telah tertangguh sejak 2019.

LCS

“Objektif utama kontrak tambahan ini adalah untuk menggerakkan semula projek itu yang akan membolehkan BNS menyambung kembali pembayaran kepada pemiutang, pengeluar peralatan asal dan institusi kewangan. 

“Bulan-bulan akan datang adalah penting bagi BNS untuk membuat penilaian menyeluruh mengenai keadaan semua peralatan serta kapal sedia ada yang dalam peringkat pembinaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan itu.

Pada 22 April 2022, Hishammuddin mengumumkan bahawa Jemaah Menteri sebulat suara telah bersetuju bagi meneruskan perolehan kapal LCS untuk TLDM.

BNS dianugerahkan kontrak bernilai RM9.1 bilion pada 2011 untuk membina enam buah kapal LCS yang dikatakan sebagai kapal-kapal perang termoden TLDM. 

Jemaah Menteri memutuskan untuk meneruskan pembinaan kapal LCS untuk TLDM yang tertangguh beberapa tahun selepas mengambil kira dua faktor utama.

Kedua-dua faktor itu adalah – pertama adalah LCS merupakan aset yang amat diperlukan oleh TLDM.

LCS

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Faktor kedua adalah kerana terdapat 400 vendor yang terlibat dalam projek ini dengan implikasi kewangan lebih RM4 billion.

Sehingga 31 Oktober 2021, kemajuan pembinaan kapal LCS itu hanya pada tahap 57.5 peratus berbanding 96.57 peratus yang sepatutnya dalam jadual asal. Projek pembinaan enam buah kapal LCS itu telah mengalami kelewatan sebanyak 39.52 peratus atau 43 bulan (3 tahun 7 bulan)

Terdahulu, Hishammuddin dalam ucapannya di Kota Kinabalu itu juga berkata bahawa Kementerian Pertahanan telah memohon untuk melaksanakan perolehan kumpulan kedua Kapal Misi Persisir (LMS).

LMS
Rekabentuk kapal korvet “Ada” yang ditawarkan oleh syarikat STM dari Turki untuk program perolehan kapal LMS Batch 2 TLDM.

 

TLDM dikatakan sedang merancang untuk memperolehi sehingga lapan buah kapal LMS Batch 2 kedua pada tahun, dengan pembinaannya akan dilaksanakan secara berperingkat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

Usaha memelihara keselamatan Sabah katanya, akan terus dilipat ganda menerusi beberapa inisiatif baharu termasuk membina kem baharu bagi tentera darat iaitu Kem Lahad Datu yang dimulakan pada tahun ini selain Kem Paradise di Kota Belud.

Katanya pembinaan Pos Luis dan Pos Tibow juga telah siap pada Mei lepas menjadikan jumlah keseluruhan Pos Imbangan di Sabah ialah sembilan manakala tiga lagi bakal dibina iaitu satu di Tawau dan dua di Kalabakan. — DSA

 

Comments
Loading...