CAATSA, Sekatan Ekonomi “Bunuh” Program Pembangunan Su-75 “Checkmate” Russia
Menurut penganalisis pertahanan, akibat daripada CAATSA Russia kini tidak lagi mampu untuk mengimport mesin-mesin berteknologi tinggi (precision machining) dan semikonduktor, menyebabkan negara itu tidak mampu membangunkan -- bukan sahaja pesawat sebenar itu tetapi membina pesawat prototaip Su-75 juga mendatangkan masalah besar kepada Moscow.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Undang-undang kontroversial Amerika Syarikat yang dinamakan – Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act [CAATSA] disifatkan sebagai “senjata” yang paling berkesan digunakan oleh Amerika Syarikat untuk “membunuh” industri pertahanan Russia — yang sebelum ini memberikan negara itu pendapatan berbilion-bilion dollar.
Ditambah pula dengan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadapnya akibat pencerobohan di Ukraine, industri pertahanan Russia kini tidak dapat dinafikan sedang berhadapan dengan “kematian yang perlahan”.
Antara “mangsa” utama kepada CAATSA dan sekatan ekonomi itu adalah program pembangunan pesawat pejuang Su-75 “Checkmate”, yang ditonjolkan oleh Russia sebagai pesawat pejuang generasi kelima ber-kos rendah untuk bersaing dengan F-35 yang dibangunkan oleh Amerika Syarikat.
Menurut penganalisis pertahanan, akibat daripada CAATSA Russia kini tidak lagi mampu untuk mengimport mesin-mesin berteknologi tinggi (precision machining) dan semikonduktor, menyebabkan negara itu tidak mampu membangunkan — bukan sahaja pesawat sebenar itu tetapi membina pesawat prototaip Su-75 juga mendatangkan masalah besar kepada Moscow.
“Setakat ini, Russia hanya menghasilkan mock-up pesawat Su-75.”
Ketiadaan komponen dan peralatan, mikrocip dan semikonduktor telah memaksa Moscow untuk beberapa kali mengubah perancangan pembangunan untuk pesawat Su-75 yang dijangka bakal menjadi antara produk terlaris bagi industri pertahanan Russia.
Pesawat generasi kelima ber-kos rendah itu sepatutnya melakukan penerbangan sulungnya pada tahun ini, tetapi disebabkan satu demi satu masalah dihadapinya – maka penerbangan sulung Su-75 hanya dijangka dapat dilakukan pada 2024, tetapi tarikh itu juga kini dipersoalkan.
Pihak Russia menjangkakan pesawat Su-75 “Checkmate” akan mula dihasilkan (serial production) pada 2025, tetapi agensi kerajaan Russia, Rostec menyatakan produksi pesawat tidak akan bermula sekurang-kurangnya sehingga 2027.

Ancaman CAATSA dan pengaruh undang-undang Amerika Syarikat serta sekatan ekonomi adalah “senjata” yang berkesan dan telah menakutkan banyak pelanggan berpotensinya sehingga Emiriah Arab Bersatu (UAE) membatalkan cadangannya untuk membiayai pembangunan pesawat Su-75.
Dakwaan media menyatakan — sebagai “balasan” terhadap tindakan UAE membatalkan cadangan pembiayaan pesawat Su-75, Amerika Syarikat “memudahkan” usaha negara Arab Teluk itu memperolehi senjata-senjata canggih sistem pertahanan udara buatan Israel.
Comments are closed.