Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dron “Anka” Cipta Rekod Baru, Terbang Selama 30 Jam 30 Minit

Baru-baru ini, Anka yang merupakan dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) telah berjaya terbang tanpa henti selama 30 jam dan 30 minit.

0 3,221

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat Tanpa Pemandu “Anka” yang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI) dan bakal dimiliki oleh Malaysia telah berjaya mencatat rekod penerbangan yang baru.

Baru-baru ini, Anka yang merupakan dron MALE (Medium Altitude Long Endurance) telah berjaya terbang tanpa henti selama 30 jam dan 30 minit.

“Anka telah mencatat kejayaan baru!!! Ia telah memecahkan rekod penerbangan paling jauh dengan misi penerbangan selama 30 jam dan 30 minit dalam satu sortie,” menurut ciapan TAI menerusi akaun Twitter milik syarikat itu.

Menurut laporan, dron Anka yang berjaya mencipta rekod penerbangan itu adalah daripada varian “Next Generation”.

Varian dron Anka Next-Generation itu adalah berdasarkan kepada varian Anka-S yang telah pun digunakan oleh pasukan keselamatan Turkiye.

Turki
Sistem UAS-MALE “Anka-S” dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI)

 

Tahun lepas, TAI telah menyerahkan empat buah dron Anka-S kepada kepada angkatan tentera Turkiye, dengan dua daripada digunakan oleh tentera laut negara itu manakala dua yang lain digunakan oleh Tentera Udara Turki.

Bercakap kepada media tempatan, Naib Pengerusi TAI UAV Systems Omer Yildiz  berkata bahawa apa yang membezakan antara varian Anka-S dan Next Generation adalah pada profil sayapnya.

Varian Anka-S mempunyai kemampuan untuk membawa muatan seberat 250 kg dan terbang selama 24 jam manakala varian Next Generation pula boleh membawa muatan kira-kira 350 kg dan berada di udara selama 30 jam.

Struktur komposit pesawat tanpa pemandu Anka-S itu mengintegrasikan komputer kawalan penerbangan otonomi yang dibangunkan oleh syarikat Turki sendiri bagi membolehkan UAS itu melaksanakan penerbangan menggunakan navigasi waypoint dan kawalan penerbangan.

Sistem kawalan penerbangan otonomi itu membolehkan Anka-S itu “pulang” ke lokasi sebagaimana telah ditetapkan terlebih dahulu, sekiranya ia berhadapan dengan kehilangan komunikasi dengan stesen kawalan daratnya.

CIRIT
“ANKA” juga dilengkapi dengan peluru berpandu “CIRIT.”

 

Radar Synthetic Aperture r(SAR), Inverse SAR (ISAR) dan radar Ground Moving Target Indicator (GMTI) yang dibawa oleh Anka-S itu digunakan untuk mengesan, mengenalpasti  dan menjejak sasaran statik atau bergerak di daratan

Selain itu,pesawat UAS-MALE Anka-S itu juga dilengkapkan dengan struktur radome yang memiliki antenna komunikasi satelit (satcom) yang berkuasa tinggi, memberikan ia komunikasi Beyond-Line-Of-Sight (BLOS) kelajuan tinggi.

Anka-S dilengkapi dengan kamera electro-optic / infrared (EO / IR) generasi terkini bagi membolehkan ia mengambil gambar dan video di dalam semua jenis keadaan cuaca, tidak kira malam atau siang.

Sistem pesawat tanpa pemandu itu memiliki sistem Identification Friend or Foe (IFF), laser designator dan juga laser range finder.

Anka

Anka-S dilengkapi dengan dua stesen senjata yang membolehkan ia membawa sistem persenjataan seperti sistem pelancar peluru berpandu Smart Micro Munition (MAM-L) dan pod pelancar roket CIRIT 2.75in bagi membolehkan ia menangani ancaman daripada kereta-kereta perisai,anggota tentera, kubu serta stesen radar musuh.

Anka-S menggunakan enjin turboprop PD170 yang dibangunkan secara dalam negara oleh Turkish Engine Industries (TEI) dibawah kontrak dengan TAI pada 2014. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...