Amerika Sumbang Lebih Banyak Aset Ketenteraan Kepada Sekutu Rapatnya, Filipina
Terbaru,Amerika Syarikat bercadang memindahkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules kepada Filipina bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara Asia Tenggara itu.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Di dalam usaha membantu meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara sekutu rapatnya, Filipina, terutama dalam menangani tindakan agresif tentera China di Laut China Selatan, Amerika Syarikat telah bertindak “menyumbang” lebih banyak aset-aset ketenteraan miliknya kepada Manila.
Terbaru,Amerika Syarikat bercadang memindahkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules kepada Filipina bagi meningkatkan lagi kemampuan pertahanan negara Asia Tenggara itu.
Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, selepas memaklumkan Kongres negara itu Washington akan memindahkan dua buah kapal peronda kelas- Island dan dua buah kapal peronda kelas-Protector kepada Angkatan Tentera Filipina.

Manila juga akan menerima tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules yang akan meningkatkan lagi kemampuan Angkatan Tentera Filipina dalam operasi pengangkutan dan usaha-usaha kemanusiaan ketika bencana alam.
Pengumuman oleh Rumah Putih tentang pemberian aset-aset tentera itu berlaku ketika Presiden Filipina Ferdinand “Bong Bong” Marcos berada di Washington dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Presiden Amerika Syarikat, Jo Biden.
“Sebarang peralatan/platform yang boleh membantu kemampuan pengangkutan Angkatan Tentera Filipina akan menyumbang dalam usaha mengangkut anggota tentera dan lojistik ketika operasi tentera,” menurut jurucakap Angkatan Tentera Filipina Kolonel Ma Consuelo Castillo kepada Agensi Berita Filipina.
Sumbangan terbaru aset ketenteraan milik Uncle Sam itu membabitkan empat buah kapal peronda dan tiga buah pesawat pengangkut C-130H Hercules itu berlaku hanya sebulan selepas Amerika Syarikat menyumbang dua buah kapal peronda kelas-Cyclone miliknya kepada Filipina.
Kedua-dua bekas kapal peronda kelas-Cyclone milik Tentera Laut Amerika Syarikat yang kini dimiliki oleh Tentera Laut Filipina adalah USS Monsoon (PC-4) dan USS Chinook (PC-9) dan dipindahkan kepada negara Asia Tenggara itu di bawah program Excess Defense Articles (EDA) kerajaan Amerika Syarikat.

Kedua-dua buah kapal peronda yang telah berkhidmat dengan Tentera Laut Amerika Syarikat selama hampir tiga dekad dan berpengkalan di Manama, Bahrain ketika di dilucut tauliah dalam satu upacara bulan lepas.
Tentera Laut Amerika Syarikat memiliki 14 buah kapal peronda kelas-Cyclone yang telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan di antara tahun 1994 hingga 1995.
Comments are closed.