Dirudung”Kebimbangan”, India Naik Taraf Su-30MKI ke “Super Sukhoi”

Program menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKI India itu akan dilaksanakan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang dijangka menelan belanja US$7.5 bilion (RM33.7 bilion), dengan kesemua kerja dilakukan dalam negara.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – “Bimbang” dengan peningkatan kemampuan udara negara-negara tetangganya seperti Pakistan dan China, maka India akan mula menaiktaraf dan memodenkan lagi pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI miliknya dengan beberapa teknologi baru yang dibangunkan oleh industri pertahanan tempatan.

Ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan India untuk meningkatkan kemampuan pesawat pejuang utamanya kepada varian yang disebutnya sebagai “Super Sukhoi.”

Program menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKI India itu akan dilaksanakan oleh syarikat Hindustan Aeronautics Ltd (HAL) yang dijangka menelan belanja US$7.5 bilion (RM33.7 bilion), dengan kesemua kerja dilakukan dalam negara.

Bagaimanapun ia masih memerlukan kerjasama daripada United Aircraft Corporation (UAC) daripada Russia.

Tentera India merupakan pengguna pesawat Su-30MKI terbesar di luar Russia dengan 272 buah pesawat yang dibina secara berlesen oleh syarikat tempatan, Hindustan Aeronautics Limited (HAL).

Pesawat Su-30MKI milik Tentera Udara India.

 

Inisiatif menaiktaraf kemampuan pesawat-pesawat pejuang utama Tentera Udara India itu dijangka bermula pada tahun 2026, bertujuan memastikan Su-30MKI itu dilengkapi dengan teknologi dan kemampuan yang selari dengan perubahan lanskap peperangan masa kini.

New Delhi bakal berhadapan dengan “masalah besar” sekiranya ia tidak menaiktaraf pesawat pejuang Su-30MKI miliknya ke tahap “Super Sukhoi” kerana musuh-musuhnya seperti Pakistan dan China kini dilengkapi dengan pesawat-pesawat pejuang yang lebih moden dengan keupayaan radar AESA (Active Electronically Scanned Array).

Kebimbangan India tentang “ketidakmampuan” pesawat Su-30MKI miliknya itu timbul ketika tentera udara Pakistan sudah mula menggunakan pesawat pejuang JF-17 Block 3 yang dikatakan memiliki DNA pesawat generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon.”

Selain pesawat JF-17 Block 3 Pakistan yang kini dilengkapi dengan radar AESA, Islamabad juga memperolehi pesawat pejuang sederhana J-10C buatan China yang turut dilengkapi dengan radar AESA yang lebih besar (modul transmit and receive yang lebih besar)

Beijing juga dikatakan telah menempatkan pesawat-pesawat pejuang termodennya, J-20 di pangkalan-pangkalan udara di utara India, ketika ketegangan antara kedua negara berjiran akibat masalah berpanjangan tentang sempadan berterusan.

Pesawat pejuang generasi kelima, J-20 “Mighty Dragon” milik China

 

India dan China juga pernah berperang beberapa kali.

Menurut laporan media tempatan, di antara 80 hingga 100 buah pesawat pejuang Su-30MKI akan dinaiktaraf pada fasa pertama program itu, sebelum ianya meliputi keseluruhan pesawat pejuang itu yang dimiliki oleh Tentera Udara India.

Walaupun begitu usaha menaiktaraf itu tidak akan melibatkan airframe dan enjin pesawat Su-30MKI India itu.

Pada ketika ini, pesawat-pesawat pejuang Su-30MKI India menggunakan enjin

Menurut sumber yang memaklumkan kepada media tempatan India, usah-usaha menaiktaraf itu akan meliputi melengkapkan pesawat pejuang itu dengan kemampuan Beyond Visual Range (BVR), kemampuan sistem peperangan elektronik yang baru dan radar AESA.

Pesawat J-10 Pakistan

 

Radar AESA yang bakal digunakan oleh pesawat Su-30MKI selepas program menaiktaraf itu itu adalah varian radar AESA tempatan,“Uttam” yang sedang dibangunkan untuk pesawat Tejas Mk1A.

Menurut media pertahanan India, radar AESA yang bakal dilengkapkan pada Su-30MKI itu akan mempunyai modul Transmit and Receive (TR) yang lebih besar bagi keupayaan menjejaki dan mengesan sasaran yang lebih ampuh.

Selain radar AESA, program menaiktaraf pesawat Su-30MKI India itu juga akan melihat pesawat pejuang itu dilengkapi dengan sistem kawalan penerbangan yang lebih berkuasa bagi membolehkan ia dilengkapi dengan peluru berpandu hypersonic dan peluru-peluru berpandu yang lain.

Dibawah program menaiktaraf itu, pesawat-pesawat Su-30MKI India itu juga akan dilengkapi dengan Mission Computer yang baru, kokpit dengan paparan skrin sentuh yang lebih besar serta pakej sistem persenjataan yang baru.

Program itu mensasaran kira-kira 25 buah Su-30MKI akan dinaiktaraf setiap tahun, dengan kesemua pesawat itu selesai dinaiktaraf pada 2034. — DSA

featuredIndiaNaik TarafSu-30MKISukhoi