Indonesia Terima Pesawat A400M Pertama Daripada Airbus, Pacu Keupayaan Tentera Udara Republik Indonesia (TNI-AU)
Penyerahan pesawat A400M pertama kepada Kementerian Pertahanan Indonesia menandakan langkah besar dalam pemodenan ketenteraan dan keupayaan logistik udara negara kepulauan itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Airbus Defence and Space telah menyerahkan pesawat A400M pertamanya kepada Kementerian Pertahanan Indonesia, menandakan satu detik penting dalam usaha negara itu untuk memodenkan keupayaan pengangkutan tenteranya.
Pesawat pengangkut taktikal berat itu akan dioperasikan oleh Tentera Udara Republik Indonesia (TNI-AU).
Majlis penyerahan pesawat berkenaan diadakan di Pangkalan Tentera Udara Halim Perdanakusuma, Jakarta, selepas proses penyerahan rasmi dilakukan di fasiliti Airbus di Seville, Sepanyol.
Ini merupakan pesawat pertama daripada dua buah A400M yang ditempah oleh Indonesia pada tahun 2021.
Pesawat A400M kedua dijangka akan diserahkan kepada Indonesia pada tahun 2026.
“Pada hari ini, kami mengalu-alukan Indonesia sebagai pengendali kesepuluh pesawat A400M,” kata Karl-Heinz Grossman, Ketua Bahagian Antarabangsa Airbus Defence and Space.
“Penyerahan ini merupakan bukti kukuh terhadap kepercayaan yang diberikan kepada keupayaan pelbagai peranan pesawat ini serta kesesuaiannya untuk beroperasi dalam persekitaran geografi yang mencabar seperti Indonesia.
Kami berbesar hati untuk menyokong Tentera Udara Republik Indonesia ketika ia mula mengoperasikan A400M bagi misi di peringkat nasional dan serantau,” tambah beliau.
Selain daripada penyerahan pesawat tersebut, Airbus turut akan menyediakan perkhidmatan latihan dan sokongan menyeluruh kepada Tentera Udara Republik Indonesia bagi memastikan kemasukan pesawat ini ke dalam perkhidmatan berjalan dengan lancar.
Bersempena dengan penyerahan A400M ini, Indonesia turut akan meneliti potensi untuk mengintegrasikan kit pemadam kebakaran (firefighting kit) A400M yang baharu dibangunkan ke atas kedua-dua pesawat tersebut.
Kit modular “roll-on/roll-off” itu membolehkan pesawat A400M diubahsuai dengan cepat menjadi pesawat pengebom air, yang berupaya menjatuhkan sehingga 20,000 liter air atau bahan pemadam api dalam satu hantaran.
Keupayaan baharu ini dijangka akan memperkukuh lagi kemampuan Indonesia untuk bertindak balas terhadap kebakaran hutan yang sering berlaku di kawasan yang luas dan sukar diakses di seluruh kepulauan negara itu.
Pesawat A400M yang diserahkan kepada Indonesia itu dikonfigurasikan bagi pelbagai misi termasuk pengangkutan kargo, pengangkutan anggota tentera, misi perubatan (MEDEVAC) serta operasi kemanusiaan.
Ia mampu membawa muatan maksimum sehingga 37 tan metrik yang terdiri daripada beban berat atau bersaiz besar termasuk helikopter, kenderaan, serta bekalan bantuan kemanusiaan.
Bagi misi biasa dengan muatan 30 tan, A400M boleh terbang sejauh 2,400 batu nautika, membolehkan ia meliputi seluruh kepulauan Indonesia dari Jakarta.
Direka untuk keanjalan operasi yang tinggi, pesawat ini mampu beroperasi di landasan pendek dan tidak berturap serta turut berperanan sebagai platform pemindahan minyak udara pelbagai peranan, menjadikannya sebagai “pengganda kuasa” (force multiplier) yang memperluaskan keupayaan jangkauan Tentera Udara Republik Indonesia.
— DEFENCE SECURITY ASIA
