Pakistan Persiap JF-17 Thunder Untuk Bawa Peluru Berpandu Kruis “Raad I/II” Dilengkapi Peledak Nuklear

Pakistan dilaporkan telah mempersiapkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya bersama dengan China untuk membawa peluru berpandu kruis lancaran udara (air launched cruise missile – ALCM) “Raad” yang boleh dilengkapi dengan peledak nuklear.

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pakistan dilaporkan telah mempersiapkan pesawat pejuang JF-17 “Thunder” yang dibangunkannya bersama dengan China untuk membawa peluru berpandu kruis lancaran udara (air launched cruise missile – ALCM) “Raad” yang boleh dilengkapi dengan peledak nuklear.

Menurut kajian dilakukan oleh Federation of American Scientist (FAS), pihaknya membuat kesimpulan itu berdasarkan kepada gambar yang dikeluarkan oleh Inter State Public Relations (ISPR) serta video pada perbarisan Hari Pakistan 2023 yang menunjukkan pesawat pejuang itu membawa peluru berpandu kruis lancaran udara, “Raad I/II”.

Menggunakan teknik analisis foto terhadap gambar itu, badan bukan kerajaan Amerika Syarikat itu menyatakan bahawa panjang peluru berpandu kruis dibangunkan oleh Pakistan itu adalah sama dengan panjang peluru berpandu kruis lancaran darat yang dibawa oleh trak ketika perbarisan itu.

Maka kesimpulan pertama pihak FAS adalah – “Pakistan berkemungkinan besar telah mengintergrasikan peluru berpandu kruis lancaran udara “Raad” yang boleh dilengkapi dengan peledak nuklear dengan pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkannya secara bersama dengan China.

Ia juga membawa kemungkinan bahawa Pakistan mahu menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang Mirage III/IV yang sebelum ini dipertanggungjawabkan untuk membawa/melancarkan peluru-peluru berpandu yang dilengkapi peledak nuklear.

“Raad” ALCM

 

Pakistan sememangnya adalah kuasa nuklear di Asia Selatan bersama-sama musuh tradisinya, India yang juga memiliki senjata nuklear.

Menurut media-media Pakistan, peluru berpandu kruis lancaran udara “Raad” (Hatf 8) Pakistan itu merupakan peluru berpandu kruis yang dilengkapi dengan enjin turbojet dan berkemampuan membedil sasaran sejauh kira 350km.

Bagaimanapun varian terkini peluru berpandu kruis itu yang dinamakan “Raad II”, Angkatan Tentera Pakistan mendakwa ia mampu membedil sasaran pada jarak 600km, sekali ganda berbanding varian awal peluru berpandu itu.

“Varian terkini Raad II itu telah meningkatkan dengan mendadak kemampuan Pakistan standoff dilancarkan di udara terhadap sasaran di laut dan daratan.”

Peluru berpandu kruis lancaran udara “Raad” itu juga mempunyai varian anti-kapalnya yang dinamakan “Taimoor.”

 Berkelajuan subsonic, peluru berpandu kruis “Raad” itu mula diuji oleh tentera Pakistan pada tahun 2007.

“Raad”

 

Daripada segi rekabentuknya, peluru berpandu kruis “Raad” itu adalah menyamai rekabentuk peluru-peluru berpandu kruis lancaran udara yang lain seperti SCALP EG/Storm Shadow yang dibangunkan oleh MBDA, Taurus KEPD dan lain-lain lagi.

Pakistan menyifatkan peluru berpandu kruis “Raad” sebagai peluru berpandu yang terbang pada “altitude rendah, dekat dengan daratan (terrain hugging) dan amat tepat.”

 Tentera Pakistan sememangnya diketahui sedang berusaha untuk menamatkan perkhidmatan pesawat pejuang Mirage III/IV yang dibangunkan oleh syarikat Dassault Aviation daripada Perancis.

Pada ketika ini, Pakistan memiliki kira-kira 130 buah pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkannya secara bersama dengan China, dengan pelbagai pihak mendakwa bahawa varian terkini pesawat pejuang itu, JF-17 Block III turut dilengkapi dengan teknologi dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 “Mighty Dragon.”

Pesawat pejuang itu dibangunkan oleh Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu  Aircraft  Industry Group (CAIG) daripada China.

JF-17 “Thunder”

 

Penganalisis pertahanan Pakistan menyifatkan JF-17 Block III sebagai “game changer” dalam persaingan udara negara itu dengan musuh tradisinya, India.

Antara kemampuan terbaru JF-17 Block 3 berbanding JF-17 Block 2 adalah ia dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “KLJ-7A” yang dibangunkan oleh syarikat teknologi China iaitu China Electronics Technology Group.

Penganalisis tentera China mendakwa radar AESA KLJ-7A adalah setanding dengan radar AN/APG-81 yang dimiliki oleh pesawat pejuang generasi kelima Amerika Syarikat, F-35 dan radar N036 phased array radar yang digunakan oleh pesawat Su-57 Russia. — DSA

featuredJF-17PakistanRaad
Comments (0)
Add Comment