Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ex Falcon Strike Di Thailand Dedah “Kepincangan” Pesawat Pejuang, Industri Pertahanan China

Exercise Falcon Strike yang berlangsung pada 2015 di Korat,Thailand telah mendedahkan "kepincangan" sistem pertahanan yang dihasilkan oleh industri pertahanannya, sebagaimana didakwa oleh pemerhati pertahanan.

0 14,649

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang kita tahu, China menitikberatkan aspek kerahsiaan yang tinggi terhadap industri pertahanannya termasuk akan cuba sedaya-upaya untuk “menutup” sebarang  “kelemahan” berkenaan sistem persenjataan yang dihasilkan oleh industri pertahanan tempatannya.

Beijing dan media-medianya sering mengembar-gemburkan tentang keunggulan sistem persenjataan dihasilkan oleh industri pertahanannya dan bagaimana ia adalah lebih baik daripada apa yang dihasilkan oleh pesaingnya di Barat. 

Bagaimanapun, “langit tidak selalu cerah” bagi industri pertahanan China, dengan satu demi satu laporan media menyusul mengenai “kegagalan” sistem pertahanan yang dihasilkan oleh mereka.

Antaranya adalah bagaimana beberapa negara terutamanya di Timur Tengah dan benua Afrika yang membeli dron buatan China iaitu CH-4, mula berfikir dua kali tentang pembelian itu dan kini bertindak untuk menjual semula dron-dron yang dianggap “bermasalah” itu.

Satu demi satu dron buatan China yang dikatakan diciplak daripada dron buatan Amerika Syarikat, “Predator”, terhempas “menyembah bumi” akibat masalah teknikal yang kritikal.

CH-4
Salah sebuah dron CH-4 keluaran China yang terhempas di sebuah pangkalan udara di timur Algeria.

 

Selain daripada itu, tidak lama dahulu turut terdedah tentang apa yang berlaku pada tahun  2015 di Pangkalan Udara Thai di Korat (tengah Thailand) ketika diadakan latihan  bersama membabitkan Tentera Udara Thailand dengan Tentera Udara China dipanggil Exercise Falcon Strike.

China jarang-jarang sekali menghantar pesawat-pesawatnya untuk mengadakan latihan dengan negara-negara yang menggunakan pesawat pejuang buatan syarikat-syarikat Barat, mungkin kerana bimbang rahsia “ketidakmampuan” pesawatnya akan terdedah.

Di dalam Ex Falcon Strike itu, Tentera Udara Thailand telah mengetengahkan pesawat pejuang buatan Sweden, Saab JAS-39C/D Gripen manakala China pula membawa pesawat pejuang Shenyang J-11,  pesawat yang berdasarkan kepada rekabentuk Su-27 Flanker Russia dan dibina dalam negara secara “under license” daripada Russia.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa portal pertahanan antarabangsa, apa yang mengejutkan pakar-pakar pertahanan adalah bagaimana pesawat Gripen yang telah berusia 25 tahun itu dengan mudah menundukkan pesawat pejuang J-11 China yang jauh lebih muda dalam pertembungan secara Beyond Visual Range (BVR).

Menurut pakar-pakar pertahanan itu, kekalahan memalukan pesawat J-11 dalam latihan di Thailand itu sebenarnya mendedahkan kepincangan dalam kemampuan udara China dan industri pertahanan negara itu secara keseluruhannya.

Jika dengan Gripen yang sudah berusia itu pun pesawat pejuang buatan China yang lagi muda dan baru itu mudah ditundukkan, apa lagi sekiranya pesawat China itu bertembung dengan pesawat Barat yang jauh lebih muda seperti yang berada di dalam kategori Gen 4.5 atau Gen 5.

Sepanjang tujuh hari Ex Falcon Strike itu berlangsung, penganalisis mengatakan pesawat-pesawat pejuang China telah menunjukkan prestasi yang mengecewakan.

Semasa dua hari pertama latihan itu, pesawat J-11 China telah berjaya menembak jatuh Gripen sebanyak 25 kali dalam pertempuran “Within Visual Range (WVR) dengan hanya satu pesawatnya berjaya ditembak jatuh oleh pesawat buatan Sweden itu.

Gripen
Tiga buah pesawat Gripen Tentera Udara Diraja Thailand.

 

Laporan mengatakan dalam latihan pertempuran WVR itu, Gripen menggunakan peluru berpandu AIM-9 manakala J-11 pula menggunakan peluru berpandu PL-8.

PL-8 adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat yang dihasilkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan China.

Bagaimanapun pada keesokkan hari, iaitu pada hari ketiga latihan yang telah beralih ke fasa Beyond Visual Range dimana pesawat Gripen telah dilengkapkan dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM manakala J-11 pula menggunakan peluru berpandu PL-12.

Dalam fasa latihan BVR itu, pesawat Gripen Thailand telah berjaya menembak jatuh pesawat J-11 China sebanyak 41 kali berbanding hanya sembilan kali pesawat Gripen  “tumbang” ditangan J-11.

Penganalisis mengatakan 88 peratus daripada kejayaan pesawat Gripen menembak jatuh J-11 itu adalah pada jarak lebih daripada 19 batu.

Pesawat Gripen juga berjaya menembak jatuh J-11 sekurang-kurangnya 11 kali pada jarak melebihi 31 batu.

Analisis tentang kemampuan J-11 China dalam latihan udara dengan Thailand itu dikatakan telah disampaikan oleh seorang pegawai tentera udara China dikenali dengan nama , “Li Zhonghua” di Northwestern Polytechnical Universiti di China.

Li, sebagaimana di dalam portal itu mendakwa bahawa beliau turut menyertai latihan di Korat, Thailand itu.

 

 

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...