Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Duterte Larang Kabinetnya Bercakap Mengenai Laut China Selatan

Ketegangan antara Manila dan Beijing mengenai isu tuntutan wilayah maritim, meletus pada Mac lalu selepas ratusan kapal miliki China berlabuh di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina.

1,045

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Presiden Filipina, Rodrigo Duterte, melarang Kabinetnya bercakap mengenai isu perselisihan Laut China Selatan di khalayak umum, selepas menteri utamanya terbabit dalam perang mulut dengan China.

Ketegangan antara Manila dan Beijing mengenai isu tuntutan wilayah maritim, meletus pada Mac lalu selepas ratusan kapal miliki China berlabuh di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Filipina.

Sementara Duterte enggan bersemuka dengan China mengenai isu berkenaan, anggota Kabinetnya berulang kali mengkritik Beijing kerana enggan mengalihkan kapal dari perairan yang menjadi pertikaian beberapa negara itu.

Pada awal bulan ini, Setiausaha Luar, Teodoro Locsin, dalam satu hantaran Twitter beliau, menggunakan bahasa kesat menggesa kapal China untuk meninggalkan kawasan itu.

Kritikan Locsin mendapat teguran dari Beijing dan beliau kemudian memohon maaf kepada rakan sejawatnya dari China.

China

“Ini adalah perintah saya sekarang kepada Kabinet… untuk menahan diri (tidak) membincangkan mengenai (isu) Laut Barat Filipina dengan …sesiapa pun.

“Sekiranya kita mahu bercakap, kita hanya bercakap antara kita,” kata Duterte dalam rakaman ucapan yang disiarkan semalam.

Teguran beliau itu ditujukan khusus kepada beberapa anggota Kabinetnya, termasuk Setiausaha Pertahanan, Delfin Lorenzana, yang sebelum ini pernah menyifatkan kehadiran kapal China sebagai ‘serangan’.

Tambah Duterte, hanya jurucakap presiden, Harry Roque, dibenarkan untuk menyentuh isu itu di khalayak ramai.

Pada 2016, China pernah mengabaikan ketetapan tribunal antarabangsa yang memutuskan tuntutan sejarah republik itu ke atas sebahagian besar perairan Laut China Selatan adalah tanpa asas.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments are closed.