Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika “Tunggu Peluang” Lihat Lebih Dekat Teknologi Kapal Selam China

“…maklumat tentang sub-sistem yang dibekalkan oleh China kepada kapal-kapal selam untuk eksport kepada Thailand, Bangladesh dan Pakistan boleh memberikan maklumat langsung tentang kemampuan sebenar aset bawah permukaan Beijing,” kata seorang pakar Jerman di dalam laporan US Naval War College.

0 11,256

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Penjualan kapal selam China kepada negara-negara seperti Thailand, Pakistan dan Bangladesh memberikan peluang kepada Amerika Syarikat untuk melihat dengan lebih dekat teknologi kapal selam China yang selama ini merupakan rahsia yang dikawal ketat oleh Beijing.

Spesifikasi teknikal kapal selam merupakan rahsia yang amat dikawal ketat oleh negara-negara yang mengoperasikannya.

“…maklumat tentang sub-sistem yang dibekalkan oleh China kepada kapal-kapal selam untuk eksport kepada Thailand, Bangladesh dan Pakistan boleh memberikan maklumat langsung tentang kemampuan sebenar aset bawah permukaan Beijing,” kata seorang pakar Jerman di dalam laporan US Naval War College.

Di dalam laporan itu, Dr Sarah Kirchberger yang merupakan seorang professor di Universiti Kiel dan bekas penganalisis tentera laut dengan syarikat pembuat kapal, TKMS berkata, ketelusan terhad dalam pembuatan kapal selam oleh China membuatkan usaha untuk menilai kemampuan sebenar negara itu dalam peperangan bawah permukaan laut amat sukar.

Bagi penganalisis, mereka hanya mengetahui tentang kewujudan kapal selam baru China apabila ia telah siap dibina atau menerusi gambaran imej satelit.

S-26T
Kapal selam buatan China sepatutnya diterima oleh Thailand pada 2024.

 

Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.57 bilion) manakala Bangladesh pula membeli dua buah kapal selam terpakai daripada Beijing pada 2016.

Pakistan pula memperolehi lapan buah kapal selam kelas-Hangor daripada China dengan empat daripada dibina di negara asalnya manakala empat buah yang lain dibina di negara Asia Selatan itu.

Bangkok sepatutnya menerima kapal selam pertama dipesannya daripada China tahun ini atau tahun depan, tetapi disebabkan masalah enjin, negara Asia Tenggara itu terpaksa menunggu sekurang-kurangnya 40 bulan (tiga tahun empat bulan) lagi sebelum ia boleh menerima kapal selam S-26T kelas-Yuan.

Thailand kini hanya dijangka menerima kapal selam pertamanya daripada China pada pertengahan tahun 2027.

Bagaimanapun, masalah enjin kapal selam pertama Thailand nampaknya telah selesai baru-baru ini selepas Bangkok bersetuju dengan cadangan Beijing untuk menggunakan enjin kapal selam buatan China sendiri, CHD 620. Enjin itu dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

Kelas Jin
Kapal selam nuklear Type 094 kelas-Jin milik China.
Yulin
Kapal selam berkuasa nuklear China Type 094 kelas-Jin di Pangkalan Laut Yulin di Pulau Hainan. (kredit CSIS/MAXAR)

 

Thailand bersetuju selepas proses rundingan yang panjang dengan China.

Kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada Jun lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.

Namun Beijing memerlukan tempoh tambahan 40 bulan lagi sebelum ia bersedia untuk menghantar kapal selam pertama Thailand dilengkapi dengan enjin buatan tempatan kepada Asia Tenggara itu.

Disebabkan masalah enjin itu, secara keseluruhannya Thailand terpaksa menunggu selama 10 tahun untuk mendapatakan kapal selamnya yang pertama, itu pun jika kontrak itu tidak berhadapan dengan masalah lagi selepas ini.

Negara Asia Tenggara itu bercadang memperolehi dua lagi buah kapal selam daripada China, tetapi cadangan itu dibantah keras oleh penduduk negara Gajah Putih itu menyebabkan kerajaan Thailand diperintah oleh tentera pada ketika membatalkan cadangan perolehan itu. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...