Hubungan Semakin Rapat, Turkiye Bekalkan Dron-Dronnya Kepada Mesir
Permintaan terhadap dron-dron keluaran syarikat-syarikat Turkiye di seluruh dunia melonjak selepas prestasi yang ditunjukkan oleh sistem itu pada konflik-konflik seperti di Libya, Nagorno-Karabakh, Syria, dan Ukraine sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkiye telah bersetuju untuk membekalkan Mesir dengan dron-dron keluaran syarikat-syarikatnya yang terkenal di seluruh dunia, ketika kedua-dua negara Islam itu berusaha mengeratkan hubungan sesama mereka ke tahap yang lebih strategik.
Presiden Turkiye Recep Tayyep Erdogan dijangka akan melawat Mesir pada 14 Februari ini untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Abdel Fattah al-Sisi dalam misi untuk memulihkan hubungan yang sebelum dingin.
Menteri Luar Turkiye Hakan Fidan menyatakan bahawa ketika berada di Kaherah Presiden Turkiye itu akan berbincang dengan rakan sejawatannya daripada Mesir itu pelbagai topik dua hala termasuk isu-isu berkenaan perdagangan, tenaga dan keselamatan.
“Normalisasi di dalam hubungan dua hala antara Turkiye dan Mesir adalah amat penting bagi membolehkan Kaherah memiliki beberapa teknologi.”
“Kami mempunyai perjanjian untuk membekalkan Mesir dengan sistem pesawat tanpa pemandu dan teknologi-teknologi yang lain,” katanya dalam satu temuramah dengan stesen televisyen Turkiye, A Haber tetapi beliau tidak mendedahkan dengan lebih lanjut tentang perjanjian dengan Mesir itu.
Permintaan terhadap dron-dron keluaran syarikat-syarikat Turkiye di seluruh dunia melonjak selepas prestasi yang ditunjukkan oleh sistem itu pada konflik-konflik seperti di Libya, Nagorno-Karabakh, Syria, dan Ukraine sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Pada pertengahan tahun lepas, Arab Saudi dilaporkan bakal membelanjakan US$3 bilion (RM13.5 bilion) untuk memperolehi sistem pesawat tanpa pemandu “Akinci” MALE (Medium Altitude Long Endurance) keluaran syarikat pertahanan Turkiye, Baykar Technology.
Pembelian dron Akinci MALE bernilai US$3 bilion oleh Arab Saudi merupakan kontrak pertahanan terbesar dalam sejarah Turkiye.
Baykar Technology telah mengeksport dron Bayraktar TB2 kepada 30 buah negara di seluruh dunia, namun bagi dron Akinci, syarikat itu telah berjaya menjual dron yang baru dibangunkannya itu kepada angkatan tentera Turkiye, Pakistan dan Libya setakat ini.
Arab Saudi akan hanya menjadi negara keempat yang memperolehi dron Akinci.
Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Khalid bin Salman bin Abdulaziz Al Saud dalam satu ciapan dalam akaun Twitter beliau sebelum ini berkata, perolehan dron buatan Turkiye itu adalah untuk meningkatkan kesiapsiagaan angkatan tenteranya dan kemampuan pembuatan senjata negara itu.
Dron Akinci boleh dilengkapi dengan pelbagai sistem penderia dan elektronik termasuk electro-optic/infrared/laser designation (EO/IR/LD) sensor, multi-mode active radar Electronically Scanned Array (AESA) dan sistem Signal Intelligence (SIGINT).
Dengan segala peralatan ini, Akinci berkemampuan tinggi untuk melaksanakan misi-misi Intelligence, Surveillance dan Reconnaisance (ISR) dengan berkesan.
Selain untuk tugas-tugas ISR, dron Akinci juga boleh membawa muatan kira-kira 1.5 tan termasuk bom dan peluru berpandu.
Selain Arab Saudi, Kuwait juga Kuwait menjadi negara ke-28 di dunia membeli pesawat kombat tanpa pemandu (UCAV) buatan Turkiye yang terkenal di seluruh dunia, dengan kemampuannya telah terbukti dalam beberapa konflik, Bayraktar TB2.
Selain daripada Kuwait, UCAV Bayraktar TB2 turut menarik minat beberapa negara serantau yang lain.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) dilapor bakal membelanjakan kira-kira US$2 bilion (RM8 bilion) sekirannya rundingan negara Arab Teluk itu dengan Turki untuk memperolehi 120 buah dron “Bayraktar TB2” dan pelbagai komponen sokongan lain itu berjaya.
Perolehan itu bukan hanya 120 buah dron Bayraktar TB2 tetapi juga meliputi sistem persenjataan, pusat kawalan dan pemerintah serta latihan untuk mengendalikan dron-dron yang dibangunkan oleh syarikat Baykar Technology.
Sumber-sumber mengatakan harga sebuah dron buatan Turki itu adalah sekitar US$5 juta (tidak termasuk sistem persenjataan). — DSA
To contact email: [email protected]
Comments are closed.