Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un Pandu Sendiri Kereta Kebal “Paling Berkuasa Di Dunia”

Rekabentuk kereta kebal terbaru Korea Utara itu dikatakan menyamai kereta kebal Russia, T-14 Armata dan kereta kebal Amerika Syarikat, M1A1 serta dilengkapi dengan blok-blok Explosive Reactive Armor (ERA) untuk tujuan pertahanan daripada serangan sistem anti-kereta kebal.

(DEFENCE SECURITY  ASIA) – Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un turut sama menyertai latihan perang dengan memandu sendiri kereta kebal terbaru negara itu yang diiisytiharkannya sebagai “kereta kebal paling berkuasa di dunia.”

Menurut agensi berita Korea Utara, KCNA, sebelum itu Kim meninjau latihan perang tentera negara itu di tempat meninjau khas sebelum beliau berjalan ke arah kereta kebal terbabit dan memandunya sendiri.

Setakat ini kereta kebal terbaru Korea Utara itu tidak mempunyai nama rasmi.

Pemimpin Korea Utara itu menyatakan rasa puas hatinya terhadap kemampuan kereta kebal terbaru miliknya daripada segi kuasa tembakan dan mahukan anggota tenteranya meningkatkan lagi semangat serta menyelesaikan usaha persediaan berhadapan dengan peperangan, lapor agensi berita itu.

Pihak Korea Selatan dan Amerika Syarikat turut mengadakan latihan tentera bersama pada ketika ini, sekaligus meningkakan lagi ketegangan sedia ada di Semenanjung Korea pada ketika ini.

Kereta kebal terbaru Korea Utara itu mula didedahkan kepada awam dalam satu perarakan tentera pada 2020.

Ini merupakan kali ketiga Kim dilaporkan menyaksikan latihan perang dilaksanakan oleh tentera Korea Utara dalam bulan ini, menunjukkan negara itu semakin meningkatkan persediaannya untuk berhadapan dengan peperangan.

Rekabentuk kereta kebal terbaru Korea Utara itu dikatakan menyamai kereta kebal Russia, T-14 Armata dan kereta kebal Amerika Syarikat, M1A1 Abrams serta dilengkapi dengan blok-blok Explosive Reactive Armor (ERA) untuk tujuan pertahanan daripada serangan sistem anti-kereta kebal.

Daripada segi saiznya, kereta kebal terbaru Korea Utara itu menyamai saiz sebuah kereta kebal bersaiz sederhana dan “low silhouette” sebagai kereta kebal Russia serta berat yang dipercayai berada di dalam lingkungan 40 tan hingga 50 tan.

Beratnya tidak berkemungkinan menyamai kereta-kereta kebal Barat seperti M1A1 Abrams, Leopard dan Challenger yang mencecah di antara 60 tan hingga ke 70 tan.

Saiznya yang lebih kecil dan beratnya yang tidak melampau seperti kereta kebal buatan Barat itu berkemungkinan adalah untuk tujuan mobiliti dan mudah untuk diangkut ke mana-mana pelusuk negara itu.

Untuk pertahannnya, kereta kebal terbaru Pyongyang itu juga kelihatan dilengkapi dengan Active Protection System (APS), satu lagi peralatan standard bagi kereta-kereta kebal dunia pada masa kini.

Menurut pemerhatian daripada Army Recognition,  kereta kebal terbaru Korea Utara itu menggunakan meriam utama 125mm, sama seperti kereta-kereta kebal buatan Russia dan China yang lain.

Meriam 125mm itu berkemampuan menembak pelbagai jenis peluru seperti Armor-Piercing Fin-Stabilized Discarding Sabot (APFSDS), High-Explosive Anti-Tank (HEAT) dan High-Explosive Fragmentation (HEF).

Kereta kebal terbaru Korea Utara itu juga dipercayai dioperasikan oleh tiga krew dan menggunakan automatic loading system.

Selain meriam utama, kereta kebal itu juga dilengkapi dengan mesingan 7.62mm dan juga dua pelancar peluru berpandu anti-kereta kebal “Bulsae” yang dikatakan adalah hampir sama dengan peluru berpandu anti-kereta kebal “Kornet” buatan Russia.

Kereta kebal “paling berkuasa di dunia” itu juga dilengkapi dengan Automatic Grenade Launcher (AGL). — DSA

featuredKereta KebalKim Jong UnKorea Utara
Comments (1)
Add Comment