Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Sistem UAS-MALE Negara Akan Beroperasi Dari Pangkalan Udara Labuan

Beroperasi daripada “rumahnya” di Labuan, sistem pesawat tanpa pemandu itu kelak akan melaksanakan misi-misi ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) di Laut China Selatan dan di pantai timur Sabah.

0 1,872

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pangkalan Udara Labuan dipilih sebagai “rumah” kepada sistem pesawat tanpa pemandu negara negara selepas Kementerian Pertahanan memutuskan aset itu akan beroperasi daripada pangkalan udara strategik itu.

Perkara itu disahkan oleh Timbalan Menteri Pertahanan Ikmal Hisham Abdul Aziz ketika menjawab soalan ahli parlimen di Dewan Rakyat hari ini.

Beroperasi daripada “rumahnya” di Labuan, sistem pesawat tanpa pemandu itu kelak akan melaksanakan misi-misi ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaisance) di Laut China Selatan dan di pantai timur Sabah.

Merad
Tiga buah pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM di Pangkalan Udara Labuan ketika dalam satu latihan baru-baru ini.

 

Sistem itu akan memastikan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memperolehi maklumat-maklumat perisikan secara real-time daripada kedua-dua medan operasi itu yang berhadapan dengan pelbagai cabaran keselamatan daripada pencerobohan kapal-kapal China di Laut China Selatan kepada kehadiran kumpulan-kumpulan Kidnap-For Ransom (KFR) di Laut Sulu.

Ikmal berkata aset yang akan dioperasikan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka diterima oleh negara pada tahun 2025 sebelum operasi sepenuhnya dicapai pada tahun berikutnya pada tahun 2026.

Proses perolehan sistem Unmanned Aerial System-Medium Altitude Long Endurance (UAS-MALE) telah pun selesai dilaksanakan oleh Kementerian Pertahanan dan cadangan perolehannya telah pun dikemukakan kepada Kementerian Kewangan.

Kementerian Kewangan dijangka mengumumkan pemenang tender perolehan sistem UAS-MALE itu dalam jangkamasa terdekat,kemungkinan bulan ini.

Kementerian Pertahanan telah mengiklankan tender antarabangsa untuk mendapatkan tiga buah sistem UAS-MALE (bersama-sama segala sistem yang berkait dengannya seperti ground stations dll) pada Ogos 2020.

Anka

Tender itu telah pun ditutup pada 26 November 2020.

Kerajaan Malaysia telah meluluskan sejumlah peruntukan di bawah Kelulusan Keperluan Kritikal (Rancangan Perbelanjaan (RP)-4) bagi perolehan tiga buah UAS MALE Fasa 1.

Tiga lagi buah sistem UAS-MALE akan dibeli pada Rancangan Malaysia Ke-13.

Malaysia sudah hampir pasti akan memilih sistem tanpa pemandu (Unmanned Aerial System-Medium Altitude Long Endurance) UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Sumber industri mengesahkan perkara itu kepada Defence Security Asia, walaupun pemilihan “Anka-S” sememangnya sudah dijangka sejak tender perolehan tiga buah sistem UAS-MALE itu dibuka untuk saingan pada tahun 2020 yang lalu.

Anka-S
UAS-MALE “Anka-S”

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Spekulasi perolehan Anka S oleh Malaysia itu semakin hebat diperkatakan selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melakukan lawatan ke kemudahan TAI di Ankara baru-baru ini.

Sistem UAS-MALE “Anka-S” mempunyai kemampuan untuk terbang selama 24 hingga 30 jam, 30,000 kaki altitud dan membawa bebanan di antara 250-350 kilogram.

Setiap sebuah “Anka-S” itu berkemampuan membawa empat buah peluru berpandu MAM Smart Micro Munitions yang dibangunkan oleh sebuah lagi syarikat Turki, Roketsan. — DSA

Comments
Loading...