Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Tempatan, G7 Aerospace Meterai Perjanjian ICP Dengan TAI Berkenaan “ANKA”

Perjanjian itu ditandatangani pada Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa 2023 (IDEF'23) edisi ke-16 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye baru-baru ini, dengan TAI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Temel Kotil manakala G7 Aerospace diwakili Pengarah Urusannya Datuk Ir Kamarulzaman Zainal.

0 3,583

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Syarikat G7 Aerospace Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian Program Kerjasama Industri (Industrial Collaboration Programme – ICP) dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) berkenaan sistem pesawat tanpa pemandu “ANKA” yang akan diperolehi oleh Malaysia.

Perjanjian itu ditandatangani pada Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa 2023 (IDEF’23) edisi ke-16 yang berlangsung di Istanbul, Turkiye baru-baru ini, dengan TAI diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Temel Kotil manakala G7 Aerospace diwakili Pengarah Urusannya Datuk Ir Kamarulzaman Zainal.

Bercakap kepada agensi berita nasional BERNAMA di Istanbul baru-baru ini, Kamarulzaman berkata perjanjian itu akan membolehkan TAI melaksanakan projek ICP berikutan pembelian dron “ANKA” yang dibangunkan oleh TAI oleh kerajaan Malaysia untuk kegunaan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Anka

“Kami melihat perkhidmatan bernilai sehingga US$5 juta yang kami (G7 Aerospace) akan sediakan,” katanya sambil menambah bahawa perjanjian di Istanbul itu adalah mukadimah kepada kontrak yang akan ditandatangani antara kedua-dua syarikat di Kuala Lumpur hujung bulan ini.

Kontrak pembekalan dron Medium Altitude Long Endurance (MALE) ANKA telah ditandatangani antara Kementerian Pertahanan Malaysia dan TAI semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ‘23) pada Mei.

Menurut Kamarulzaman, 11 projek dengan nilai ICP keseluruhan bersamaan dengan nilai kontrak pembekalan akan dilaksanakan oleh TAI dan diuruskan oleh G7 Aerospace, menjadikannya sebahagian daripada kandungan tempatan.

Sementara itu, G7 Aerospace turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan sebuah lagi syarikat pertahanan utama Turki, Havelsan, di IDEF’23 untuk bekerjasama dalam Penyelenggaraan Tahap Depot Avionik (DLM).

G7 Aerospace
(kredit G7 Aerospace)

 

Kamarulzaman berkata kerjasama itu adalah untuk sama-sama menyokong pesawat legasi yang kini dikendalikan oleh Angkatan Tentera Malaysia.

“Kedua-dua syarikat akan bekerjasama dalam pembaikan peringkat komponen, pengubahsuaian dan naik taraf avionik pesawat,” katanya.

Sebagai pertunjukan pertahanan global keempat terbesar di dunia, IDEF’23 telah diadakan dari 25 hingga 28 Julai dan mempamerkan teknologi serta produk pertahanan tercanggih termasuk kenderaan darat, senjata, simulator, radar, sonar, penyelesaian platform tentera laut, sistem penerbangan, peluru berpandu, kenderaan logistik, peralatan bekalan dan sistem keselamatan.

Bernama, bersama tujuh organisasi media lain dari Malaysia dan Indonesia diundang ke acara dwitahunan itu oleh TAI.  — DSA

donlod

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...