DEFTECH Perkenal UAV Taktikal Dibangunkan Tempatan
Membuat kemunculan sulungnya pada pameran DSA 2022, DEFTECH telah memperkenalkan Pesawat Perisikan Peninjauan Pemantauan Tanpa Pemandu (ISR UAV) yang dibangunkan oleh tenaga tempatan.

(DEFENCE SECURITY ASIA) — DEFTECH Unmanned Systems Sdn Bhd, yang merupakan anak syarikat DRB-HICOM Defence Technologies (DEFTECH) telah memperkenalkan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV) taktikal yang pertama direka dan dibangunkan secara tempatan.
Sistem UAV yang dinamakan Pesawat Perisikan Peninjauan Pemantauan Tanpa Pemandu (ISR UAV) itu telah diperkenalkan pada pameran DSA 2022 dan NATSEC di MITEC dalam majlis yang dihadiri oleh Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH Fazley Ariffin.
ISR UAV yang diperkenalkan hari ini, berkebolehan melaksanakan operasi kompleks, mengakses kawasan sukar sekaligus meminimumkan risiko nyawa manusia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan DEFTECH Fazley Ariffin berkata pembangunan UAV taktikal berkenaan merupakan suatu pencapaian membanggakan untuk industri pertahanan tempatan.
Beliau berkata teknologi autonomi seperti UAV atau dron ini dapat melipat gandakan keupayaan pasukan pertahanan dan keselamatan dengan menyediakan platform yang selamat untuk mengendalikan sebarang situasi atau persekitaran berbahaya dan mencabar.
“Pembangunan ini menandakan satu langkah ke hadapan yang baharu untuk DEFTECH dalam menerokai bidang teknologi pertahanan.
“Ia adalah tindakan wajar dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan tempatan dan berkebolehan untuk berdikari dalam bidang sensitive seperti ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, dengan berat maksimum 120 kilogram ketika berlepas, ISR UAV itu berkemampuan mengawasi ruang udara pada siang dan malam, selain berupaya beroperasi di kawasan pedalaman dan maritim dengan ketahanan (endurance) selama 10 jam.
Range ISR UAV yang dibangunkan oleh DEFTECH itu adalah diantara 100km hingga 200km.
Kapasiti muatan yang boleh dibawanya adalah seberat 15 kg terdiri daripada peralatan Electro Optical dan Infra Red (EO/IR).
Comments are closed.