Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Beli Senjata Telah Tamat Perkhidmatan Untuk Dihantar Ke Ukraine

Amerika Syarikat dikatakan “terdesak” mencari lebih banyak senjata untuk dihantar ke Ukraine bagi digunakan terhadap tentera Russia,  sehinggakan ia sanggup membeli senjata yang telah ditamatkan perkhidmatannya (decommissioned) oleh negara pengguna untuk dihantar ke negara Eropah Timur itu.

0 8,150

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dikatakan “terdesak” mencari lebih banyak senjata untuk dihantar ke Ukraine bagi digunakan terhadap tentera Russia,  sehinggakan ia sanggup membeli senjata yang telah ditamatkan perkhidmatannya (decommissioned) oleh negara pengguna untuk dihantar ke negara Eropah Timur itu.

Terbaru, Washington dilaporkan akan membeli sistem pertahanan udara yang baru sahaja dibersarakan oleh Taiwan selepas perkhidmatan selama 63 tahun dan menghantarnya ke Ukraine sebagai sebahagian daripada pakej bantuan ketenteraan Amerika kepada negara Eropah Timur itu.

Laporan media daripada Taiwan menyatakan bahawa sistem pertahanan udara Phase III MIM-23 Hawk (Homing All The Way Killer) yang baru sahaja dibersarakan daripada perkhidmatan tentera negara itu akan dijual kepada Amerika Syarikat.

Hawk

 

Penjualan sistem pertahanan udara itu adalah hasil rundingan antara Taiwan dan Amerika Syarikat bermula sejak tahun lepas.

Amerika Syarikat bercadang menggunakan sistem pertahanan udara yang baru sahaja ditamatkan khidmatnya oleh Taiwan itu untuk menangani pesawat-pesawat tanpa pemandu serta pesawat altitud rendah Russia di Ukraine.

Bukan sahaja Taiwan diminta untuk menjual senjata-senjata yang telah ditamatkan khidmatnya, malah Washington turut meminta negara-negara sekutunya yang lain seperti Israel dan Sepanyol untuk berbuat perkara yang sama.

Israel dan Sepanyol juga dilaporkan menjual sistem pertahanan udara Hawk mereka kepada Amerika Syarikat untuk dijadikan sebahagian daripada pakej bantuan ketenteraan Washington kepada Kiev.

Sepanyol telah menghantar sistem pertahanan udara Hawk itu ke Ukraine pada akhir tahun lepas.

Menurut Kementerian Pertahanan Taiwan,  senjata-senjata yang telah ditamatkan perkhidmatannya akan dilupuskan mengikut peraturan pihak tentera negara pulau itu.

Hawk

Mengikut peraturan, senjata-senjata lebihan dalam inventori pihak tentera negara itu tidak boleh dijual kecuali di atas “keadaan tertentu” dan telah mendapat kelulusan daripada pihak Kementerian Pertahanan Taiwan.

Sistem pertahanan udara Hawk itu mula memasuki inventori tentera Taiwan pada tahun 1960.

Sistem pertahanan udara jarak sederhana Hawk telah dibangunkan oleh firma pertahanan Raytheon,RTX dan mula memasuki perkhidmatan tentera Amerika Syarikat pada tahun 1959 bagi menggantikan sistem pertahanan udara “Nike”.

Pada 1971, kemampuan sistem pertahanan udara Hawk itu telah dipertingkatkan dan dikenali sebagai Improved-Hawk atau I-Hawk dan terus berkhidmat untuk tentera Amerika Syarikat sehinggalah sistem pertahanan udara Patriot mula memasuki perkhidmatan pada 1994.

Kor Marin Amerika Syarikat menggunakan sistem pertahanan udara Hawk sehingga tahun 2002.

Di kalangan negara-negara Asean, Singapura dan Thailand merupakan dua negara yang menggunakan sistem pertahanan udara Hawk, namun status terkininya tidak diketahui.

Baru-baru ini, syarikat Raytheon dilaporkan terpaksa memanggil jurutera-juruteranya yang sudah lama bersara untuk memulakan kembali pembuatan sistem peluru berpandu “Stinger” yang telah lama ditamatkan, disebabkan permintaan yang tinggi akibat konflik di Ukraine.

Stinger
Tentera Ukraine dengan peluru berpandu “Stinger”

 

“Peluru berpandu Stinger tidak dibina sejak 20 tahun yang lalu tetapi di dalam tempoh 48 jam selepas tercetusnya konflik di Ukraine, peluru berpandu itu telah menjadi “bintang” dan tiba-tiba semua pihak di Ukraine mahu memiliki peluru berpandu itu,” kata presiden salah satu divisyen dalam Raytheon,Wes Kremer kepada media ketika Paris Air Show yang baru sahaja berakhir.

“Kita terpaksa memanggil kembali pekerja yang kini usianya telah mencecah 70-an untuk mengajar pekerja-pekerja baru tentang bagaimana untuk membina peluru berpandu Stinger. Kita terpaksa menggunakan kembali peralatan-peralatan lama daripada gudang yang mempunyai banyak sarang labah-labah,” katanya.

Menurut media, apa yang dilalui oleh Raytheon merupakan satu lagi contoh syarikat pertahanan terpaksa memulakan kembali pembuatan sistem pertahanan yang sudah lama tidak digunakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, semata-mata untuk menampung penggunaan tinggi di Ukraine.

Pihak pentadbiran Amerika Syarikat sehingga kini telah mengirimkan lebih daripada 2,000 sistem peluru berpandu “Stinger” kepada Ukraine untuk menembak jatuh pesawat pejuang, helikopter dan juga dron-dron milik Russia. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...