Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Setengah Batu di Bawah Tanah”: Kemudahan Nuklear Iran Sukar Dimusnahkan Dengan Satu Serangan Udara Sahaja

Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata kepada Financial Times bahawa, “Perkara paling sensitif adalah ia terletak setengah batu (kira-kira 800 meter)  di bawah tanah — saya telah ke sana berkali-kali,” sambil menambah, “Untuk sampai ke sana anda perlu masuk ke terowong lingkaran yang berputar ke bawah, ke bawah, ke bawah.”

0 853
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketua pemeriksa nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu memberi amaran keras bahawa kemudahan nuklear paling sensitif Iran terletak terlalu dalam di bawah tanah untuk dimusnahkan dengan hanya satu serangan udara sahaja, sekali gus menimbulkan kebimbangan besar terhadap kerumitan sebarang tindakan ketenteraan masa depan.
Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi berkata kepada Financial Times bahawa, “Perkara paling sensitif adalah ia terletak setengah batu (kira-kira 800 meter)  di bawah tanah — saya telah ke sana berkali-kali,” sambil menambah, “Untuk sampai ke sana anda perlu masuk ke terowong lingkaran yang berputar ke bawah, ke bawah, ke bawah.”
Kenyataan beliau hadir ketika kebimbangan semakin meningkat bahawa kegagalan dalam rundingan nuklear boleh mencetuskan konflik berskala besar di rantau Asia Barat, dengan Grossi memberi amaran, “Isu Iran ini mempunyai potensi luar biasa untuk menjadi bencana. Jika rundingan gagal, ini besar kemungkinan akan membawa kepada tindakan ketenteraan.”
Grossi turut menekankan bahawa walaupun Iran belum memiliki senjata nuklear, negara itu kini memiliki bahan-bahan yang mencukupi untuk menghasilkan satu senjata nuklear.
“Iran tidak mempunyai senjata nuklear pada masa ini, tetapi ia mempunyai bahan-bahan,” katanya dalam temu bual berkenaan, sejajar dengan kebimbangan yang disuarakan oleh perisikan Barat.
Program nuklear Iran beroperasi di pelbagai lokasi berbeza, yang kebanyakannya diperkuat dan terletak jauh di bawah tanah, menjadikan sebarang serangan perlu disasarkan ke pelbagai tapak pada masa yang sama untuk mencapai kesan maksimum.
Malah IAEA sendiri mengakui bahawa mereka tidak mengetahui secara tepat lokasi beberapa komponen penting program nuklear Iran, termasuk bahagian centrifuge yang digunakan untuk memperkayakan uranium.

Iran

Penganalisis ketenteraan menjangkakan bahawa Israel mampu melancarkan serangan terhad ke atas beberapa tapak, namun ia berisiko tinggi dan memerlukan beberapa pusingan serangan serta berdepan dengan sistem pertahanan udara Iran yang diperoleh dari Russia seperti S-300 serta beberapa sistem pertahanan udara buatan tempatan.
Israel telah menunjukkan keupayaan untuk menangani sistem pertahanan Iran dalam serangan berskala kecil sebelum ini, namun mengulangi kejayaan itu terhadap kemudahan nuklear di bawah tanah akan jauh lebih rumit.
Dua tapak terpenting dalam proses pengayaan uranium (uranium enrichment) Iran ialah Kemudahan Pengayaan Natanz, yang dibina kira-kira tiga tingkat di bawah tanah, dan Fordow, yang berada lebih jauh lagi di dalam gunung.
Walaupun Israel memiliki bom penembus kubu (bunker buster) seberat 5,000 paun, pakar menyatakan bahawa ia masih belum cukup kuat untuk memusnahkan tapak seperti Fordow melainkan dilakukan dengan serangan berulang kali.
Amerika Syarikat, sebaliknya, memiliki bom penembus kubu (bunker buster) paling berkuasa di dunia — Massive Ordnance Penetrator (MOP) seberat 30,000 paun (14,000 kg) — yang hanya boleh dilancarkan oleh pesawat pengebom B-2, dan pesawat itu kini telah dipindahkan ke pangkalan Diego Garcia di Lautan Hindi.
“(Israel) tidak mempunyai bom 5,000 paun yang mencukupi,” kata bekas Jeneral Tentera Udara Amerika Syarikat Charles Wald, kini berkhidmat dengan Institut Keselamatan Nasional Yahudi Amerika, yang menyokong hubungan pertahanan rapat antara Amerika Syarikat dan Israel.

