Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

MiG-29 Slovakia Diserah Pada Ukraine “Rosak”, Dakwa Disabotaj Russia

Beberapa minggu selepas Slovakia menyerahkan empat pesawat pejuang MiG-29 miliknya kepada Tentera Udara Ukraine, terdapat dakwaan mengatakan bahawa keempat-empat MiG-29 terbabit telah “rosak” dan tidak lagi berkemampuan untuk bertempur.

0 5,564

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Slovakia telah menyumbang 13 pesawat pejuang MiG-29 miliknya kepada Ukraine, untuk digunakan oleh tentera udara negara itu bagi memastikan ruang udara negara itu bebas daripada pesawat-pesawat penceroboh Russia.

Setakat ini, Slovakia telah menyerahkan empat buah pesawat pejuang itu manakala selebihnya akan diserahkan kemudian.

Bagaimanapun, beberapa minggu selepas penyerahan keempat-empat pesawat pejuang MiG-29 milik Slovakia kepada Tentera Udara Ukraine, terdapat dakwaan bahawa keempat-empat pesawat itu telah “rosak” dan tidak lagi berkemampuan untuk bertempur.

MiG-29
Pesawat pejuang MiG-29 Tentera Udara Slovakia

 

“Pesawat-pesawat berkenaan (MiG-29) masih lagi boleh terbang, tetapi ia tidak bermakna mereka juga berkeupayaan untuk bertempur,” menurut Menteri Pertahanan Slovakia Jaroslav Nad.

Beliau percaya kerosakan pada pesawat-pesawat MiG-29 millik Slovakia yang diserahkan kepada Ukraine telah dilakukan oleh kakitangan teknikal Russia, yang berada di salah sebuah pangkalan udara di Slovakia untuk kerja-kerja menyelenggara secara jangka panjang pesawat pejuang itu.

Anggota teknikal daripada syarikat Russian Aircraft Corporation itu berada di Pangkalan udara Sliac, Slovakia sehingga akhir 2022, beberapa bulan selepas Russia menceroboh Ukraine pada Februari tahun lepas sehingga menyebabkan peperangan di antara kedua-dua negara jiran yang terus berlanjutan sehingga kini.

Menteri Pertahanan Slovakia itu berkata kerosakan hanya dikesan pada komponen-komponen pesawat MiG-29 yang diselenggara oleh kakitangan teknikal warga Russia itu, manakala komponen yang diselenggara oleh kakitangan teknikal Slovakia masih di dalam keadaan yang baik.

“Kerosakan (pada MiG-29 Slovakia) itu hanya berlaku pada komponen di mana kakitangan teknikal Russia mempunyai akses,” katanya.

MiG-29

“Pihak Polis juga turut melakukan siasatan,  berdasarkan kepada apa yang disyaki oleh kami. Terdapat komponen pada enjin pesawat itu yang diakses oleh kakitangan teknikal Slovakia dan ada juga komponen yang diakses oleh kakitangan Russia.”

“Kerosakan hanya dikesan pada komponen yang diakses oleh kakitangan Russia,” kata Menteri Pertahanan itu lagi.

Pihak Polis Slovakia masih gagal mengenalpasti pihak-pihak bertanggungjawab yang “merosakkan” pesawat MiG-29 miliknya, tetapi telah dipindahkan kepada Tentera Udara Ukraine untuk digunakan oleh mereka bagi menangani pesawat-pesawat pejuang Russia lain.

Walaupun begitu, tahap kebolehpercayaan pihak Slovakia terhadap kakitangan teknikal Russia yang ditempatkan di Pangkalan Udara Sliac untuk menyelenggara MiG-29 milik negara, itu telah musnah kerana kerosakan itu hanya berlaku terhadap komponen di mana mereka (anggota teknikal Russia) mempunyai akses terhadapnya.

Menteri Pertahanan Slovakia itu bagaimanapun percaya Ukraine mempunyai kepakaran untuk memulihkan pesawar-pesawat MiG-29 yang “rosak” itu.

Sementara itu, bekas pengawai tinggi Tentera Udara Slovakia Lt Jen Lubomir Svoboda mendakwa bahawa kakitangan teknikal Russia itu telah dengan sengaja merosakkan pesawat-pesawat MiG-29 miliknya itu.

“Kita memperolehi enjin daripada Russia yang dikatakan oleh digunakan sehingga 350 jam. Akhirnya, pesawat pejuang hanya boleh terbang untuk 70 jam. Mungkin mereka (anggota teknikal Russia) tidak melakukan kerja-kerja penyelenggaraan dengan baik,” kata beliau.

MiG-29

Tentera Udara Slovakia “mewarisi” sembilan buah MiG-29A satu tempat duduk dan sebuah pesawat dua tempat duduk MiG-29UB selepas Czech dan Slovakia berpisah pada tahun 1993.

Slovakia mempeolehi 12 buah pesawat MiG-29A dan dua buah MiG-29UB tambahan daripada Russia sebagai sebahagian daripada kaedah penyelesaian hutang di antara Slovakia dan Russia di antara tahun 1993 hingga 1996.

Pada tahun 2009, Slovakia mengambil kakitangan teknikal daripada syarikat Russia Aircraft Corporation (RAC) untuk menaiktaraf 10 buah pesawat MiG-29A dan dua varian UB pesawat itu bagi memastikan pesawat terbabit itu memiliki sistem radio dan navigasi baru bagi memastikan ia mencapai standard interoperabiliti  dengan negara-negara NATO yang lain.

Tentera Udara Slovakia telah menamatkan kesemua pesawat-pesawat MiG-29 miliknya pada Ogos tahun lepas.– DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...