Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kerajaan Tidak Serius Tentang Soal Pertahanan Negara?

Dipetik sebagai berkata dalam laporan oleh akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times hari ini, peruntukan yang rendah terhadap sektor pertahanan itu seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius terhadap pertahanan negara.

0 3,720

(DEFENCE SECURITY ASIA) – – Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany telah melahirkan kekecewaanya terhadap peruntukan terhadap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang rendah saban tahun.

Dipetik sebagai berkata dalam laporan oleh akhbar berbahasa Inggeris New Straits Times hari ini, peruntukan yang rendah terhadap sektor pertahanan itu seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan tidak serius terhadap pertahanan negara.

Anggota ATM menurut Panglima TLDM memberikan segala-galanya kepada negara dan kadar peruntukan pertahanan yang rendah itu amat mengecewakan mereka.

“Di dalam tahun-tahun yang akan mendatang, adalah harapan kami bahawa peruntukan pertahanan negara dipertingkatkan daripada 1 peratus kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).”

“Hanya apabila peruntukan pertahanan dipertingkatkan, barulah kita akan lebih berkesan dalam menjalankan tugas kita.”

Borneo War
TLDM

 

“Tahun ini, kerajaan mengumumkan dalam Belanjawan 2023 bahawa peruntukan pertahanan adalah kurang daripada 1 peratus. Kita bekerja keras, tetapi seolah-olah kerajaan tidak serius,” kata Mohd Reza di Lumut semalam.

Menurut New Straits Times, peruntukan pertahanan negara berbanding KDNK di antara tahun 2012 hingga 2017 adalah di antara 1.1 peratus hingga 1.5 peratus.

Bagaimanapun, peratusan ini menurun kepada 0.96 peratus pada 2018 dan 0.89 peratus pada 2019 sebelum meningkat kepada 1.01 peratus pada 2020 dan 1.06 pada 2021.

Mengenai dakwaan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan Dr Daud Yusof bahawa kerajaan tidak serius dalam menangani masalah keselamatan di Sabah dan Sarawak, Panglima TLDM itu berkata anggota tentera tidak pernah menyerah kalah dalam mempertahankan negara.

“Beliau bimbang dan saya juga bimbang. Beliau berkata kapal-kapal TLDM telah usang, ia memang usang. Negara lain menceroboh perairan negara kita.”

TLDM
Kapal serang laju TLDM yang sudah berusia separuh abad.

 

“Saya buat dengan apa yang saya ada. Kita tidak akan menyerah. Jikalau tiada rotan, akar pun berguna,” kata Mohd Reza.

Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang juga meminta supaya peruntukan pertahanan dalam Bajet 2023 dipertingkatkan kepada 1.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 1 peratus pada ketika ini.

PAT dalam pertemuan dengan media baru-baru ini berkata, peningkatan peruntukan pertahanan kepada 1.5 peratus daripada KDNK  akan membolehkan ATM mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

“Kita lihat keadaan geostrategik di Laut China Selatan, kita perlu pelaburan yang tinggi supaya kita dapat mempertahankan kedaulatan kita dan kepentingan kita.

“Pada akhirnya nanti, tidak ada orang lain menjaga (kedaulatan negara) kecuali kita sendiri,” katanya lagi.

Formidable
Kapal friget kelas-Formidable Tentera Laut Singapura.

 

Tidak dapat dinafikan bahawa peruntukan pertahanan Malaysia rendah,  jauh lebih rendah berbanding negara-negara jiran terdekat kita (Singapura, Indonesia dan Thailand).

Sebagai perbandingan, peruntukan pertahanan Singapura pada tahun ini (2022) adalah di sekitar RM65 bilion walaupun KDNK di antara Malaysia dan negara jiran selatan kita itu adalah tidak banyak berbeza.

Sebuah lagi negara jiran, Indonesia pula akan membelanjakan sekitar RM37 bilion pada tahun depan untuk sektor pertahanan mereka, yang merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding peruntukan pertahanan pada 2022.

Kementerian Kewangan Indonesia itu mengatakan bahawa belanjawan pertahanan sebanyak RM37.2 bilion itu adalah untuk mencapai objektif Minimun Essential Force (MEF) negara itu.

Sementara itu, negara jiran kita di utara iaitu Thailand pula telah pun mengumumkan peruntukan sebanyak US$6.5 bilion (RM26 bilion) pada tahun depan untuk ketiga-tiga cabang angkatan tenteranya. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...