Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Udara Perancis Terima Dua Buah Rafale F3R, Segera Naik Taraf Pada Varian F4.1

Selepas menerima dua buah pesawat Rafale varian F3R itu terkini itu, Tentera Udara Perancis akan menempatkannya di Mont-de-Marsan bagi membolehkan pesawat itu dinaiktaraf kepada varian F4.1 yang terkini bagi membolehkannya menangani ancaman dalam peperangan moden dan terkini.

0 1,781

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Perancis telah menerima dua lagi pesawat pejuang Rafale varian F3R daripada syarikat pembuatnya, Dassault Aviation baru-baru ini, sebahagian daripada pesanan tambahan bagi 40 buah pesawat itu lagi yang dibuat pada 2021.

Kedua-dua pesawat itu merupakan pesawat pejuang Rafale yang ke-13 dan ke-14 daripada 40 pesawat pejuang tambahan yang dipesan oleh Tentera Udara Perancis.

Tentera Udara Perancis membuat pesanan tambahan bagi pesawat pejuang itu bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang Rafale miliknya yang dijual “secara ekspress” kepada beberapa negara seperti Greek.

Selepas menerima dua buah pesawat Rafale varian F3R itu terkini itu, Tentera Udara Perancis akan menempatkannya di Mont-de-Marsan bagi membolehkan pesawat itu dinaiktaraf kepada varian F4.1 yang terkini bagi membolehkannya menangani ancaman dalam peperangan moden dan terkini.

Ia akan melibatkan usaha-usaha peningkatan keupayaan daripada segi peperangan elektroniknya, sistem komunikasinya, peningkatan keupayaan pertukaran maklumat di antara pesawat-pesawat Rafale, targeting pod dan radarnya.

rafale
Pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara Mesir.

 

Selain itu varian pesawat Rafale F4.1 itu juga akan dilengkapi dengan Scorpion Helmet Viewfinder, pengesanan ancaman pasif dan peningkatan keupayaan sistem kawalan tembakan bagi peluru berpandu Meteor.

Pihak berkuasa Perancis memberi kebenaran kepada varian pesawat pejuang Rafale F4.1 untuk beroperasi pada Februari lalu selepas berbulan menjalani pelbagai ujian penerbangan dan pelbagai operasi kerahan.

Varian terkini pesawat pejuang Rafale itu melakukan penerbangan sulungnya pada 2021.

Baru-baru ini, Dassault Aviation akan meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan pada tahun ini daripada dua buah pesawat sebulan sebeum ini berikutan peningkatan permintaan daripada pelanggan.

Sebagaimana dilaporkan oleh akhbar Perancis, Le Tribune, ketua pegawai eksekutif Dassault Aviation  Eric Trappier berkata, syarikatnya berkeupayaan untuk menghasilkan empat buah pesawat pejuang Rafale untuk menampung peningkatan permintaan.

“Kita sedang menuju kepada tahap kurang daripada sebuah (pesawat) pada tahun 2020, di mana ianya pada keadaan kritikal kepada  tiga (buah pesawat). Pada ketika ini kita berada pada tahap dua (buah pesawat).”

Meteor
Pesawat pejuang Rafale melancarkan peluru berpandu Meteor.

 

Syarikat Dassault Aviation sedang mempersiapkan kerja-kerja untuk meningkatkan produksi pesawat pejuang Rafale kepada tiga buah sebulan.

Untuk tahun ini sahaja, syarikat Dassult Aviation telah pun memperolehi pesanan sebanyak 18 buah pesawat Rafale, 60 pesanan pada 2023 dan 92 pesanan pada 2022.

Selain peningkatan pesanan daripada negara-negara luar, syarikat Dassault Aviation juga berhadapan dengan peningkatan pesanan daripada Tentera Udara Perancis itu sendiri yang membeli lebih banyak pesawat pejuang Rafale.

Pada awal Januari lalu, Perancis mengesahkan ia akan membelanjakan sejumlah US$5.5 bilion (RM24.75 bilion) untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale.

Kesemua 42 buah pesawat pejuang Rafale yang baru dipesan oleh Tentera Udara Perancis itu merupakan varian F4 tetapi akan dinaiktaraf kepada varian F5 atau “Super Rafale” dengan beberapa kemampuan generasi ke-6 apabila memasuki tahun-tahun 2030-an.

Rafale
Pesawat Rafale ketika singgah di Malaysia tidak lama dahulu (kredit Kedutaan Perancis di Malaysia)

 

Pesawat pejuang Rafala mula memasuki perkhimatan Tentera Udara Perancis dan Tentera Laut Perancis pada 2004-2006 dan telah dikerah ke Afghanistan, Libya, Mali, Iraq dan Syria.

Pesanan terbaru daripada kerajaan Perancis untuk 42 buah pesawat pejuang Rafale telah menjadikan keseluruhan pesanan terhadap pesawat pejuang itu daripada Tentera Udara Perancis pada masa ini adalah sebanyak 234 buah.

Ini termasuk pesanan untuk 12 buah Rafale pada 2021 bagi menggantikan pesawat-pesawat pejuang milik Tentera Udara Perancis yang dipindahkan kepada Greek.

Selain pesanan pesawat pejuang Rafale untuk Tentera Udara Perancis, syarikat Dassault Aviation turut menerima pesanan untuk 261 buah pesawat Rafale untuk beberapa buah negara termasuk Indonesia, India, Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). — DSA

Iklan

Comments
Loading...