Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Arab Saudi Bakal Pengguna Terbaru Helikopter Bersenjata Z-10ME Buatan China?

Menurut laporan, rundingan dengan syarikat Changhe Aircraft Industries Corp (CAIC) yang membangunkan helikopter bersenjata Z-10ME it itu termasuklah tentang kemungkinan agensi pembangunan industri pertahanan Arab Saudi itu memasang sendiri helikopter bersenjata buatan China itu di negara pengeluar minyak itu.

4,411

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Agensi pembangunan industri pertahanan Arab Saudi, General Authority for Military Industries (GAMI) dilaporkan telah memulakan rundingan dengan syarikat China yang membangunkan helikopter bersenjata, Z-10ME, dikatakan pesaing kepada helikopter bersenjata AH-64 “Apache” buatan Amerika Syarikat.

Menurut laporan oleh portal Tactical Report, rundingan dengan syarikat Changhe Aircraft Industries Corp (CAIC) yang membangunkan helikopter bersenjata Z-10ME it itu termasuklah tentang kemungkinan GAMI memasang helikopter bersenjata China itu di Arab Saudi.

Selain itu rundingan antara kedua-dua pihak itu juga melibatkan perkara tentang pemindahan teknologi antara China dan Arab Saudi yang tidak lama sebelum ini dikenali sebagai negara sekutu rapat Amerika Syarikat di rantau Teluk.

Kini Arab Saudi adalah antara pembeli terbesar senjata buatan China di rantau Teluk.

Perkembangan terbaru itu hanya mengesahkan lagi hubungan dan kerjasama pertahanan yang semakin erat di antara

GAMI yang ditubuhkan pada tahun 2017 merupakan agensi kerajaan Arab Saudi yang bertanggungjawab dalam mengawal selia, memantau dan membangunkan industri pertahanan di negara Arab itu.

Z-10ME
Z-10ME

 

Ia mensasarkan menjelang tahun 2030, lebih daripada 50 peratus daripada peralatan pertahanan yang digunakan oleh Angkatan Tentera Arab Saudi adalah buatan tempatan.

Pada Februari lalu, varian eksport helikopter penyerang Z-10ME buatan China yang merupakan pesaing kepada helikopter penyerang Amerika Syarikat, AH-64D Apache membuat kemunculan sulungnya pasaran antarabangsa dengan menyertai Singapore Air Show.

Helikopter penyerang buatan China itu telah digunakan secara meluas oleh unit udara tentera darat negara itu dalam beberapa latihan besar-besaran berhampiran Taiwan dan India sebelum ini.

Terdapat laporan mengatakan bahawa terdapat varian helikopter Z-10 digunakan oleh unit udara tentera darat China menggunakan enjin yang dibangunkan bersama dengan firma pembuat enjin Perancis, Safran Helicopter Engines.

Enjin yang dibangunkan bersama dengan firma Perancis itu membolehkan helikopter penyerang Z-10 itu beroperasi pada altitud tinggi terutamanya kawasan pergunungan di sempadan China-India.

Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada varian eksport helikopter penyerang China itu dilengkapkan dengan enjin yang dibangunkan secara bersama dengan syarikat Perancis.

Z-10
Z-10

 

Sementara itu, terdapat juga laporan menyatakan bahawa helikopter penyerang China itu dilengkapi dengan Milimetre Wave Radar (MVR) sebagaimana yang turut dilengkapkan pada helikopter penyerang AH-64D Apache buatan Amerika Syarikat.

Selain Pakistan, tidak pasti negara mana lain di dunia ini menggunakan helikopter penyerang Z-10ME.

Pada tahun lepas, Pakistan dilaporkan telah mula menerima helikopter penyerang Z-10ME buatan China itu, selepas usahanya untuk memperolehi helikopter penyerang T129 ATAK buatan Turkiye dihalang oleh Amerika Syarikat.

Penghantaran helikopter penyerang China kepada Pakistan itu hanya mengukuhkan lagi hubungan ketenteraan di antara negara Asia Selatan itu dengan Beijing.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Pakistan muncul sebagai antara pengguna utama sistem persenjataan buatan China daripada pesawat pejuang kepada kapal-kapal perang.

Sebelum perolehan helikopter Z-10ME buatan China itu, Islamabad telah menandatangani kontrak dengan Turkiye pada 2018 untuk memperolehi 20 buah helikopter penyerang ATAK yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dengan nilai US$1.5 bilion (RM6.75 bilion).

Z-10

Walaupun helikopter penyerang T129 ATAK itu dibina oleh syarikat Turkiye, namun enjinnya dibekalkan oleh Amerika Syarikat, sekaligus memberikan Washington kuasa untuk “veto” penjualannya kepada Pakistan.

Enjin LHTEC T800-4A yang digunakan oleh helikopter ATAK itu dibangunkan oleh firma Amerika Syarikat, Honeywell dan syarikat pengeluar enjin British, Roll-Royce.

Helikopter penyerang China, Z-10ME yang dibangunkan oleh syarikat Changhe Aircraft Industries Corporation (CAIC) memiliki berat enam tan yang dilengkapi dengan pelbagai persenjataan untuk melaksanakan misi dan operasi pada apa-apa keadaan cuaca, malam atau siang.

Ia dilengkapi dengan peluru-peluru berpandu udara-ke-darat dan udara-ke-udara. – DSA

Comments are closed.