Beliau menjelaskan bahawa tanpa bantuan Amerika Syarikat, serangan oleh Israel sahaja akan menjadi terlalu lambat dan kurang berkesan, memandangkan keterbatasan platform dan peluru berpandu yang mereka miliki.
Menurut Wald, operasi bersama Amerika-Israel berpotensi untuk mencapai kerosakan yang lebih luas terhadap kemudahan Iran, namun tetap memerlukan beberapa hari dan tidak menjamin kejayaan penuh.
Pemindahan pesawat pengebom B-2 oleh Amerika Syarikat yang kini berada dalam lingkungan jarak serangan ke atas Iran dilihat sebagai mesej strategik kepada Tehran — bahawa pilihan ketenteraan kekal di atas meja jika rundingan gagal.
Bagaimanapun, penganalisis nuklear dan ketenteraan menegaskan bahawa walaupun dengan kekuatan bom yang besar, serangan seperti itu hanya mampu melengahkan program Iran buat sementara waktu dan bukan menghapuskannya sepenuhnya.
“Amerika Syarikat mungkin boleh menyebabkan lebih banyak kerosakan daripada Israel, tetapi dalam kedua-dua kes anda hanya membeli masa, dan ada risiko sebenar ia mendorong Iran lebih dekat kepada bom, bukan menjauhkannya,” kata Eric Brewer dari Inisiatif Ancaman Nuklear, yang juga bekas penganalisis perisikan Amerika Syarikat.
Ramai pakar bersetuju bahawa serangan ketenteraan hanya boleh mengganggu dan menangguhkan kemajuan program nuklear Iran, tetapi tidak mampu menghapuskan pengetahuan saintifik atau infrastruktur industri domestik yang mereka miliki.
MOP
Massive Ordnance Penetrator (MOP) Bunker Buster
“Apa yang berlaku selepas serangan? Iran akan bertindak balas dengan mengukuhkan lagi fasilitinya dan mempercepatkan program nuklearnya,” kata Kelsey Davenport dari Persatuan Kawalan Senjata, memberi amaran bahawa mencegah pembinaan semula akan menjadi satu cabaran berterusan yang sukar.
Serangan ke atas Iran juga dijangka menyebabkan negara itu mengusir pemeriksa IAEA dan menghentikan sebarang bentuk kerjasama dengan agensi pengawasan nuklear antarabangsa, yang kini menjadi “mata dunia” di tapak seperti Natanz dan Fordow.
“Ancaman luar yang berterusan dan Iran berada dalam keadaan serangan ketenteraan boleh membawa kepada langkah pencegahan termasuk pengusiran pemeriksa dari IAEA dan penghentian kerjasama,” kata Ali Shamkhani, bekas ketua keselamatan negara Iran dan kini penasihat kepada Pemimpin Tertinggi Ayatollah Ali Khamenei, di platform X minggu lalu.
Tindakan seperti itu hanya pernah dilakukan oleh Korea Utara, yang selepas mengusir pemeriksa IAEA, telah berjaya menguji bom nuklearnya yang pertama.
“Jika anda mengebom Iran, saya yakin hampir pasti mereka akan mengusir semua pemeriksa antarabangsa dan terus mara menghasilkan bom,” kata James Acton dari Carnegie Endowment for International Peace.

Di tengah ketegangan yang semakin memuncak di rantau seperti Gaza, Lubnan dan Laut Merah, sebarang konflik membabitkan program nuklear Iran berpotensi untuk mencetuskan peperangan lebih luas yang boleh melibatkan kuasa besar dan mengubah landskap keselamatan seluruh Asia Barat.
Ketika dunia menyaksikan satu per satu titik panas global bertambah, sebarang kesilapan dalam menangani isu Iran boleh mengheret rantau ini dari status quo yang rapuh kepada konflik berskala besar.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Leave A Reply

Your email address will not be published.