Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Korea Utara Bekalkan Peluru Berpandu Ballistik Terbarunya, Hwasong-11 Kepada Russia

Walaupun banyak pihak menyatakan bahawa peluru berpandu ballistik jarak dekat keluaran Korea Utara, Hwasong-11 itu hampir sama dengan peluru berpandu Iskander buatan Russia, tetapi ia dibangunkan sendiri oleh Pyongyang dan berkemungkinan adalah lebih baik daripada Iskander.

0 6,243

(DEFENCE SECURITY ASIA) –Bagi membantu kempen ketenteraan Russia di Ukraine, Korea Utara telah menghantar peluru berpandu ballistik jarak dekat (Short Range Ballistic Missile – SRBM) terbaru keluarannya, Hwasong-11 (KN-23) untuk digunakan oleh Moscow.

Menurut pakar-pakar senjata yang dipetik oleh media antarabangsa, Russia telah mengerah peluru berpandu ballistik buatan Korea Utara yang boleh dilancar dan disembunyi dengan cepat, selain boleh membedil sasaran dengan kadar ketepatan yang tinggi.

Peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 itu sukar untuk ditembak jatuh oleh sistem pertahanan udara, namun apa yang penting adalah, bekalan peluru-peluru berpandu ballistik daripada Korea Utara itu telah menambah pilihan senjata yang dimiliki oleh Moscow dalam kempen ketenteraannya terhadap Kiev.

Menurut data daripada Korea Institue for Defense Analyses (KIDA), setiap sebuah peluru berpandu ballistik jarak dekat itu yang berkemampuan membedil sasaran sejauh di antara 400km hingga 800km itu berharga US$5 juta (RM22.5 juta).

“Memandangkan peluru berpandu jarak dekat Hwasong-11 yang dibekalkan oleh Korea Utara kepada Russia adalah daripada jenis terbaru, Russia mungkin terpaksa membayar ‘harga yang tinggi’ untuk memperolehinya,” kata pakar senjata.

Russia berkemungkinan bukan sahaja membayar pembelian peluru berpandu ballistik Korea Utara dengan wang tunai, tetapi juga dengan komoditi, bahan makanan serta perkongsian teknologi senjata termasuk berkenaan pembangunan peluru berpandu ballistk antara benua.

Hwasong-11

Walaupun banyak pihak menyatakan bahawa peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 itu hampir sama dengan peluru berpandu Iskander buatan Russia, tetapi ia dibangunkan sendiri oleh Pyongyang dan berkemungkinan adalah lebih baik daripada Iskander.

Bercakap kepada Bloomberg, pakar senjata Joost Oliemans berkata, beberapa komponen peluru berpandu ballistik yang ditemui di tempat bedilan menunjukkan bahawa ia “menyamai” peluru berpandu ballistik Hwasong-11.

Seorang lagi pakar senjata Jeffery Lewis berkata menerusi platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) berkata bahawa berdasarkan kepada bukti-bukti di lokasi bedilan, dakwaan bahawa ia adalah peluru berpandu ballistik Hwasong-11 adalah “amat kuat”.

Russia dipercayai menggunakan peluru berpandu ballistik jarak dekat Hwasong-11 untuk membedil Ukraine dalam dua kejadian yang berlaku pada 30 Disember 2023 dan juga 2 Jan 2024.

Baru-baru ini, pihak perisikan Korea Selatan mendedahkan bahawa Korea Utara telah membekalkan kira-kira 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu ballistik jarak dekat dan peluru berpandu anti-kereta kebal serta pelbagai peluru dan senjata lain kepada Russia.

Hwasong-11
Serpihan daripada peluru berpandu dipercayai Hwasong-11

 

Menurut pegawai perisikan Korea Selatan, kapal-kapal membawa kontena terbabit telah belayar daripada Rajin, Wilayah Hamgyong Utara ke Vladivostok di Timur Jauh Russia.

Jumlah 2,000 kontena mengandungi peluru berpandu dan pelbagai peluru yang dihantar Korea Utara ke Russia adalah lebih banyak daripada jumlah 1,000 buah kontena yang diberikan oleh Amerika Syarikat pada 13 Oktober lalu berdasarkan kepada imej-imej satelit.

Pihak tentera Korea Selatan mengesyaki 2,000 kontena itu mengandungi lebih daripada 200,000 peluru meriam 122mm dan lebih sejuta peluru meriam 152mm serta peluru-peluru untuk senjata lain.

“Petanda bahawa Korea Utara membekalkan senjata dan peluru kepada Russia telah dikesan sejak pertengahan tahun lepas dan penghantaran kontena-kontena itu telah dipertingkatkan pada Ogos lalu sebelum kunjungan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un ke Russia, “ kata pegawai Korea Selatan.

Pemimpin Korea Utara telah bertemu dengan Presiden Vladimir Putin di Vostochny Cosmodrome di Timur Jauh Russia pada September tahun lepas. — DSA

CLICK FOR DEFENCE  SECURITY ASIA APPS
Any enquiries can email: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...