TUDM Catat Sejarah Di Labuan: Penerbangan Pertama ANKA-THS Buka Era Baharu Keupayaan ISTAR Negara
Ujian penerbangan pertama ANKA-THS selama tiga jam di Pangkalan Udara Labuan menandakan perubahan paling penting dalam transformasi keupayaan pengawasan, risikan dan operasi udara tanpa pemandu Tentera Udara Diraja Malaysia.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) melalui No 11 Skuadron telah melakar sejarah baru dalam pemodenan TUDM dimana ujian penerbangan pertama pesawat tanpa pemandu ANKA-THS telah berjaya dilaksanakan di Pangkalan Udara Labuan pada petang semalam.
Sistem pesawat tanpa pemandu ANKA itu dikategorikan sebagai Medium Altitude Long Endurance (MALE).
Menurut kenyataan media sosial TUDM hari ini, ujian penerbangan selama tiga jam tersebut merupakan sebahagian daripada persediaan sebelum penyerahan aset baharu kepada pihak TUDM.

“Kejayaan penerbangan sulung pesawat ANKA-THS ini adalah hasil kerjasama dan koordinasi yang jitu antara Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU), Markas Wilayah Udara 2 (MAWILUD 2), MTU-Perancangan & Pembangunan, Pangkalan Udara Labuan serta agensi lain seperti Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM), Bahagian Geospatial Pertahanan (BGSP), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Kaji Cuaca Malaysia (MET Malaysia) .”
Sistem pesawat ANKA-THS yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) bakal memperkukuh keupayaan Intelligence, Surveillance, Target Acquisition and Reconnaissance (ISTAR) TUDM dalam melaksanakan pemantauan strategik di Wilayah Timur serta kawasan kepentingan negara seperti Laut China Selatan.
Pesawat ANKA-THS ini mampu melaksanakan pemantauan secara tepat dalam pelbagai keadaan cuaca, siang dan malam dengan keupayaan durasi penerbangan melebihi 20 jam.
Pesawat ini merupakan sebahagian daripada Fasa 1 Pelan Perolehan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) serta selari dengan pelan pembangunan keupayaan TUDM melalui CAP55.
Perolehan aset baharu ini juga secara langsung akan meningkatkan keupayaan TUDM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan operasi pemantauan strategik, pengawasan maritim serta pengumpulan maklumat perisikan, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan pertahanan dan kedaulatan negara.
Kontrak pemerolehan tiga unit MALE-UAS ANKA bersama peralatan sokongan berkaitan dimeterai antara Kementerian Pertahanan dan TAI semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA 2023).
Sistem pesawat tanpa pemandu ANKA yang diperolehi oleh Malaysia itu akan memainkan peranan yang penting dalam usaha-usaha pemantauan terhadap Laut China Selatan.

Malaysia telah menyatakan hasrat untuk menempatkan ANKA MALE-UAS yang diperoleh nanti di Pangkalan Udara Labuan bagi berfungsi sebagai “mata dan telinga”, memantau pencerobohan asing ke perairan negara, khususnya dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) di Laut China Selatan, yang merupakan kawasan utama aktiviti minyak dan gas.
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan kepentingan melengkapi negara dengan keupayaan pengawasan menyeluruh dan keperluan mempunyai “mata untuk melihat dan telinga untuk mendengar” segala yang berlaku dalam perairan negara, khususnya di Laut China Selatan.
“Tiga buah dron MALE yang kita perolehi itu akan dikerah ke Laut China Selatan. Kita mesti mempunyai kemampuan mata dan telinga. Mata kita mesti mempunyai kemampuan untuk memandang jauh 350km daripada pantai, “ kata beliau.
Menurutnya, negara mesti mengetahui apa sahaja di Laut China Selatan sebelum ia berlaku.
Malaysia dikatakan memilih varian ANKA-S yang mampu beroperasi pada ketinggian hingga 30,000 kaki selama 24 hingga 30 jam, dengan kapasiti muatan antara 250 hingga 350 kilogram.
Penerbangan sulung “ANKA-S” telah berjaya dilakukan pada September 2016 sebelum pengeluaran bersirinya dilakukan setahun selepas itu.
Penghantaran dua buah ANKA-S yang pertama kepada Tentera Udara Turkiye telah dilakukan pada Februari 2018, sebelum penghantaran seterusnya dilakukan selepas itu.
Varian ANKA-S MALE-UAS mempunyai kerangka komposit yang disepadukan dengan komputer kawalan penerbangan autonomi yang dibangunkan secara domestik, membolehkan ia melakukan pemanduan waypoint dan operasi penerbangan autonomi.
Sistem kawalan penerbangan otonomi itu membolehkan ANKA-S itu “pulang” ke lokasi sebagaimana telah ditetapkan terlebih dahulu, sekiranya ia berhadapan dengan kehilangan komunikasi dengan stesen kawalan daratnya.
