Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Masih Tiada Kesimpulan Tentang Punca Kemalangan Kapal Selam, KRI Nanggala

Panglima Komando Armada TNI Iwan Isnurwanto menyifatkan, penyebab tenggelamnya kapal selam yang turut mengorbankan sejumlah 53 anak kapal itu sejauh ini masih menjadi misteri.

0 852

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sehingga ke hari ini, tiada kesimpulan mudah dapat diputuskan berkenaan punca insiden kapal selam Tentera Nasional Indonesia (TNI), Nanggala-402 yang tenggelam di perairan utara Bali.

Panglima Komando Armada TNI Iwan Isnurwanto menyifatkan, penyebab tenggelamnya kapal selam yang turut mengorbankan sejumlah 53 anak kapal itu sejauh ini masih menjadi misteri.

Bagaimanapun, Iwan mengetepikan teori bahawa kapal buatan Jerman itu meletup sebelum ia terputus hubungan.

“Kalau meletup, kapal-kapal kami yang mempunyai kemampuan sonar dapat mengesan bunyi dalam air,” jelas Iwan dalam sidang media yang disiar langsung di YouTube Angkatan Laut TNI pada Selasa lalu.

Jelasnya lagi, berdasarkan pengalaman latihan penembakan torpedo sebelumnya, daerah di luar kawasan penembakan sudah dikawal oleh kapal-kapal yang mempunyai kemampuan untuk mengesan bunyi di dalam laut.

KRI Nanggala
Bangkai kapal selam “KRI Nanggala” di kedalaman 838 meter di dasar Laut Bali.

“Namun, ketika latihan Nanggala-402 berlangsung, tidak ada bunyi letupan yang dikesan,” katanya yang sedang menilai faktor-faktor lain.

Satu pasukan siasatan juga masih di lapangan untuk mengumpulkan seberapa banyak bukti sebelum sebarang kata putus terakhir diumumkan.

Siasatan yang dijalankan setakat ini masih tertumpu kepada sebarang petunjuk berdasarkan fizikal kapal yang terpecah kepada tiga bahagian, serta aspek perubahan pada bentuknya.

Tiga bahagian itu – haluan, anjungan dan buritan – kini berada di kedalaman 838 meter di dasar laut, berdasarkan maklumat dari kapal pengesan China.

Iwan dalam sidang media itu turut mengatakan, bahagian-bahagian kapal selam tersebut dipercayai terkumpul di sebuah kawah dengan diameter 38 meter dengan kedalaman kurang lebih 10 hingga 15 meter.

“Lokasi badan kapal secara pasti belum dapat digambarkan, kami hanya mengaggarkan saja saat ini. Mungkin kedudukannya ada di kawah tersebut,” katanya.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...