Pembinaan “Bare Bone Base” TUDM Di Bintulu Semakin Menjadi Kenyataan
Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu, walaupun "bare bone base" berhampiran dengan Laut China Selatan adalah penting sebagai deterrent (cegah rintang) kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh sempadan maritim negara di perairan terbabit yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas asli.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Cadangan untuk membina pangkalan udara “bare bone base” untuk Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Bintulu berhampiran Laut China Selatan semakin menghampiri kenyataan apabila Kementerian Pertahanan menjangkakan tender bagi pembinaan pangkalan udara itu akan dapat dikeluarkan pada suku keempat tahun ini.
Kenyataan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz di Dewan Negara baru-baru ini menunjukkan kerja-kerja pembinaan “bare bone base” itu berjalan dengan lancar dan bakal menjadi realiti tidak lama lagi.
Menurut timbalan menteri itu lagi, status projek itu kini adalah dalam pra-pembinaan iaitu TUDM dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya sedang di dalam proses pemurnian akhir skop kajian penyiasatan tapak projek dan proses awal konsep reka bentuk “bare bone base” TUDM di Bintulu itu.

“Sehingga kini, tiada permasalahan yang dihadapi dan dikenalpasti melibatkan projek itu. Projek ini akan melalui penilaian makmal pengurusan nilai bersama dengan pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri yang akan dilaksanakan pada 6 hingga 10 Jun ini.
“Selepas makmal pengurusan nilai ini dimuktamadkan kelak, projek ini dijangka dapat ditender pada suku keempat 2022,” katanya.
“Bare Bone Base” merujuk kepada pangkalan udara yang memiliki kemudahan-kemudahan yang minimum untuk menyokong sesuatu operasi seperti landasan, taxiway dan kawasan meletak pesawat dan helikopter.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) tahun lepas, kerajaan telah mengumumkan pembinaan “Bare Bone Base” TUDM di Bintulu, Sarawak yang terletak tidak jauh daripada perairan Laut China Selatan dan lapangan-lapangan minyak dan gas milik negara.
Kehadiran sebuah pangkalan udara di Bintulu, walaupun “bare bone base” berhampiran dengan Laut China Selatan adalah penting sebagai deterrent (cegah rintang) kepada sebarang percubaan oleh pihak asing untuk menceroboh sempadan maritim negara di perairan terbabit yang diketahui kaya dengan sumber minyak dan gas asli.
Sebagaimana yang kita tahu, China telah meningkatkan percerobohan oleh kapal-kapal pengawal pantai mereka di kawasan perairan Sarawak sejak kebelakangan ini.
Dengan adanya sebuah pangkalan TUDM di Bintulu itu, ia akan memudahkan lagi pesawat-pesawat TUDM (sama ada pesawat pejuang atau Maritime Patrol Aircraft) untuk melakukan pemantauan di kawasan-kawasan seperti Beting Patinggi Ali, James Shoal dan lain-lain yang kerap dicerobohi oleh kapal-kapal pengawal pantai China.
Comments are closed.