Kenyataan “Kelakar” Menteri Pertahanan China Tarik Perhatian
Pada Dialog Shangri-La di Singapura yang baru sahaja berakhir, Menteri Pertahanan China yang baru Li Shangfu telah mengeluarkan kenyataan berbunyi: “Mengapa perkara sebegini berlaku berhampiran perairan dan ruang udara berdaulat China? Kapal-kapal dan pesawat China tidak pernah pergi berhampiran ruang udara dan perairan milik negara lain.”
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Semasa Dialog Shangri-La yang baru sahaja berakhir di Singapura baru-baru ini, Menteri Pertahanan China yang baru Li Shangfu telah menarik perhatian selepas beliau mengeluarkan satu kenyataan yang “amat kelakar” terutamanya pada negara-negara serantau yang kerap menjadi mangsa “pencerobohannya”.
Beliau telah mengeluarkan kenyataan yang “kelakar” itu sehari selepas dikritik hebat oleh Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat Lloyd Austin dan Menteri Pertahanan Kanada Anita Anand.
Kedua-dua pemimpin Amerika Utara itu telah mengkritik tindak-tanduk berbahaya pesawat-pesawat China di ruang udara Laut China Selatan ketika ia cuba memintas pesawat-pesawat milik Amerika Syarikat dan Kanada yang sedang menjalankan operasi.
Menurut Li, “Mengapa perkara sebegini berlaku berhampiran perairan dan ruang udara berdaulat China? Kapal-kapal dan pesawat China tidak pernah pergi berhampiran ruang udara dan perairan milik negara lain.”
“Cara terbaik untuk mencegah perkara itu daripada berlaku adalah kapal-kapal tentera dan pesawat tidak sepatutnya menghampiri perairan dan ruang udara kami. Apa kaitan ini (kehadiran pesawat dan kapal asing berhampiran China) dengan keselamatan anda?
“Jaga perairan dan ruang udara anda dan ia tidak akan ada masalah.”
Kenyataan oleh Menteri Pertahanan China pada Dialog Shangri-La itu seolah-olah menunjukkan Beijing sentiasa mematuhi undang-undang antarabangsa ketika melaksanakan urusannnya di Laut China Selatan.
Ia seolah-olah menunjukkan Beijing tidak pernah menghantar kapal-kapal dan pesawatnya menghampiri perairan dan ruang udara berdaulat (territorial waters) milik negara-negara lain, termasuk Malaysia.
Bagaimana pula perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan. Masihkah China mahu “berlagak suci”???
Mungkin Menteri Pertahanan China yang baru itu terlupa tentang apa yang berlaku pada 31 Mei 2021 di mana seluruh negara telah dikejutkan dengan “penerbangan mencurigakan” 16 buah pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China/ People’s Liberation Army- Air Force (PLAAF) .
Pesawat-pesawat China itu terdiri daripada Ilyushin IL-76 dan Xian Y-20.
Pada hari tersebut, pihak Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah mengesan pesawat-pesawat tentera China memasuki ruang udara ZMM (Zon Maritim Malaysia), Kota Kinabalu Flight Information Region (FIR) dan menghampiri ruang udara milik Malaysia.
Penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi.
“Pesawat-pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar. “
“Mereka kemudiannya didapati mengubah arah penerbangan di ruang udara Beting Patinggi Ali yang berkepentingan kepada negara,” menurut TUDM dalam kenyataan itu.
TUDM turut mengerahkan pesawat Hawk 208 yang berpengkalan di Pangkalan Udara Labuan untuk memintas pesawat-pesawat pengangkut China.
Itu apa yang berlaku di ruang udara. Bagaimana pula di perairan pula?
Satu dunia mengetahui bahawa China telah menghantar kapal-kapal pengawal pantainya ke kawasan perairan ZEE Malaysia terutamanya di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) seawal tahun-tahun 2015-2016.
Penghantaran kapal-kapal pengawal pantai China termasuk kapal gergasi digelar “The Monster” ke perairan ZEE Malaysia berterusan sehingga kini.
Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di sekitar Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) yang terletak di dalam perairan ZEE Malaysia hampir sepanjang masa tahun lepas.
Badan penyelidikan dalam laporannya berkata, kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali sebanyak 316 hari pada tahun lepas, yang merupakan suatu peningkatan daripada 279 hari pada tahun 2020.
“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.
Dengan segala bukti-bukti yang jelas unutk dilihat oleh seluruh dunia, mengapa Menteri Pertahanan China yang baru itu masih menegakkan benang yang basah dengan mengeluarkan kenyataan “karut” bahawa “Kapal-kapal dan pesawat China tidak pernah pergi berhampiran ruang udara dan perairan milik negara lain.” — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]