Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Hezbollah Tunjuk Pelancar Roketnya Disembunyi Bawah Tanah, Kabui Tentera Israel

(VIDEO) Sedikit demi sedikit, kumpulan bersenjata Hezbollah di selatan Lubnan yang disokong oleh Iran telah menunjukkan persiapan rapinya dilakukan oleh anggotanya untuk berhadapan dengan tentera Israel sekiranya peperangan di antara mereka berlaku.

0 986

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sedikit demi sedikit, kumpulan bersenjata Hezbollah di selatan Lubnan yang disokong oleh Iran telah menunjukkan persiapan rapinya dilakukan oleh anggotanya untuk berhadapan dengan tentera Israel sekiranya peperangan di antara mereka berlaku.

Kumpulan bersenjata Hezbollah telah mengeluarkan video pendek yang menunjukkan sistem pelancar roket berganda (Multiple Launch Rocket System – MLRS) yang dsembunyikan di bawah tanah.

Di dalam video pendek itu, penonton boleh melihat bagaimana sistem MLRS itu diaktifkan, dibawa naik ke permukaan tanah dan diturunkan ke bawah tanah supaya kedudukannya tidak dapat dikesan oleh pihak musuh.   

Sistem MLRS yang lengkap dengan kaedah penyamaran (camouflage)itu dilihat memiliki enam pelancar manakala bahagian atas sistem pelancar MLRS itu terdapat tanah setebal kira-kira 50 cm untuk mengabui lagi kedudukannya.

Apa yang pasti, kumpulan Hezbollah bukan sahaja memiliki pelancar-pelancar MLRS yang berada di bawah tanah, tetapi berkemungkinan pelbagai sistem persenjataannya juga diletakkan di bawah tanah bagi mengabui penglihatan tentera Israel.

Penganalisis yang mempunyai maklumat dalaman tentang kemampuan Hezbollah menyatakan bahawa kumpulan bersenjata disokong oleh Iran memiliki ratusan ribu roket yang dikumpulnya sejak peperangan terakhir kumpulan itu dengan Israel pada 2006.

Berapa banyak daripada pelancar-pelancar roket Hezbollah itu diletakkan di bawah tanah sudah pasti menjadi tekaan pelbagai pihak.

Apa yang pasti, Hezbollah telah melakukan persediaan untuk berperang dengan Israel sejak konflik terakhir mereka pada 2006.

Tentera Israel berkemungkinan besar tidak akan mengesan sistem-sistem persenjataan Hezbollah yang berada di bawah tanah sekiranya ia melancarkan serangan mengejut terhadap kedudukan kumpulan bersenjata itu di selatan Lubnan.

Menurut penganalisis, menyembunyikan sistem-sistem persenjataan itu di bawah tanah sememangnya mempunyai pelbagai kelebihan.

Hezbollah

Bagaimanapun, mereka juga menyatakan bahawa strategi menempatkan sistem persenjataan itu bawah tanah juga mempunyai kelemahan, di mana ia membuatkan sistem persenjataan itu statik dan tidak boleh bergerak ke mana-mana.

Walaupun teknologi pada masa ini tidak membenarkan pengesanan struktur bawah tanah, tetapi tentera udara Israel dipercayai memiliki bom-bom bunker buster untuk memusnahkan struktur-struktur bawah tanah walaupun ia terletak puluhan meter di bawah tanah.

Pihak tentera Israel sebelum ini telah pun menyatakan kesediannya untuk melancarkan serangan terhadap Hezbollah di selatan Lubnan, walaupun tidak menerima sokongan daripada sekutu utamanya, Amerika Syarikat.

Menurut laporan-laporan media sebelum ini, serangan tentera Israel dijangka bermula pada pertengahan bulan ini sebaik sahaja tentera Yahudi itu selepas ia selesai menempatkan bala tentera dan aset-asetnya di sempadan kedua-dua negara itu.

Konflik berintensiti rendah di antara Israel dan Hezbollah telah pun berlaku sejak Oktober tahun lepas, tidak lama selepas serangan pejuang-pejuang Palestin terhadap kedudukan tentera Israel yang mencetuskan konflik terkini.

Hezbollah

Hezbollah telah melancarkan serangan ribuan roket, peluru berpandu anti-kereta kebal dan dron-dron berani mati terhadap kedudukan tentera Israel terutama yang terletak di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Bagi penganalisis, serangan Hezbollah pada ketika ini hanya menggambarkan kurang daripada 10 peratus kemampuan kumpulan bersenjata itu.

Kemampuan sebenar kumpulan bersenjata disokong Iran hanya akan dapat dilihat sekiranya Israel melakukan serangan besar-besaran terhadap Hezbollah. — DSA

Comments
Loading...