(DEFENCE SECURITY ASIA) — Kapal penyelamat kapal selam milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti berusaha mencari bukti tambahan milik kapal selam Indonesia, KRI Nanggala yang hilang di perairan utara Bali sejak Rabu lepas.
Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata MV Mega Bakti menggunakan semua keupayaan yang ada padanya termasuk peralatan Intervention Remotely Operated Vehicles (IROV) dalam usahanya di Laut Bali itu.
Buat masa ini menurutnya, kapal MV Mega Bakti melakukan rondaan di sekitar kawasan posisi KRI Nanggala tenggelam bagi membantu usaha mencari bahan-bahan bukti tambahan yang terapung di permukaan.
“Kedalaman lokasi akhir KRI Nanggala iaitu pada kedalaman 839 meter adalah jauh melebihi kemampuan IROV MV Mega Bakti iaitu 650 meter sahaja. Namun begitu, pasukan Carilamat TLDM telah berusaha mengoperasikan IROV untuk mendapatkan bukti tambahan,”katanya.
Mohd Reza berkata beliau sentiasa berhubungan dengan MV Mega Bakti.
“Saya tahu apa yang berlaku di lapangan dan koordinasi Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di peringkat TLDM diketuai oleh Panglima Angkatan Kapal Selam Laksamana Pertama Mohd Razib Tahir,” katanya.
Penugasan MV Mega Bakti seterusnya adalah bergantung kepada pihak TNI, katanya.
Operasi kapal MV Mega Bakti itu diketuai Komander TLDM Mohd Hairul Fahmy Yob bersama 54 kru terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.
KRI Nanggala-402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo yang turut disertai 21 kapal TNI, lima pesawat tempur dan satu lagi kapal selam yang lain.
Dua hari lepas, Panglima TNI Hadi Tjahjanto mengumumkan bahawa kesemua 53 kru kapal selam Indonesia, KRI Nanggala 402 itu disahkan meninggal dunia berdasarkan kepada “bukti-bukti autentik.”
Pengumuman itu tidak lama selepas kapal selam itu ditemui terdampar di kedalaman 838 meter di dasar Laut Bali, dengan badan KRI Nanggala didapati telah “pecah” kepada tiga bahagian.