Dilengkapi dengan Synthetic Aperture Radar (SAR), Inverse SAR (ISAR), dan radar Ground Moving Target Indicator (GMTI), ANKA-S mampu mengesan, mengenal pasti dan menjejak sasaran statik atau bergerak.

Synthetic Aperture Radar (SAR) membolehkan dron ANKA-S menghasilkan imej resolusi tinggi, mengesan sasaran bergerak di darat serta beroperasi dalam semua cuaca siang dan malam.
Inverse SAR (ISAR) pula menfokuskan kepada pengimejan sasaran maritim bergerak, membezakan jenis kapal, serta memperkukuh keupayaan pengawasan maritim strategik.
Manakala Ground Moving Target Indication (GMTI) pula berfungsi mengesan, menjejak dan membezakan sasaran bergerak di daratan seperti kenderaan berperisai, trak logistik atau konvoi tentera.
Melalui radar berteknologi tinggi, GMTI membolehkan dron mengenal pasti pergerakan musuh secara masa nyata, meningkatkan kesedaran situasi dan keberkesanan operasi ketenteraan.
Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), ANKA-S serba canggih itu juga mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh untuk misi serangan darat.
Peluru berpandu MAM Smart Micro dibangunkan oleh syarikat pertahanan Turkiye, ROKETSAN.
Syarikat ini mereka bentuk MAM sebagai senjata pintar ringan untuk UAV, pesawat ringan dan platform udara lain, dengan jarak operasi 8–14 kilometer, berpanduan laser atau GPS/INS, berkeupayaan menembusi perisai, serta efektif melawan sasaran darat dan maritim.
Dengan kemampuan membawa muatan lebih daripada 200kg, ANKA-S mampu melaksanakan pelbagai misi bergantung kepada muatan yang dibawanya.
Dron ANKA-S boleh melaksanakan beberapa misi real-time intelligence, surveillance dan reconnaissance (ISR), communication relay, target acquisition dan tracking.
Ia juga dilengkapkan dengan kamera electro-optic / infrared (EO / IR) untuk mengambil imej dan video resolusi tinggi didalam semua jenis keadaan cuaca, Sistem Identification Friend or Foe (IFF), laser designator dan laser range finder.
Di dalam radome ANKA-S itu, ia turut dilengkapi dengan ViaSat VR-18C airborne satellite communications (SATCOM) antenna yang berkuasa tinggi, memberikan komunikasi beyond line-of-sight (BLOS) yang selamat.
ANKA-S menggunakan enjin turboprop PD170 yang dibangunkan secara dalam negara oleh Turkish Engine Industries (TEI) dibawah kontrak dengan TAI pada 2014.
Enijn pesawat tanpa pemandu itu menggunakan minyak diesel dan JP-8 jet fuel yang memberikan kuasa maksimum sebanyak 150 kuasa kuda.
Dron ANKA itu telah diperkenalkan secara rasmi ke dalam perkhidmatan Tentera Udara Turkiye pada tahun 2017 dan sejak itu terlibat dalam pelbagai operasi tempur, termasuk di Syria, Iraq dan Libya.
Program pembangunan dron ANKA itu turut melibatkan kerjasama dengan syarikat-syarikat pertahanan utama Turkiye seperti Aselsan, AYESAS, Havelsan dan C2TECH dalam penyediaan subsistem serta integrasi muatan.
Sehingga kini, dron ANKA telah merekodkan lebih 200,000 jam penerbangan dan melalui pelbagai penambahbaikan, termasuk penggantian enjin, penaiktarafan radar serta integrasi Synthetic Aperture Radar (SAR) bagi meningkatkan keberkesanan operasi.
Kadar kandungan tempatan dalam program ini adalah sangat tinggi, termasuk penggunaan enjin TEI-PD170 yang dibangunkan oleh TUSAŞ Engine Industries, menggantikan enjin buatan Jerman yang digunakan pada peringkat awal.
Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh industri pertahanan Turkiye, malah menegaskan kedudukan ANKA-S sebagai salah satu sistem UAV strategik yang berperanan besar dalam operasi ketenteraan moden negara tersebut.

BACA: Malaysia Mula Terima Dron ANKA-S Dari Turkiye Februari 2026, Tingkat Kawalan Laut China Selatan
Impak Strategik ANKA-S Beroperasi Dari Pangkalan Udara Labuan
Sekiranya dron ANKA-S milik Turkiye beroperasi daripada Pangkalan Udara Labuan sebagaimana dilaporkan, ia bakal memberi kesan mendalam terhadap keseimbangan keselamatan, pertahanan, dan geopolitik di rantau ini, khususnya di Laut China Selatan yang kian sarat dengan persaingan kuasa besar.
Dengan keupayaan penerbangan berterusan melebihi 24 jam tanpa henti, ANKA-S memberikan Malaysia kelebihan untuk mengekalkan rondaan udara jarak jauh pada kos yang jauh lebih rendah berbanding penggunaan pesawat pejuang.
Keupayaan endurance ini membolehkan ANKA-S mengawasi kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di Laut China Selatan yang sering dicerobohi kapal pengawal pantai asing, kapal nelayan bersenjata dan aset tentera negara luar yang mahu menguji tahap kesiapsiagaan Malaysia.
