Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Gambar) Kapal Pengawal Pantai China “Berkawal” Di Platform Minyak,Gas Negara?

Gambar-gambar eksklusif dikirimkan kepada Defence Security Asia menunjukkan sebuah kapal pengawal pantai China dan bot militia maritim negara ini berada sangat hampir dengan platform-platform minyak dan gas dipercayai terletak di dalam perairan Sarawak.

0 8,413

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebagaimana yang diketahui,kapal-kapal pengawal pantai China kerap kali memasuki perairan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara terutama di perairan Sarawak berhampiran dengan Beting Patinggi Ali yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Semalam pembaca Defence Security Asia telah mengirimkan beberapa keping gambar bertarikh 27 Mac 2023 menunjukkan kehadiran sebuah kapal pengawal pantai China berhampiran platform minyak dan gas dipercayai terletak di dalam perairan Sarawak.

Tidak dinyatakan identiti syarikat minyak dan gas yang mengoperasi platform-platform hidrokarbon terbabit.

Kapal China
“The Monster” ???(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Menurut pembaca terbabit itu lagi, platform minyak dan gas yang bertuah menerima “kunjungan” kapal pengawal pantai China itu terletak di tidak jauh daripada Miri, walaupun kedudukan sebenar jarak platform itu dalam kiraan Batu Nautika daripada pantai Miri tidak dinyatakan dengan jelas.

“Platform minyak dan gas yang didatangi kapal pengawal pantai China itu terletak tidak jauh daripada Miri,” dakwa pembaca Defence Security Asia yang enggan mendedahkan identitinya kerana tidak dibenarkan bercakap dengan media.

Selain kapal pengawal pantai China, gambar yang dikirimkan kepada Defence Security Asia turut memaparkan sebuah bot nelayan tetapi dipercayai  kemungkinan besar merupakan bot militia maritim China yang sentiasa berada di kawasan-kawasan perairan dituntut negara itu.

Bot-bot militia maritim China diibaratkan sebagai “mata dan telinga”  dan pelaku utama aktiviti “gray zone” negara itu di Laut China Selatan.

Penggunaan kapal-kapal pengawal pantai dan bot-bot militia maritim negara itu merupakan aktiviti “gray zone” oleh China di kawasan-kawasan perairan Laut China Selatan yang dituntut sebagai miliknya.

Aktiviti “gray zone” ini merujuk kepada tindakan dilakukan oleh sesebuah negara yang memberi kesan buruk kepada negara lain dan kadangkala disifatkan sebagai tindakan peperangan (acts of war) tetapi secara perundangannya tidak dikategorikan sebagai suatu tindakan peperangan.

Kapal China
Bot Nelayan???? atau mungkinkan ia bot militia maritim China. (kredit pembaca Defence Security Asia)

 

Memasuki kawasan perairan ZEE milik negara lain dan menganggu operasi minyak dan gas di kawasan perairan terbabit menggunakan kapal-kapal pengawal pantai dan bot-bot militia maritim China merupakan contoh aktiviti “gray zone.”

Analisis oleh badan penyelidik antarabangsa mendapati rondaan oleh kapal-kapal pengawal pantai milik China di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk di Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia pada tahun lepas  adalah meluas dan agresif.

Menurut Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) yang berpengkalan di Washington, kapal-kapal pengawal pantai China didapati melakukan rondaan di beberapa ciri maritim di Laut China Selatan termasuk Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) hampir setiap hari sepanjang tahun lepas.

Beting Patinggi Ali terletak kira-kira 84 batu nautika (155 km) dari pantai Miri (spesifiknya di Tanjung Baram), Sarawak  dan berada di dalam perairan ZEE Malaysia mengikut United Nations Convention on the Law Of The Sea 1982 (UNCLOS).

Menurut AMTI, tahun 2022 telah menunjukkan peningkatan secara menyeluruh rondaan kapal-kapal pengawal pantai China di ciri-ciri maritim itu Laut China Selatan.

Kapal China
(kredit pembaca Defence Security Asia)

 

“Bilangan hari di mana kapal-kapal pengawal pantai China melakukan rondaan di Beting Patinggi Ali berhampiran dengan operasi minyak dan gas penting Malaysia telah meningkat daripada 279 hari pada 2020 kepada 316 hari pada tahun lepas,” menurut badan penyelidik itu.

Laporan oleh AMTI itu menunjukkan kapal-kapal pengawal pantai China itu berada di Beting Patinggi Ali hampir sepanjang 360 hari pada tahun lepas.

Bilangan hari di mana kapal-kapal peronda pantai China meronda di Beting Patinggi Ali adalah kedua tertinggi di antara kelima-lima ciri maritim di Laut China Selatan.

Ia hanya dibelakang Scarborough Shoal yang menyaksikan bilangan hari rondaan kapal-kapal China meronda pada tahun lepas meningkat kepada 344 hari daripada 287 hari pada 2020.

Beting Patinggi Ali
Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) dan kedudukannya di perairan Sarawak.

 

Sementara itu, bilangan hari kapal-kapal pengawal pantai China meronda di Vanguard Bank, yang merupakan lokasi utama minyak dan gas Vietnam telah meningkat sekali ganda daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada tahun lepas.

Bagi Second Thomas Shoal pula, rondaan kapal-kapal pengawal pantai China telah meningkat daripada 142 hari pada 2020 kepada 310 hari pada 2022, manakala bagi Pulau Thitu milik Filipina, rondaan kapal-kapal China telah meningkat kepada 208 hari pada tahun lepas, menurut AMTI. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...