Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Kerah Kereta Kebal Termodennya, T-14 Armata Ke Ukraine, Tapi Hanya Untuk “Ujian”

Kereta kebal T-14 Armata dikatakan “menggerunkan” banyak pihak di Barat kerana ia memiliki teknologi yang terkini, armor yang lebih berat dan kukuh, meriam 125mm tanpa pengendali (unmanned turret), pendigitalan operasi dan pelbagai kelebihan lain.

0 6,647

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Russia dikatakan telah mengerah kereta kebal termodennya, T-14 Armata ke medan pertempuran di Ukraine tetapi kerahan itu adalah bertujuan untuk mengujinya, menurut sumber industri pertahanan negara itu kepada agensi berita TASS.

Kereta-kereta kebal termoden Russia itu telah berkhidmat dengan Pemerintahan Pentadbiran Selatan Tentera Russia bertanggungjawab terhadap operasi di Ukraine.

“Anggota tentera Russia yang berkhidmat di Pentadbiran Selatan Tentera Russia telah mula menggunakan kereta kebal Armata dengan aktif. Beberapa buah kereta kebal moden itu telah dihantar ke medan peperangan  untuk melihat prestasinya.”

T-14 Armata
Kereta kebal T-14 Armata di Donbass,Ukraine

 

“Selepas daripada itu (aksi di medan peperangan), ia akan diundurkan daripada barisan hadapan,” kata sumber industri pertahanan Russia kepada agensi berita TASS itu.

Setakat ini, fasa pengujian terhadap kereta kebal T-14 Armata itu masih lagi berlangsung dengan Pemerintahan Pentadbiran Selatan Russia itu.

Setakat ini Kementerian Pertahanan Russia atau mana-mana sumber rasmi daripada angkatan tentera Russia belum pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan pembabitan kereta kebal T-14 Armata di Ukraine.

Kereta kebal T-14 Armata yang dibangunkan oleh syarikat Uralvagonzavod itu telah diperkenalkan kepada umum pada 2015 pada satu perbarisan di Red Square.

Syarikat Uralvagonzavod yang berpengkalan di Nizhny Tagil merupakan syarikat pembuat kereta kebal terbesar di dunia dan telah wujud sejak zaman pimpinan Josef Stalin.

Kereta kebal yang bakal dieksport untuk pelanggan luar negara yang berminat itu mula diuji secara intensif pada 2019.

T-14 Armata
Perbandingan antara kereta kebal T-14 Armata (kiri) dan T-90 (kanan).

 

Sebenarnya syarikat Uralvagonzavod sepatutnya memulakan produksi bersiri kereta kebal itu pada 2018 tetapi disebabkan sekatan ekonomi yang dikenakan oleh negara Barat terhadap Russia pada ketika ini, Moscow tidak dapat menghasilkan kereta kebal Armata dalam jumlah yang diinginkannya.

Syarikat Uralvagonzavod sepatutnya menyerahkan kira-kira 80 buah Armata kepada Tentera Russia pada akhir 2022.

Penganalisis pertahanan antarabangsa mendakwa kereta kebal T-14 Armata yang memiliki rekabentuk seperti kereta kebal Barat itu turut menggunakan bahan dan teknologi yang dibangunkan oleh syarikat Barat, sebagaimana dengan banyak lagi senjata-senjata lain Russia.

T-14 Armata dikatakan “menggerunkan” pihak Barat kerana ia memiliki teknologi yang terkini, armor yang lebih berat dan kukuh, meriam 125mm tanpa pengendali (unmanned turret), pendigitalan operasi dan pelbagai kelebihan lain.

Kereta kebal terbaru Russia itu yang memiliki berat 48 tan itu dikatakan jauh lebih baik daripada kebanyakkan kereta kebal utama negara Barat.

Menurut laporan pada 2016, komander-komander NATO bimbang kereta kebal T-14 Armata boleh mengugat ketumbukan armor mereka terutamanya di timur Eropah dan negara-negara Baltik. — DSA

T-14 Armata
Kereta kebal T-14 Armata

 

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...