Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika “Tawan” KA-52 “Alligator” Russia, Jadikan Bahan Kajian

Konflik Russia-Ukraine memberikan peluang kepada Moscow dan Washington untuk melakukan kajian dengan lebih mendalam tentang kemampuan serta kelemahan sistem persenjataan masing-masing.

0 4,840

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak bermulanya konflik di Ukraine, beberapa sistem persenjataan “berprofil tinggi” Russia dikatakan telah menjadi milik Amerika Syarikat untuk dijadikan bahan kajian oleh pakar-pakar persenjataan negara itu dan perkara yang sama juga berlaku di mana Russia juga menggunakan peluang untuk melihat dengan lebih dekat sistem persenjataan buatan “musuhnya” itu. 

Konflik Russia-Ukraine memberikan peluang kepada Moscow dan Washington untuk melakukan kajian dengan lebih mendalam tentang kemampuan serta kelemahan sistem persenjataan masing-masing.

Antara sistem persenjataan yang menjadi perhatian uji kaji pakar-pakar senjata Amerika Syarikat dan Russia adalah helikopter penyerang KA-52 “Alligator” milik Russia dan sistem roket berganda HIMARS buatan Amerika Syarikat tetapi dibekalkan kepada tentera Ukraine.

Tentera Ukraine telah berjaya merampas sebuah helikopter penyerang “KA-52” yang lengkap tanpa mengalami sebarang kerosakan apabila ia berjaya merampas lapangan terbang Hostomel yang sebelum itu diduduki oleh tentera Russia.

Amerika Syarikat sememangnya memandang tinggi akan keupayaan helikopter penyerang KA-52 itu daripada dahulu dan peluang untuk mengkajinya dengan lebih dekat sememangnya adalah peluang yang amat dinantikannya.

Ka-52
Salah sebuah helikopter Ka-52 yang ditembak jatuh oleh tentera Ukraine.

 

Ia akan merungkai pelbagai “misteri” tentang keupayaan dan kelemahan helikopter penyerang Russia itu.

Helikopter KA-52 dengan no pendaftaran 40 itu berada di lapangan terbang Hostomel selama 40 hari selepas “ditinggalkan” oleh tentera Russia.

Menurut laporan, kemungkinan besar helikopter penyerang KA-52 itu telah dihantar ke Poland atau Republik Czech bagi membolehkan pakar-pakar pesenjataan Amerika Syarikat mengkaji segala sistem milik helikopter itu yang dipandang tinggi oleh mereka.

Selepas segala kajian selesai dijalankan, helikopter penyerang itu telah dikembalikan kepada Ukraine bagi membolehkan tentera negara Eropah Timur itu menggunakannya untuk menentang “bekas tuannya” iaitu Russia.

Baru-baru ini, Kementerian Pertahanan United Kingdom berkata bahawa, pihak tentera Russia telah kehilangan 25 peratus atau 23 buah helikopter penyerang Ka-52 “Alligator” sejak konflik bersenjata di Ukraine tercetus.

himars
Tentera Ukraine didakwa telah menjual dua unit HIMARS kepada tentera Russia.

 

Kementerian Pertahanan United Kingdom menyatakan bahawa Russia memiliki 90 buah helikopter penyerang itu di dalam angkatan tenteranya.

Menurutnya, kemungkinan besar helikopter penyerang Russia itu menjadi mangsa kepada sistem peluru berpandu pertahanan udara (manpads) pihak Ukraine.

Sebenarnya, banyak sistem-sistem persenjataan milik Russia seperti peluru berpandu, kereta kebal atau kereta perisai yang berjaya dirampas oleh tentera Ukraine telah dibaikpulih sebelum digunakan semula oleh mereka di medan peperangan bagi menentang “bekas tuannya.”

Menurut siasatan oleh badan-badan bukan kerajaan, sebanyak 27 buah sistem persenjataan Russia telah menjadi bahan kajian oleh pakar-pakar persenjataan Amerika Syarikat dan sekutunya sepanjang konflik Russia-Ukraine berlangsung.

Sementara itu, bukan hanya Amerika Syarikat sahaja yang berjaya “menawan” sistem-sistem persenjataan Russia, tetapi perkara sebaliknya juga berlaku apabila Russia juga menempa kejayaan dalam menawan senjata-senjata buatan Amerika Syarikat dan negara-negara Barat.

Ukraine
Tentera Ukraine membedil kedudukan tentera Russia menggunakan sistem meriam bergerak CAESAR 155mm disumbangkan oleh Perancis.

 

Antaranya adalah kejayaan Russia “menawan” dua buah sistem meriam bergerak “CAESAR 155mm buatan Perancis.

Sejurus selepas ditawan, sistem meriam bergerak CAESAR itu telah dihantar balik ke Russia untuk “dikaji” oleh pakar-pakar sistem artilleri negara itu.

Terdapat juga laporan mengatakan bahawa tentera Russia berjaya “merampas” peluru-peluru roket sistem roket berganda “HIMARS” buatan Amerika Syarikat yang gagal meletup untuk dijadikan kajian oleh pakar-pakar persenjataan Moscow. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...