Kenderaan IFV “CV90” Barat Ditewaskan Guna Senjata “Datuk Nenek” Russia
Bagi anggota tentera Russia yang berjaya menawan kenderaan Infantry Fighting Vehicle "CV-90" buatan BAE Land Systems, kenderaan IFV yang banyak digunakan oleh negara-negara anggota NATO itu “tidak mengujakan” langsung daripada segi kemampuan dan prestasinya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini tentera Russia berjaya menawan kereta Infantry Fighting Vehicle (IFV) buatan Sweden “CV-90” digunakan oleh tentera Ukraine, yang digembar-gemburkan oleh syarikat pembuatnya, BAE Land Systems sebagai di antara kenderaan IFV terbaik dunia.
Bagi anggota tentera Russia yang berjaya menawan kenderaan IFV “CV-90” buatan BAE Land Systems, kenderaan IFV yang banyak digunakan oleh negara-negara anggota NATO itu “tidak mengujakan” langsung daripada segi kemampuan dan prestasinya.
Ini kerana, walau dilabel sebagai antara kenderaan IFV terbaik dunia (sama seperti Bradley buatan Amerika Syarikat), tetapi anggota tentera Russia menyatakan bahawa CV-90 buatan BAE itu dengan mudah ditewaskan oleh “senjata datuk nenek” mereka.
“Kenderaan CV-90 itu gagal beroperasi selepas ditembak menggunaan senjata datuk nenek kami,” kata seorang komander tentera Russia di Ukraine, Andrey Mordichev ketika memberi penerangan tentera kenderaan perisai Barat itu kepada Menteri Pertahanan negara itu Sergey Shoigu baru-baru ini.
Menurutnya, kenderaan perisai CV-90 itu gagal beroperasi selepas ditembak oleh anggota tentera Russia bersenjatakan RPG-7 yang disifatkan sebagai senjata “yang mudah dan murah” dan telah digunakan sejak tahun 1960-an.
Seperti kebiasaan, apa-apa sistem persenjataan Barat yang diberjaya ditawan oleh tentera Russia termasuk kenderaan perisai CV-90 itu, akan dihantar balik ke Russia untuk tujuan kajian dan penyelidikan oleh pakar-pakar senjata mereka.
Daripada kajian dan penyelidikan oleh pakar-pakar senjata itu, Russia akan mengetahui “titik kelemahannya” dan seterusnya merangka strategi dan kaedah untuk menewaskannta di medan peperangan.
Kajian oleh tentera Russia terhadap kenderaan perisai CV-90 itu menunjukkan ia tidak memiliki alat ganti dan kelengkapan untuk dilakukan pembaikan di medan, sekiranya ia berhadapan dengan masalah, kata Mordichev kepada Menteri Pertahananya itu.
Selain itu beliau juga berkata rekabentuk kenderaan perisai CV-90 itu adalah “agak tinggi” yang menjadikannya sasaran yang mudah untuk musuh berbanding kenderaan perisai Russia yang rendah (low silhouette).
Kenderaan perisai CV-90 itu dilengkapi dengan meriam 40mm L70, tetapi pakar-pakar senjata Russia menyatakan meriam itu mempunyai kadar tembakan (rate of fire) yang rendah disebabkan mekanisme reloading miliknya.
Pakar-pakar senjata Russia itu juga mendapati bahawa kenderaan CV-90 itu membawa beberapa varian peluru meriam 40mm tetapi jumlah keseluruhan peluru meriam yang dibawanya adalah amat rendah.
Kenderaan perisai buatan BAE Land System yang dirampas oleh tentera Russia itu hanya memiliki 24 butir peluru meriam 40mm.
Setiap kenderaan CV-90 yang seberat 37 tan itu berkemampuan membawa 11 orang anggota tentera termasuk pemandu, gunner dan komandernya.
Penganalisis pertahanan Barat menyatakan bahawa kenderaan IFV “CV-90” itu amat berkesan ketika beroperasi di kawasan hutan di Eropah terutamanya dalam misi memburu kereta-kereta kebal musuh.
Dalam serangan yang menyaksikan tentera Russia menawan kenderaan CV-90 itu, tembakan RPG-7 yang mengenai bahagian sisi kenderaan itu telah menyebabkan pemandu dan gunner CV-90 itu terbunuh manakala anggota tentera Ukraine lain berjaya melarikan diri.
Pada awal tahun ini, Sweden mula membekalkan kira-kira 50 buah kenderaan perisai IFV “CV-90” kepada Ukraine.
Sweden memiliki kira-kira 500 buah CV-90 dalam pelbagai varian digunakan oleh cabang-cabang angkatan tenteranya. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.