Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika “Tekan” Argentina Supaya Beli F-16, Bimbang China “Bertapak” Di Amerika Selatan

Amerika Syarikat percaya sekiranya Argentina menolak F-16 buatannya dan memilih pesawat pejuang JF-17 buatan China/Pakistan, ia akan memberikan peluang kepada Beijing untuk “bertapak” di negara itu, sebelum meluaskan pengaruh politik dan ketenteraannya ke keseluruhan rantau Amerika Selatan, sekaligus "mengancam" kepentingan Washington.

4,008

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Amerika Syarikat dilaporkan telah meningkatkan “tekanan” terhadap Argentina supaya menolak tawaran penjualan pesawat pejuang JF-17 buatan China/Pakistan dan Tejas LCA oleh India, sebaliknya memilih pesawat terpakai F-16A/B buatannya untuk tentera udaranya.

Sebab utama peningkatan tekanan oleh Washington supaya Buenos Aires memilih F-16 itu adalah untuk memastikan Argentina tidak memilih pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dibangunkan oleh China/Pakistan serta Tejas LCA oleh India.

Amerika Syarikat percaya sekiranya Argentina memilih pesawat pejuang JF-17, ia akan memberikan peluang kepada Beijing untuk “bertapak” di negara itu, sebelum meluaskan pengaruh politik dan ketenteraannya ke keseluruhan rantau Amerika Selatan.

JF-17
Pesawat JF-17 “Thunder” milik Pakistan

 

Pentadbiran Presiden Jo Biden tidak mahu melihat Beijing meluaskan pengaruhnya di negara-negara Amerika Selatan dan sebab itulah ia bertindak menekan Argentina supaya membeli pesawat terpakai F-16 yang sebelum ini digunakan oleh Denmark.

Untuk memastikan perkara itu tidak berlaku, Washington menawarkan sejumlah 24 pesawat pejuang F-16A/B  milik Denmark yang telah tamat khidmat kepada Argentina dalam tawaran yang dianggar bernilai kira-kira US$700 juta (RM3.1 bilion), walaupun daripada segi teknikalnya adalah jelas bahawa pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dilengkapi oleh radar AESA dan pelbagai peralatan moden adalah jauh berkemampuan berbanding varian awal F-16 Amerika itu.

Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat mendakwa ia akan mendapatkan kelulusan daripada Kongres negara itu supaya penjualan pesawat pejuang keluaran syarikat Lockheed Martin kepada Argentina itu dapat diteruskan.

Walaupun pesawat-pesawat F-16 yang mahu dijual kepada Argentina itu milik Denmark,namun sebarang penjualan ke negara ketika perlu mendapat kelulusan daripada Amerika Syarikat,

Argentina sedang berusaha mencari pesawat-pesawat pejuang baru untuk menggantikan pesawat pejuang Mirage yang telah ditamatkan khidmat oleh tentera udara negara itu pada 2015.

Tejas
Aksi pesawat “Tejas” pada Singapore Air Show 2022.

 

Pada ketika ini, Tentera Udara Argentina dilengkapi dengan sekurang-kurangnya 10 buah pesawat pejuang A-4 Skyhawk dan pesawat latihan IA-63 Pampa.

Kementerian Pertahanan Argentina dilaporkan telah menyediakan peruntukan sebanyak US$664 juta (RM2.9 bilion) untuk memperolehi 12 buah pesawat pejuang baru.

Sebelum ini, Buenos Aires bercadang membeli pesawat pejuang FA-50 daripada Korea Selatan tetapi cadangan itu tidak dapat diteruskan berikutan sekatan senjata yang dikenakan oleh United Kingdom terhadap Argentina akibat Perang Falklands yang berlau puluhan tahun dahulu.

Walaupun pesawat FA-50 itu buatan Korea Selatan, namun pesawat itu memiliki banyak komponen dan peralatan buatan syarikat-syarikat United Kingdom, menyebabkan ia tertakluk pada sekatan senjata oleh United Kingdom itu dan tidak boleh dijual kepada Argentina.

Sekatan senjata oleh United Kingdom itu menyebabkan Argentina telah melihat kepada pesawat-pesawat pejuang lain yang dihasilkan oleh China, Pakistan dan India serta MiG-35 yang dibangunkan oleh Russia, sebagai alternatif kepada pesawat-pesawat pejuang yang memiliki komponen syarikat United Kingdom.

Argentina
Pesawat pejuang A-4 Skyhawk Tentera Udara Argentina.

 

Walaupun pesawat pejuang F-16 itu turut menggunakan komponen dan peralatan dihasilkan syarikat United Kingdom, namun Amerika Syarikat memberi jaminan bahawa United Kingdom bersetuju untuk menggugurkan sekatan senjata itu bagi membolehkan Argentina membelinya.

Kesemuanya adalah semata-mata untuk mengelak Buenos Aires memilih pesawat pejuang JF-17 buatan China dan Pakistan.

Adalah amat malang kepada pesawat pejuang Tejas buatan India sekiranya Argentina memilih F-16 buatan Amerika Syarikat itu kerana New Delhi kelihatan amat yakin untuk memenangi saingan Amerika Selatan itu berikutan minat mendalam ditunjukkan oleh Kementerian Pertahanan Argentina sebelum ini.

Pegawai-pegawai kanan Tentera Udara Argentina telah pun melakukan lawatan ke India sebelum ini untuk meninjau kemudahan pembuatan pesawat Tejas itu dan pegawai kanan India serta syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) juga telah bertandang ke Buenos Aires.

Nampaknya usaha India mencari pasaran eksport pertama bagi pesawat Tejas buatan industri pertahananya perlu menunggu masa yang lebih lama. — DSA

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.