Aset Usang: Apabila Panglima-Panglima TLDM Bersuara…

Apa yang menarik kali ini adalah “perbincangan” mengenai aset-aset usang TLDM kali ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TLDM yang telah secara terbuka memberikan “input” berguna terhadap isu panas itu kali ini.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, isu mengenai aset-aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang usang telah mendapat tempat di dada-dada akhbar serta media-media online tempatan.

Isu mengenai aset-aset usang TLDM dan ATM, sebenarnya telah lama dibincangkan oleh media-media tempatan.

Cuma apa yang menarik kali ini adalah “perbincangan” mengenai aset-aset usang TLDM kali ini turut disertai oleh pegawai-pegawai kanan TLDM yang telah secara terbuka memberikan “input” berguna terhadap isu panas itu kali ini.

Mungkin tahap “kesabaran” pegawai-pegawai kanan TLDM terhadap isu aset yang usang sudah sampai ke tahap maksimum, memaksa mereka untuk bertindak “berlainan” kali ini dengan  tampil kehadapan untuk menyatakan pendapat mereka.

 Pada April lepas, Panglima TLDM Tan Sri Mohd Reza Sany sendiri menyatakan bahawa kira-kira 61 peratus atau lebih daripada separuh aset-aset yang dimilikinya pada ketika ini beroperasi melebihi had umur asal rekabentuknya dan telah usang.

“Justeru, TLDM amat komited dengan rancangan pembangunan keupayaan atau Program Transformasi TLDM 15 to 5.”

“Namun, program transformasi ini perlu diubah suai dan dibuat penjajaran semula disebabkan cabaran yang dihadapi iaitu kelewatan projek pembinaan Kapal Tempur Pesisir (LCS) dan perolehan-perolehan lain,” kata beliau.

Sementara itu dalam temuramah eksklusif dengan sebuah akhbar berbahasa Melayu bersempena dengan sambutan Hari TLDM ke-88, Panglima TLDM berkata,  hubungan pertahanan TLDM dengan tentera laut negara lain terjejas disebabkan keupayaan TLDM yang tidak setanding dengan negara-negara lain.

Ini adalah kerana masalah aset-asetnya yang semakin usang dan dimamah usia.

Disebabkan keupayaan TLDM yang tidak setaraf dengan negara lain maka TLDM tidak dianggap sebagai sebagai rakan strategik oleh negara lain, katanya.

“Keupayaan TLDM dilihat tidak setaraf dengan tentera laut dari pelbagai negara dan ini menyebabkan TLDM bukan sebuah rakan strategik berwibawa sekali gus menjejaskan hubungan pertahanan antarabangsa negara,” kata beliau.

TLDM menurut Mohd Reza, juga berhadapan dengan cabaran untuk memenuhi komitmennya di dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia.

Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Laksamana Mohd Reza Mohd Sany

 

“Sebagai contoh dalam Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA) membabitkan United Kingdom (UK), Australia, New Zealand, Singapura dan Malaysia. Komitmen telah diberi untuk memastikan tiada ancaman konvensional dan bukan konvensional di rantau ini.

“Namun begitu, TLDM menghadapi cabaran untuk memenuhi sebahagian komitmen ini kerana aset kapital yang telah usang dan keupayaan tempur yang semakin menurun,” katanya dalam temuramah itu.

Aset-aset TLDM menurut beliau, tidak mampu menyaingi apa yang dimiliki oleh negara-negara anggota FPDA.

“Aset aset TLDM tidak berupaya menyaingi kecanggihan aset-aset moden negara FPDA sekali gus mampu memperkecilkan peranan TLDM dalam FPDA kelak,” katanya.

Dalam temuramah dengan akhbar tempatan itu, Panglima TLDM itu juga berkata bahawa TLDM harus berupaya mewujudkan persepsi kepada pihak musuh bahawa mereka merupakan sebuah angkatan digeruni serta berupaya bertindak balas secara efektif.

Sementara itu, Panglima Markas Pemerintahan Armada Timur Laksamana Madya Datuk Sabri Zali pula berkata TLDM diperakui kekurangan kemampuan, kekuatan dan aset-aset untuk menangani konflik maritim.

Ini disebabkan ada di antara kapal-kapalnya “sudah berusia” 40 tahun dan sudah di dalam keadaan yang usang.

Terdapat di antara aset-aset TLDM sudah terlalu berusia untuk berfungsi, katanya sambil menambah,  Aset-aset milik TLDM jauh ketinggalan berbanding tentera-tentera laut negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Indonesia.

Menurutnya, oleh kerana itulah program pembinaan enam buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) perlu diteruskan kerana TLDM memerlukan kapal-kapal perang itu untuk mempertahankan kedaulatan perairan negara.

Sabri berkata, jika tiada apa-apa dilakukan untuk meningkatkan kemampuan TLDM, ia juga akan ketinggalan di belakang tentera laut-tentera laut Filipina dan Brunei.

“Saya tidak perlu menyatakan punca-puncanya, kita semua tahu mengapa ia berlaku dan kita juga tahu apa yang berlaku 10 tahun lepas.”

“Apa yang dialami oleh kita pada ketika ini tidak berlaku semalaman. Seseorang tidak perlu berada di dalam angkatan tentera untuk mengetahui mengenai perkara ini. Aset-aset angkatan tentera bukan ‘pampers’ yang kita guna dan buang. Aset-aset ini perlu diganti dan dinaiktaraf,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup latihan OSTEX East di Sandakan baru-baru ini. 

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

Baru-baru ini, Panglima Armada Barat TLDM Laksamana Madya Datuk Abu Bakar Md Alis dilaporkan berkata bahawa 75 peratus daripada 44 buah kapal yang dimiliki oleh TLDM pada ketika ini dikategorikan sebagai sudah “berusia” dengan ada di antaranya telah berkhidmat selama diantara 40 hingga 50 tahun.

TLDM amat memerlukan kapal-kapal yang baru untuk menggantikan kapal-kapal yang telah berusia itu.

“Sebagai contoh, kapal peronda laju (Fast Attack Craft) yang beroperasi di Pangkalan TLDM Kuantan, semuanya sudah mencecah usia 50 tahun. Dalam erti kata (kapal-kapal) TLDM sudah lebih usianya,” katanya sebagaimana dipetik oleh media tempatan hari ini.

(kredit TLDM)

 

Kegagalan memperolehi kapal-kapal baru untuk menggantikan kapal-kapal yang berusia atau (asset recapitalisation) memaksa TLDM melakukan proses “kitar semula” atau memanjangkan hayat kapal-kapal yang berusia itu.

Abu Bakar berkata, usaha “kitar semula” itu terpaksa dilakukan kerana tempoh operasi tinggi yang terpaksa dilalui oleh kapal-kapal TLDM.

Katanya,tempoh operasi kapal yang tinggi memerlukan TLDM sentiasa melakukan proses penyelenggaraan kapal dengan segera. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
AsetfeaturedPanglimaTLDMUsang