Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

BrahMos Aerospace Terus Berharap Malaysia Jadi Pengguna Peluru Berpandu “BrahMos”

Sejak beberapa edisi LIMA atau DSA, syarikat BrahMos Aerospace boleh dikatakan adalah pempamer tetap di kedua-dua pameran pertahanan itu, setia mengharapkan agar Malaysia menjadi pembeli bagi sistem peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan secara bersama di antara India dan Russia.

0 9,556

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada pameran LIMA ’23 yang berakhir baru-baru ini, pengurusan BrahMos Aerospace tanpa penat dan lelah setia menunggu kunjungan daripada pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM dan Kementerian Pertahanan.

Sejak beberapa edisi LIMA atau DSA, syarikat BrahMos Aerospace boleh dikatakan adalah pempamer tetap di kedua-dua pameran pertahanan itu, setia mengharapkan agar Malaysia menjadi pembeli bagi sistem peluru berpandu BrahMos yang dibangunkan secara bersama di antara India dan Russia.

Komitmen mereka untuk melihat Malaysia menjadi pembeli peluru berpandu itu tidak dapat disangkal lagi dan semangat untuk melihat negara ini menjadi pelanggannya sudah tentu semakin berkobar-kobar selepas ia berjaya menjual BrahMos kepada Filipina.

Brahmos
BrahMos Aerospace di LIMA ’23 baru-baru ini.

 

Bercakap kepada Defence Security Asia pada LIMA ’23 baru-baru ini, pegawai BrahMos Aeropace berkata, mereka bersedia menjalin kerjasama dengan ATM dan Kementerian Pertahanan bagi memastikan Malaysia menjadi pengguna terbaru peluru berpandu itu.

“Kami berkeyakinan tinggi bahawa peluru berpandu BrahMos adalah penyelesaian terbaik untuk menangani cabaran-cabaran keselamatan yang sedang dihadapi oleh ATM. Pegawai tentera ATM yang melawat booth kami juga nampaknya teruja dengan sistem BrahMos,” kata pegawai syarikat itu.

Peluru berpandu adalah penyelesaian kos effektif kerana ia boleh digunakan oleh ketiga-tiga cabang angkatan tentera sama ada ia tentera udara, tentera laut mahupun tentera udara.

“Sistem peluru berpandu Brahmos adalah penyelesaian yang kos effektif kerana ia bukan sahaja dilancarkan oleh kapal-kapal perang, tetapi ia juga boleh dilancarkan oleh kenderaan pelancar pesisir pantai, pesawat-pesawat pejuang dan juga kapal selam.”

“Satu solusi untuk tentera udara, tentera laut dan tentera darat,” kata beliau.

Brahmos

Ditanya sama ada pengurusan syarikat BrahMos telah memulakan rundingan secara rasmi dengan Kementerian Pertahanan untuk membekalkan sistem itu kepada ATM, pegawai syarikat BrahMos itu enggan mendedahkannya dengan memberikan alasan bahawa soalan itu perlu dikemukakan kepada pengurusan tertinggi syarikat.

Admin merasakan bahawa peluang untuk Malaysia menjadi pengguna peluru berpandu BrahMos pada masa ini adalah amat tipis.

Selain Malaysia, syarikat BrahMos turut mensasarkan beberapa negara ASEAN selain Malaysia sebagai pengguna peluru berpandu itu termasuk Vietnam dan Indonesia serta Arab Saudi bagi rantau Timur Tengah.

Peluru berpandu BrahMos adalah peluru berpandu supersonik kerana ia berkemampuan meluncur pada kelajuan 2.8 Mach sama ada dilancarkan oleh kapal perang, kenderaan pelancar bergerak atau pesawat pejuang.

Dengan kelajuan supersonic dan low-signature kepada radar musuh,  BrahMos boleh membedil sasaran sejauh 290km, malah didalam varian extended-range jarak bedilan peluru berpandu itu telah dipertingkatkan kepada kira-kira 350km.

Payload peluru berpandu BrahMos pula adalah sekitar 300kg.

Brahmos
“BrahMos” Air-Launched Cruise Missile (ALCM)

 

Peluru berpandu BrahMos adalah berdasarkan kepada peluru berpandu “Onyx” yang dibangunkan oleh Russia,yang mempunyai hubungan ketenteraan baik dengan India sejak berdekad lamanya. BrahMos Aerospace merupakan syarikat usahasama di antara Defence Research and Development Organisation (DRDO) daripada India dan NPO Mashinostreyenia (NPOM) daripada Russia.

Peluru berpandu Brahmos merupakan peluru berpandu kruis jarak sederhana yang menggunakan teknologi enjin ramjet yang boleh dilancarkan daripada pelbagai platform sama ada udara, kapal, kapal selam serta daripada sistem pelancar pesisir pantai.

Pada ketika ini, Filipina menjadi negara tunggal yang memiliki sistem peluru berpandu BrahMos apabila ia menandatangani kontrak  kontrak bernilai US$374 juta (RM1.5 bilion) awal tahun lepas dengan Brahmos Aerospace untuk memperolehi sistem peluru berpandu itu.

Dengan penganugerahan itu, Filipina menjadi negara pertama di luar India yang menggunakan sistem peluru berpandu anti-kapal itu yang akan diletakkan di kawasan-kawasan pesisiran pantai negara.

Filipina dipercayai menggunakan sistem peluru berpandu Brahmos itu untuk mencegah China daripada sebarang cubaan merampas dan menduduki pulau atau terumbu-terumbu karang yang berada dalam kawasan perairan Zon Ekonomi Eksklusifnya (ZEE) di Laut China Selatan. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...