Polis Malaysia Tahan Warga Israel Dengan Enam Pistol, Kaitan Dengan Mossad Sedang Disiasat

Sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan, Tan Sri Razaruddin Hussain menyatakan lelaki warga Israel berumur 36 tahun di memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu menggunakan passport Perancis daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua Polis Negara mendedahkan bahawa anggota Polis Diraja Malaysia telah menahan seorang lelaki warga Israel bersama-sama enam pucuk pistol di sebuah hotel di Jalan Ampang pada Rabu lepas.

Sebagaimana dipetik oleh media-media tempatan, Tan Sri Razaruddin Hussain menyatakan lelaki warga Israel berumur 36 tahun di memasuki Malaysia pada 12 Mac lalu menggunakan passport Perancis daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Siasatan awal pihak polis katanya, mendapati suspek warga Israel itu dipercayai datang ke Malaysia untuk membunuh rakan senegaranya berikutan masalah keluarga.

“Semasa tangkapan, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menemukan enam pucuk pistol dengan tiga daripadanya penuh berisi peluru, selain terdapat 200 peluru lain,” katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa anjuran Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman di sini hari ini.

Ketua Polis Negara juga berkata, memandangkan konflik di antara Palestin dan Israel pihak polis turut berwaspada terhadap aspek keselamatan dan telah meningkatkan kawalan keselamatan terhadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razaruddin Hussain

 

 Kesemua senjata yang dirampas daripada suspek kata Razaruddin dipercayai diperoleh di Malaysia.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan lelaki warga Israel itu mempunyai rangkaiannya di dalam negara.

Pistol-pistol yang dirampas oleh polis dairpada warga Israel itu terdiri daripada Glock 19 Mariner, Glock 17 Gen4, Smith & Wesson, SIG Sauer serta Stoeger dan semua senjata dibeli menggunakan mata wang kripto.

Ditanya sama ada suspek terlibat dalam aktiviti pengintipan, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara itu. 

“Mungkin suspek ada agenda lain datang ke negara ini dan telah menetap sekurang-kurangnya di dua hotel berlainan sejak memasuki UAE,” katanya.

Razarudin berkata suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga 31 Mac dan kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Pasport 1966 serta Seksyen 7 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Penangkapan warga Israel bersama-sama senjata api itu mengimbau kembali kejadian yang berlaku pada pada 21 April 2018 apabila pensyarah warga Palestin dikenali dengan nama Dr Fadi al-Batsch ditembak mati ketika sedang berjalan menuju ke sebuah surau berhampiran kediamannya di Setapak untuk menunaikan solat Subuhnya.

Ketika sedang berjalan, beliau telah didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal berkuasa tinggi yang telah melepaskan 14 das tembakan terhadap pensyarah Palestin itu, membunuhnya beliau serta-merta.

Menurut polis, kedua-dua penunggang motosikal itu memiliki ciri-ciri Timur-Tengah dan menggunakan passport Serbia dan Montenegro untuk memasuki Malaysia.

Sebaik sahaja membunuh pensyarah Palestin, mereka telah menyeberangi sempadan Malaysia-Thai menggunakan lorong tikus.

Media-media tempatan dan luar negara mengesyaki kedua-dua pembunuh itu adalah anggota skuad pembunuh agensi perisikan Israel, Mossad yang dikenali dengan nama “Kidon.”

“Kidon” merupakan unit khas di dalam Mossad yang tugasnya adalah melakukan misi pembunuhan terhadap individu yang dianggap musuh-musuh Israel.

Unit “Kidon” ditubuhkan pada 1970 dan bernaung di bawah “Jabatan Caesarea” yang berada dalam Mossad itu sendiri, dengan tugas dan fokus utama unit adalah melaksanakan pembunuhan terhadap musuh-musuh Israel di luar negara Yahudi itu.

Di dalam bahasa Hebrew, “Kidon” itu bermaksud “bayonet” atau “tip of the spear.”

“Jabatan Caesarea” adalah cabang paling rahsia di dalam Mossad dan “Kidon” adalah unit pelaksana yang paling paling rahsia.

Unit “Kidon” itu ditubuhkan tidak lama selepas insiden pembunuhan 11 orang atlet Israel oleh pejuang Palestin ketika Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972. — DSA

featuredIsraelMalaysiaPolis