Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Jual Balik S-400 Dan Kembali Pada F-35 – Cadang Bekas Menteri Turkiye

Bekas menteri kabinet Turkiye itu, Cavit Caglar berkata hanya dengan menjual sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russia itu kepada pihak ketiga, barulah Turkiye boleh memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat dan kembali dibenarkan semua untuk membeli pesawat pejuang generasi kelima, F-35.

0 785

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Seorang bekas menteri kabinet Turkiye telah mencetuskan perdebatan di negara itu baru-baru ini, apabila beliau secara terbuka mencadangkan supaya negara itu menjual sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russianya, S-400 “Triumf” kepada pihak ketiga seperti Pakistan.

Bekas menteri kabinet itu, Cavit Caglar berkata hanya dengan menjual sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russia itu kepada pihak ketiga, barulah Turkiye boleh memperbaiki hubungan dengan Amerika Syarikat dan kembali dibenarkan semua untuk membeli pesawat pejuang generasi kelima, F-35.

Beliau tidak nampak sebarang jalan penyelesaian terhadap isu perolehan F-35 sekiranya Turkiye masih terus memiliki S-400 buatan Russia itu.

Walaupun pada mulanya, Turkiye gembira dengan perolehan S-400 tetapi kini terdapat persoalan tentang integrasi sistem pertahanan udara itu dengan sistem pertahanan udara milik Turkiye yang lain serta nilai strategik sisten pertahanan buatan Russia itu.

Walaupun sudah beberapa tahun memiliki sistem pertahanan udara S-400 itu, tetapi Turkiye dilaporkan masih belum mengaktifkan sistem itu dalam strategi pertahanan keseluruhan negara itu.

F-35
F-35

 

Sistem S-400 milik Turkiye itu dilaporkan disimpan di suatu lokasi dirahsiakan dan masih belum dioperasikan.

Sistem pertahanan udara Russia itu juga diketepikan dan tidak diintergrasikan dalam sistem pertahanan udara berlapis (layered air defence) Turkiye dinamakan “Steel Dome” yang baru sahaja diperkenalkan oleh negara Mediterranean itu baru-baru ini.

Menurut maklumat oleh media pertahanan Turkiye, sistem pertahanan udara “Steel Dome” itu dibangunkan oleh industri pertahanan Turkiye dan menggabungkan pelbagai sistem pertahanan udara yang dibangunkan oleh negara itu.

Sistem-sistem pertahanan udara itu termasuklah — KORKUT, HİSAR-A+, GÖKDEMİR , GÖKER, GÖKBERK, HİSAR-O+ dan SİPER akan berkemampuan untuk beroperasi secara bersepadu.

Selain itu, komponen radar, sistem elektro-optik yang bertugas untuk mengenalpasti, menjejaki dan mengklasifikasi sasaran juga akan berfungsi secara bersepadu di dalam Sistem Pertahanan Udara Berlapis  Steel Dome itu.

Banyak spekulasi berkenaan penyertaan semula Turkiye dalam program pesawat pejuang F-35 sejak timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland pada akhir Januari lepas menyatakan bahawa Washington bersedia “menerima kembali” negara Mediterranean itu ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima itu.

F-35
F-35

 

“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.

Kenyataan yang dibuat oleh Nuland itu telah menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan di Turkiye.

Duta Amerika Syarikat ke Turkiye Jeff Flake beberapa bulan lalu turut menyatakan bahawa Nuland ketika melawat Turkiye Januari lalu telah “mencadangkan jalan penyelesaian” terhadap isu perolehan F-35 oleh negara Mediterranean itu.

Tahun lepas, Menteri Luar Turkiye pada ketika itu, Mavlut Cavusoglu menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menggesa Ankara supaya menghantar sistem pertahanan udara S-400 yang diperolehinya daripada Russia ke Ukraine.

Bagaimanapun, Ankara telah menolak  “permintaan” daripada Washington itu.

Cavit
Cavit Caglar

 

“Kami juga ditawarkan supaya menghantar sistem S-400 itu kepada Ukraine, tetapi kami tidak boleh melakukannya,” kata beliau kepada stesen televisyen Turkiye,Haberturk.

Diperolehi pada 2019, sistem pertahanan S-400 yang diperolehi Turkiye itu merupakan punca kepada ketegangan hubungan di antara Ankara dan Washington.

Ankara menandatangani perjanjian dengan Moscow pada 2017 untuk memperolehi sistem S-400 yang dianggarkan bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion).

Rejimen pertama sistem S-400 itu telah dihantar ke Turkiye pada 2019.

Turkiye membuat keputusan untuk mendapatkan sistem pertahanan udara S-400 selepas rundingannya untuk mendapatkan sistem pertahanan udara Patriot daripada Amerika Syarikat gagal.

Amerika Syarikat tidak memberikan alasan mengapa ia enggan menjual sistem pertahanan udara Patriot kepada Turkiye.

S-400
S-400 “Triumf”

 

Kegagalan memperolehi sistem pertahanan udara Patriot itu membuatkan Turki bertekad untuk mendapatkan S-400 daripada Russia yang menawarkan pakej menarik kepada Ankara termasuk pemindahan teknologi dan membuat sistem peluru berpandu itu di Turki sendiri.

Turki menjalankan ujian penembakan peluru berpandu S-400 di Sinop akhir tahun lepas.

Disebabkan “kedegilan” Turkiye untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 itu, Ankara menerima kesannya apabila ia dikeluarkan daripada program pembangunan pesawat pejuang generasi ke-lima F-35.

Turkiye juga tidak dibenarkan meneruskan pembelian 100 buah pesawat F-35 walaupun ia telah membayar wang pendahuluan sebanyak US$1.4 bilion.

Malah, enam buah pesawat F-35 milik Turkiye telah pun siap dibina di Amerika Syarikat, tetapi kini tersadai di hangar di negara itu, disebabkan keputusan Washington mengenakan sekatan ketenteraan terhadap Ankara. — DSA

 

Comments
Loading...