“Kelemahan” Dron Buatan China Buka Peluang Kepada Turki
Populariti dron-dron buatan China yang dikecapinya suatu ketika dahulu mulai merudum apabila ia mula diselubungi dengan pelbagai masalah hasil kualiti pembuatan yang rendah dan masalah teknikal sehingga menyebabkan dron-dron China itu lebih banyak menghabiskan masa di “bengkel” berbanding di medan.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dan Amerika Syarikat dianggap sebagai negara yang memperkenalkan sistem pesawat tanpa pemandu (UAV) di medan peperangan dan menjadikannya elemen penting dalam dunia masa ini.
Walaupun begitu, UAV atau dron yang diperkenalkan oleh kedua-dua negara itu agak mahal manakala negara-negara yang menggunakannya pula dikenakan dengan pelbagai syarat yang membataskan penggunaannya.
Tidak semua boleh memiliki dron yang dibangunkan oleh Israel dan Amerika Syarikat, dengan aset itu hanya dijual kepada negara-negara yang dianggap sebagai sekutu atau rakan kepada Washington serta Tel Aviv.
Disebabkan dron-dron Israel dan Amerika Syarikat mahal serta pemiliknya dikenakan pelbagai syarat ketat tentang penggunaannya, ia memberikan peluang kepada negara-negara lain untuk menceburi industri itu dan menawarkan dron yang harganya jauh lebih murah serta kebebasan dalam menggunakannya.
Antara negara yang menceburi industri dron tentera itu adalah China yang memperkenalkan dron-dron seperti Wing Loong II dan CH-4 yang harganya adalah jauh lebih murah berbanding dron-dron Israel atau Amerika Syarikat.
Pembeli-pembeli dron buatan China pula tidak dikenakan dengan syarat-syarat yang ketat,bermakna negara-negara yang memiliki rekod hak asasi manusia yang teruk juga boleh menggunakannya sesuka-hati tanpa dibatasi oleh apa-apa syarat oleh pengeluarnya.
Sebab itulah, apabila China mula memperkenalkan dron-dronnya yang berharga murah kepada pasaran dunia, ia menjadi amat popular terutamanya dikalangan negara yang “bermasalah” seperti di Afrika dan Timur Tengah.
Pada ketika itu, banyak negara di kedua-dua kawasan itu memperolehi dron buatan China.
Bagaimanapun, populariti dron-dron buatan China mulai merudum apabila ia mula dirudung dengan pelbagai masalah disebabkan kualiti pembuatannya yang rendah dan masalah teknikal yang menyebabkan dron-dron China itu lebih banyak menghabiskan masa di “bengkel” berbanding di medan.
Arab Saudi dan Jordan telah secara terbuka mengkritik prestasi dron-dron China diperolehi mereka, dengan kebanyakkanya berhadapan dengan masalah kekurangan penyelenggaraan serta kesukaran mendapatkan alat ganti.
Tentera Iraq dikatakan “kehilangan” 50 peratus daripada dron CH-4 yang diperolehnya daripada China dalam tempoh lima tahun akibat terhempas manakala dron selebihnya hanya “tersadai” di hangar akibat kekurangan alat ganti.
Selain Arab Saudi, Jordan, Iraq yang menggunakan dron buatan China, negara lain yang menggunakan dron buatan negara Asia itu adalah Emiriah Arab Bersatu (UAE), Pakistan, Turkmenistan dan Ethiopia.
Dron-dron China banyak terlibat dalam operasi-operasi di Timur Tengah dan kawasan pedalaman Pakistan tetapi disebabkan prestasi yang kurang memuaskan maka negara-negara yang menggunakannya mula mencari alternatif lain.
Di sinilah dunia mula melihat kemunculan dron-dron buatan Turki seperti Bayraktar TB2, Anka dan lain-lain lagi.
Menampilkan dron-dron yang berkemampuan tinggi pada harga yang kompetitif, Turki telah berjaya mengatasi China di dalam aspek eksport dron kepada seluruh dunia.
Menurut Haluk Bayraktar, ketua pegawai eksekutif Baykar yang membangunkan dron Bayraktar TB2 berkata dron-dron buatan syarikatnya adalah produk yang amat dikehendaki oleh dunia dengan penjualannya telah berjaya mengatasi China.
Beliau diberitahu oleh pegawai kanan sebuah negara pembeli dron daripada China bahawa negara-negara pemilik dron China bertindak “membersarakan” dron-dron China apabila dron buatan Turki mula memasuki perkhidmatan.
TEKAN UNTUK MUAT-TURUN APLIKASI DEFENCE SECURITY ASIA:
Pakistan merupakan salah sebuah negara yang membeli dron buatan China, tetapi pada masa yang sama turut memperolehi dron Bayraktar TB2.
“Tidak adalah laporan bahawa Pakistan tidak berpuashati dengan dron buatan China, tetapi pada masa yang sama jika mereka (Pakistan) berpuashati dengan prestasi dan kemampuan dron China mengapa mereka membeli pula dron-dron buatan Turki,” kata penganalisis.
Turkmenistan turut memperolehi dron Bayraktar TB daripada Turki walaupun ia telah membeli dron daripada China.
Sebuah lagi negara Afrika iaitu Ethiopia juga memiliki dron-dron buatan Iran tetapi turut beralih kepada Bayraktar TB2 daripada Turki. — DSA
Jom follow Twitter, Telegram, Facebook dan download Apps Google Playstore Defence Security Asia.
Comments are closed.