Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pameran DSA 2022 “Dikuasai” Syarikat-Syarikat Pertahanan Turki

Ruang pameran oleh syarikat-syarikat pertahanan Turki ‘memakan’ hampir separuh daripada 38,000 kaki persegi keseluruhan ruang pameran yang membabitkan lebih 1,000 syarikat dari 60 negara termasuk Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

0 3,155

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Turki sekali lagi tampil ‘gah’ dengan ruang pameran terbesar bagi menonjolkan aset pertahanan pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2022, yang akan bermula Isnin ini.

Ruang pameran oleh syarikat-syarikat pertahanan Turki ‘memakan’ hampir separuh daripada 38,000 kaki persegi keseluruhan ruang pameran yang membabitkan lebih 1,000 syarikat dari 60 negara termasuk Amerika Syarikat, India, Jerman, Poland, Switzerland, Perancis, Sepanyol, Thailand dan Austria.

Pengarah Eksekutif DSA Nadzeem Abdul Rahman berkata pavilion Turki meliputi 60 syarikat dari negara berkenaan yang akan mempamerkan pelbagai produk.

Turki
Sistem “MKE Yavuv” 155mm 52 Cal buatan syarikat MKE daripada Turki.

 

Beliau berkata antara penyertaan syarikat dari negara itu ialah Saha Istanbul Defence and Aerospace Cluster, Turkish Defence and Aerospace Industry Exporters’ Association dan SSB Presidency Of Defence Industries.

“Turki dikatakan sangat besar dan kebanyakan syarikat pertahanan dari negara itu mencari peluang untuk mengeksport produk mereka ke Malaysia selain berkolaborasi.

“Antara syarikat tempatan yang bekerjasama dengan Turki adalah DefTech. Oleh itu, produk-produk mereka banyak melibatkan persenjataan, sistem radar berteknologi tinggi, aeroangkasa, kenderaan berperisai dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu temuramah dengan agensi berita nasional,  BERNAMA.   

MPT-76
Anggota Komando Turki bersama raifal buatan tempatan Turki MPT-76.

 

Turki sebelum ini dilapor menjadi antara negara yang berminat mendapatkan tender terbuka perolehan pesawat dwifungsi tempur ringan dan latihan lanjutan (FLIT-LCA) Malaysia dengan menawarkan kerjasama dengan Malaysia untuk mengeluarkan jet tempur “Hurjet”.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dilapor berkata tender berkenaan dibuka bagi menggantikan pesawat Hawk 108/208 milik Tentera Udara Diraja Malaysia dan tender terbuka antarabangsa bagi perolehan itu sudah ditutup pada 6 Okt tahun lepas.

Nadzeem berkata sama seperti kebanyakan syarikat yang menyertai DSA, syarikat-syarikat dari Turki turut menggunakan platform DSA ini untuk mengintai peluang-peluang perniagaan di Malaysia.

Gempita
Kenderaan tempur Gempita adalah hasil usahasama antara DEFTECH dan FNSS daripada Turki.

 

Selain itu, Nadzeem berkata pada pameran berkenaan turut diadakan adalah Malaysia Defence Security Innovation Pavilion yang mengumpulkan pemain industri pertahanan tempatan.

Beliau berkata reruai berkenaan adalah untuk memberi peluang kepada pemain industri pertahanan tempatan mempamerkan produk-produk pertahanan.

“Pavilion berkenaan diwujudkan bagi mengumpulkan keupayaan dan kebolehan pemain industri pertahanan menonjolkan keupayaan produk mereka di pameran itu,” katanya.

ACV 300
Kenderaan perisai ACV 300 “Adnan” milik Tentera Darat Malaysia yang dihasilkan oleh firma pertahanan Turki, FNSS dengan kerjasama DEFTECH.

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Nadzeem berkata menerusi pavilion berkenaan, terdapat antara enam hingga tujuh syarikat industri pertahanan tempatan yang baharu ‘berjinak-jinak’ dengan industri pertahanan.

“Di pavilion itu, kita akan dapat lihat produk yang dihasilkan mereka sama ada berkeupayaan untuk dipasarkan di pasaran antarabangsa, sekali gus menarik perhatian pemain industri antarabangsa untuk meneroka dengan produk pertahanan buatan Malaysia,” katanya. — DSA

 

Comments
Loading...