Dalam konteks operasi, kehadiran ANKA-S membolehkan Malaysia memiliki apa yang dipanggil sebagai “persistent ISR capability” atau keupayaan perisikan, pengawasan dan peninjauan yang berterusan tanpa keperluan untuk menukar pesawat atau menurunkan tempo operasi.
Dilengkapi dengan penderia Synthetic Aperture Radar (SAR), Inverse SAR (ISAR) dan Ground Moving Target Indication (GMTI), ANKA-S mampu beroperasi siang dan malam serta dalam semua keadaan cuaca, menjadikannya platform yang sangat efektif untuk pengawasan strategik.
SAR membolehkan dron ini menghasilkan imej resolusi tinggi walaupun melalui awan tebal atau hujan lebat, manakala ISAR pula mengkhusus kepada pemantauan sasaran maritim dengan keupayaan membezakan jenis kapal sama ada frigat, kapal dagang atau bot laju bersenjata.
GMTI pula membolehkan ANKA-S menjejak sasaran bergerak, satu keupayaan yang memberikan nilai taktikal tinggi dalam operasi tempur mahupun pengawasan sempadan.
Pengoperasian daripada Labuan memberikan kedudukan geografi yang amat strategik kerana pangkalan tersebut terletak berhampiran dengan Laut Sulu dan Laut Sulawesi, kawasan yang lama terdedah kepada ancaman penculikan, penyeludupan dan serangan kumpulan militan.
Dengan liputan radar dan penderia ANKA-S, sebarang pergerakan mencurigakan di kawasan timur Sabah boleh dikesan lebih awal dan data realtime boleh dihantar kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk tindakan segera.
Lebih penting lagi, ANKA-S bukan sahaja berfungsi sebagai platform pengawasan tetapi juga berupaya melaksanakan serangan tepat melalui integrasi peluru berpandu pintar MAM-L dan MAM-C yang dibangunkan oleh Roketsan.
Peluru berpandu ringan tetapi berkuasa tinggi ini mempunyai jarak operasi antara 8 hingga 14 kilometer, berkeupayaan menembusi perisai kenderaan berperisai, memusnahkan kubu pertahanan serta bot laju, sekali gus mengubah ANKA-S menjadi aset tempur yang boleh menamatkan ancaman bernilai tinggi dengan kos yang jauh lebih rendah.
Kos operasi dron ini hanya sebahagian kecil daripada kos mengoperasikan pesawat pejuang, menjadikannya pengganda kuasa (force multiplier) kepada TUDM dalam menutup jurang pemantauan udara dan mengekalkan tekanan operasi ke atas pihak lawan.
Dari perspektif geostrategik, penempatan ANKA-S di Labuan menghantar mesej jelas bahawa Malaysia serius mempertahankan kedaulatan maritimnya di Laut China Selatan yang kini menjadi gelanggang utama persaingan antara Amerika Syarikat dan China.
Dengan China memperkukuh kehadirannya di Kepulauan Spratly termasuk membina fasiliti ketenteraan dan menempatkan peluru berpandu anti-kapal serta radar jarak jauh, Malaysia memerlukan platform ISR yang mampu mengesan pergerakan strategik ini secara konsisten.
Negara-negara jiran seperti Filipina dan Vietnam yang turut terlibat dalam tuntutan bertindih di Laut China Selatan juga pasti melihat langkah Malaysia ini sebagai satu bentuk peningkatan keupayaan yang boleh mengubah kalkulus keselamatan serantau.
Selain itu, pengoperasian ANKA-S dari Labuan akan meningkatkan interoperability Malaysia dengan negara-negara sahabat yang juga mengoperasikan UAV berkeupayaan tinggi, sekali gus membuka ruang untuk kerjasama pertukaran data risikan serta operasi bersama.
Dalam konteks geopolitik, ia memberikan Malaysia kedudukan tawar-menawar (leverage) yang lebih kukuh dalam rundingan diplomatik berkaitan isu Laut China Selatan kerana kehadiran aset ini membuktikan negara mampu memantau dan mempertahankan wilayahnya sendiri.
Dari sudut doktrin ketenteraan, penempatan ANKA-S menandakan peralihan Malaysia kepada penggunaan aset berteknologi tinggi yang menggabungkan keupayaan ISR dengan keupayaan serangan pintar, sejajar dengan tren peperangan moden yang berasaskan maklumat dan serangan jarak jauh berketepatan tinggi.
Kesimpulannya, jika ANKA-S ditempatkan di Pangkalan Udara Labuan, ia akan mengubah landskap keselamatan Malaysia secara menyeluruh, menutup jurang dalam kemampuan pengawasan udara, memberikan data risikan realtime, memperkukuh operasi bersama agensi keselamatan, serta menghantar mesej strategik kepada kuasa besar dan negara jiran bahawa Malaysia bersedia mempertahankan kepentingan maritimnya daripada sebarang ancaman.
