China Kerah “Aset Rahsia” Pesawat EW/ELINT Y-9LG (High 13) ke Thailand
Kerahan aset udara yang begitu strategik dikenali sebagai Y-9LG atau “High 13”dan kebiasaannya beroperasi dibelakang tabir untuk tugasan EW/ELINT itu hanya membuktikan betapa eratnya hubungan pertahanan di antara Thailand dan China.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada latihan udara bersama “Falcon Strike” di antara tentera Thailand dan China di pangkalan Tentera Udara Diraja Thailand (RTAF) di Udon Thani yang bermula pada 19 hingga 29 Ogos lalu, China buat pertama kalinya telah mengerah sebuah aset Peperangan Elektronik/Perisikan Elektronik (EW/ELINT) pada latihan itu.
Kerahan aset udara yang begitu strategik dan kebiasaannya beroperasi dibelakang tabir itu hanya membuktikan betapa eratnya hubungan pertahanan di antara kedua-dua negara.
Walaupun menandatangani treati dengan Amerika Syarikat, namun Thailand juga mempunyai hubungan pertahanan yang rapat dengan China dan adalah negara pengguna utama sistem pertahanan buatan China.
Thailand telah membeli pelbagai sistem pertahanan buatan China daripada kapal-kapal perang, kereta perisai, kereta kebal, sistem pertahanan udara dan pelbagai lagi.
Pesawat misi khas EW/ELINT (Electronic Warfare/Electronic Intelligence) itu dikenali sebagai Y-9LG atau “High 13” merupakan salah satu daripada 13 pesawat kombat milik tentera China yang terlibat dalam latihan udara bersama itu.
Pesawat misi khas YL-9LG itu baru sahaja memasuki perkhidmatan dalamTentera Udara China dua tahun lepas, selepas dibangunkan sejak 2017 dan adalah berdasarkan kepada pesawat turboprop Shaanxi Y-9 .
Pesawat misi khas itu mudah dikenali kerana ia dilengkapi antenna “balance beam” yang hampir sama dengan pesawat AEW (Airborne Early Warning) “Erieye” yang dibangunkan oleh firma Saab dan juga pesawaat AEW China sendiri, KJ-200.
Thailand turut memiliki pesawat AEW “Erieye” yang diperolehinya bersama-sama pesawat pejuang JAS39 Gripen C/D.
Selain dilengkapi dengan antenna “Balance Beam”, pesawat EW/ELINT YL-9LG milik China itu turut memiliki kubah Komunikasi Satelit (SATCOM), antenna SIGINT (Signal Intelligence) dan juga antenna Electronic Support Measures (ESM).
Pesawat EW/ELINT Y-9LG milik China itu lebih dikenali sebagai platform “long range jamming” dalam misi menganggu dan memintas sistem dan peralatan elektronik musuh.
Selain pesawat khas YL-9LG pada latihan udara bersama “Falcon Strike”, Tentera Udara China turut menghantar pesawat pejuang J-11 terdiri daripada varian satu tempat duduk dan dua tempat duduk .
Terdapat juga laporan media menyatakan bahawa China turut menghantar pesawat pejuang J-10C untuk menyertai latihan udara bersama “Falcon Strike” pada tahun ini.
Selain itu, Tentera Udara China turut mengerahkan pesawat pejuang JH-7, J-10, pesawat AEW Shaanxi KJ-500 dan helikopter Mil Mi-171 manakala daripada Thailand pula, ia mengerahkan pesawat-pesawat JAS-39 Gripen C/D, pesawat AEW “Erieye” dan pesawat pejuang ringan Alpha Jet.
Tahun ini merupakan kali ke-tujuh tentera udara kedua-dua negara itu terlibat dalam latihan udara bersama “Falcon Strike” 2024, yang hanya membuktikan betapa eratnya hubungan ketenteraan di antara kedua-dua negara.
Menurut akhbar nasionalis China, Global Times, latihan “Falcon Strike” 2024 memberikan peluang kepada Tentera Udara China untuk mempelajari dan mendalami strategi dan taktik peperangan udara Barat kerana Thailand merupakan pengguna pesawat-pesawat pejuang Barat dan mengamalkan taktik peperangan udara Barat.
Menurut kenyataan oleh Kementerian Pertahanan China, latihan udara bersama antara China dan Thailand itu akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan skill kombat anggota tentera kedua-dua negara dan mendalamkan lagi pertukaran praktikal dan kerjasama. — DSA
Comments are closed.